PENGHIDAP HIV yang hidup memencilkan diri di rumahnya di Jerantut, Pahang.
Noor Ainum Ibnu Hajar Abu Seman
am@hmetro.com.my

Jerantut: Jangka hayat pesakit HIV mampu dilanjutkan dengan kaedah rawatan menggunakan ubat Anti-retroviral disease (RVD) atau Highly active anti-retroviral therapy (HAART) yang disediakan di hospital atau klinik kesihatan berhampiran.

Timbalan Pengarah Kesihatan (Farmasi) Syed Fadzli Syed Sailuddin berkata, walaupun ubat berkenaan bukan penyembuh, ia mampu meminimumkan bilangan virus HIV dalam badan, sekali gus membolehkan daya tahan badan meningkat dan kesihatan bertambah baik selain meningkatkan kualiti hidup pesakit seperti individu normal walaupun menghidap HIV.

Beliau mengulas demikian merujuk artikel Harian Metro semalam mengenai seorang wanita yang mahu dikenali sebagai Maryani dari daerah ini yang dijangkiti virus HIV ketika hamil sejak tujuh tahun lalu kerana menjadi mangsa suaminya yang juga penagih dadah.

“Saya bersimpati dengan nasib dan ketentuan yang ditakdirkan kepada Maryani akibat virus HIV yang dijangkiti daripada suaminya juga penagih dadah.

“Inilah risiko kepada ibu atau isteri yang mempunyai suami penagih dadah dan positif HIV. Lagipun, bayi yang dilahirkan juga berisiko tinggi menghidap HIV, melalui apa yang disebut vertical transmission” katanya dalam kenyataan, di sini, semalam.

Menerusi kenyataan itu, beliau yakin Maryani juga menerima rawatan itu di hospital dan klinik berhampiran.

Semalam, Harian Metro melaporkan penderitaan Maryani yang disahkan menghidap HIV sejak tujuh tahun lalu dan dijaga empat anaknya yang tinggal bersama selain terpaksa berpisah dengan anak bongsu yang kini dijaga kakaknya.

Setiap kali Maryani jatuh sakit, anaknya yang masih bersekolah bergilir-gilir menjaganya.

Orang ramai yang mahu memberi sumbangan atau bantuan boleh menghubungi Maryani melalui talian 014-8329776.

Berita berkaitan

7 tahun derita HIV

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 January 2018 @ 5:51 AM