PERSIAPAN akhir bagi menyambut pengunjung Festival GegaRia di Shah Alam.
Faliq Lajim
am@hmetro.com.my

Shah Alam: Festival GegaRia yang berlangsung hari ini di tempat letak kereta B, Pusat Konvensyen Setia City di sini, memberi banyak faedah khususnya kepada golongan belia.

Festival anjuran Media Prima Berhad itu akan mewujudkan ruang dan peluang kepada masyarakat untuk berhubung, berkongsi dan memberi inspirasi terutama kepada generasi belia.

Jurucakap penganjur berkata, festival berkenaan bukan hanya sekadar hiburan semata-mata, malah dapat memberi pengunjung khususnya golongan milenia melakukan aktiviti yang berfaedah dan sihat.

“Pelbagai acara sudah disusun termasuk aktiviti kecergasan dan sukan tradisional seperti jengga gergasi, timbang takraw, ting-ting dan congkak.

“Kita juga menyediakan permainan elektronik seperti FIFA Online 3, Arena of Valor dan League of Legends yang akan dipertandingkan yang mana pemainnya boleh merebut hadiah wang tunai RM10,000,” katanya.

Menurutnya, bagi mereka yang mahu menyertai aktiviti zumba boleh mengunjungi tapak karnival pada pagi ini.

“Bagi pengunjung yang berazam menurunkan berat badan, boleh sertai aktiviti zumba sekali gus menjadi pemangkin untuk merealisasikan hasrat mereka.

“Tiga jurulatih hebat, Jessica Ong, Hanif Shawn dan Dayang Damito akan memimpin program zumba di tiga lokasi yang dianjurkan,” katanya.

Festival bermula jam 8 pagi itu turut menampilkan enam finalis Anugerah Juara Lagu (AJL) 32 iaitu Salma, Haqiem Rosli, Ernie Zakri, Syamel, Ara Johari dan Hael Husaini.

Turut menghangatkan suasana ialah DeFam, Noh Salleh, Akim & The Majistret, Masdo serta Bunkface.

Karnival itu juga akan dianjurkan di Angsana Johor Bahru Mall, Johor Bahru pada 3 Februari diikuti Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang, 24 Februari ini.

Orang ramai yang mahu mendapatkan maklumat lanjut boleh layari Facebook rasmi gogegaria dan Instagram @gogegaria.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 January 2018 @ 5:26 AM