Nur Saliawati Salberi
nursaliawati@hmetro.com.my


Melaka: Bapa lima anak yang dalam perjalanan ke tempat kerja maut dirempuh van ketika melintas jalan di hadapan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sungai Udang di sini, semalam.

Mangsa, Azhar Ahmad, 55, maut di lokasi kejadian akibat parah di kepala.

Difahamkan, mangsa menaiki bas setiap hari untuk ke tempat kerja di pekan Sungai Udang, berhampiran lokasi kejadian.

Jurucakap polis berkata, sebelum kejadian mangsa baru turun dari bas dan cuba melintas jalan.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa melintas jalan di garisan pejalan kaki dirempuh van dari arah Kem Terendak.

“Akibat rempuhan itu, mangsa terseret 15 meter di atas jalan sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat.

“Pemandu van berusia 50 tahun hadir ke Balai Polis Trafik Melaka Tengah, kira-kira 1 tengah hari untuk diambil keterangan selain saringan ujian air kencing turut dijalankan.

“Kami meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 January 2018 @ 7:04 AM