Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Talungan, Telipok.
HM Digital

Tuaran: “Walaupun empat hari berlalu, saya rasa seperti ibu masih ada dan belum meninggalkan kami. Sampai saat ini saya sering terbayang wajahnya,” kata Emma Arnia Irani Yamat, 18, anak Suhaila Lagundi, 41, yang meninggal dunia akibat jangkitan leptospirosis atau kencing tikus, Khamis lalu.

Suhaila dari Kampung Talungan, Telipok, di sini, dikejarkan ke Hospital Tuaran selepas beberapa hari demam panas dan muntah sebelum disahkan meninggal dunia.

Emma berkata, mereka sekeluarga tidak menyangka ibu dijangkiti kencing tikus kerana beranggapan ia demam biasa.

“Melihat keadaan ibu yang muntah-muntah, pada awalnya kami s mahu hantar ibu ke hospital namun ibu menolak kerana sangka ia demam biasa dan hanya makan ubat di rumah.”

“Bagaimanapun, ia berlarutan lima hari sehingga Rabu lalu, ibu memberitahu dia kesejukan walaupun suhu badannya sangat panas dan bapa segera menghantar ibu ke hospital” katanya, semalam.

Menurut Emma, bapanya Yamat Sikul, 44, memberitahu, ibunya yang juga suri rumah demam panas selepas menikmati makanan tin yang dibeli dari kedai runcit berhampiran rumah mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 January 2018 @ 7:25 AM