Mohd Nasir menyerahkan mas kahwin kepada Dg Patimah pada majlis perkahwinan mereka.
Amniera Naziera Amran
hmkk@hmetro.com.my


Papar: “Ini saat dinanti-nantikan, kami akhirnya sah bergelar suami isteri,” kata Mohd Nasir Ahmad, 52, yang menikahi wanita orang kurang upaya (OKU) Dg Patimah Matali, 47, di Kampung Nyaris-Nyaris, Bongawan, dekat sini, semalam.

Walaupun normal seperti lelaki lain, Mohd Nasir mengaku dia menerima isterinya yang kudung kaki dan tangan sejak lahir itu seadanya serta berusaha menjadi ketua keluarga yang baik.

Mohd Nasir berkata, dia bersyukur kerana majlis perkahwinan berjalan lancar selepas dua bulan mengikat tali pertunangan.

Katanya, dia teruja dan gementar di hadapan imam sehingga mengulang dua kali lafaz akad nikah pada majlis yang dihadiri lebih 100 ahli keluarga serta tetamu.

“Lafaz nikah bukan sekadar kata-kata, malah janji sebagai amanah menjaga isteri.

“Saya menerimanya seadanya dan berharap jodoh ini kekal hingga ke jannah,” katanya selepas majlis persandingan di rumah keluarga isterinya, semalam.

Mohd Nasir mengakui mereka rapat selepas keluarga mentua, Matali Ismail, 88, dan Dayang Salmah Pangiran Hassan, 73, sering mengajaknya makan bersama.

Katanya, pengalaman berkahwin dua kali sebelum ini juga memberi pengajaran supaya lebih menghargai pasangan dan bijak menguruskan rumahtangga.

Menceritakan perjalanan persiapan majlis perkahwinannya, Mohd Nasir memberitahu mereka membuat persiapan sejak sebulan lalu dan dibantu ahli keluarga.

“Ahli keluarga dan jiran banyak membantu termasuk persalinan kahwin, pelamin dan hidangan.

“Kami tidak ambil masa lama kerana majlis dibuat kecil- kecilan di sebelah pengantin perempuan,” katanya.

Sementara itu, Dg Patimah berkata, dia bersyukur kerana sah bergelar isteri kepada Mohd Nasir.

Katanya, dia berharap sikap lemah lembut dan penyabar lelaki itu berkekalan sepanjang berumahtangga.

“Sudah pasti saya gembira apabila dia sudi memperisterikan saya dan berdoa kami dikurniakan cahaya mata selepas ini,” katanya.

Menurutnya, biarpun pergerakannya terbatas, namun itu tidak menghalangnya melaksanakan tangungjawab sebagai isteri termasuk memasak dan membasuh serta mengemas.

“Saya berazam mahu jadi isteri solehah dan taat kepada suami sehingga akhir hayat. Insya-Allah pernikahan ini diredhai dan berkekalan selama-lamanya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 January 2018 @ 7:25 AM