ANGGOTA PPM menunjukkan rokok seludup yang dirampas.
Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my

Johor Bahru: Selepas sejam pemantauan dibuat hasil maklumat awam berhubung kegiatan mencurigakan di stor Jalan Ciku, Ulu Tiram, di sini, anggota Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua (W2) Johor terpaksa memecahkan pintu premis berkenaan kerana tiada individu yang hadir.

Hasilnya, dalam serbuan antara jam 8 hingga 9 malam kelmarin, PPM menjumpai 146 karton atau 26,080 batang rokok seludup pelbagai jenama bernilai RM13,888.73 dalam stor berkenaan.

Komander PPM W2 Johor Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang berkata, serbuan itu dibuat selepas pemantauan ke atas stor berkenaan yang dipercayai dijadikan tempat menyimpan rokok seludup.

Dalam serbuan itu, polis menjumpai keretek dan rokok putih yang disembunyikan di dalam beberapa kotak di stor berkenaan.

“Selepas pemerhatian selama sejam, anggota serbuan terpaksa memecahkan pintu stor itu kerana tiada orang yang datang.

“Hasilnya, kita menjumpai sejumlah keretek dan rokok putih yang tidak sah disembunyikan di dalam beberapa kotak,” katanya.

Beliau berkata, tiada tangkapan dibuat dan semua barang rampasan itu dibawa ke Pangkalan PPM W2 untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(e) Akta Kastam 1957.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 January 2018 @ 5:35 AM