BENJOLAN bebola mata hanya dapat dikesan melalui pemeriksaan khas.
Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my

Matahari adalah sumber sinaran ultraviolet (UV) yang paling kuat tetapi hanya jumlah sinaran yang kecil diperlu untuk menghasilkan vitamin D dalam badan manusia. Sebaliknya pula, pendedahan kepada sinaran UV secara melampau memberikan kesan buruk pada kulit, mata dan sistem imun.

Mata adalah antara bahagian yang paling sensitif dan terdedah. Pendedahan kepada sinaran UV yang berpanjangan menyebabkan banyak masalah mata seperti katarak, kemerosotan makular, lapisan kornea terbakar (fotokeratitis), keradangan dan benjolan dikenali pinguecula dan pterygium.

Benjolan pinguecula adalah sejenis pertumbuhan selaput lendir berwarna jernih atau kekuningan di kawasan mata putih yang berhampiran hidung akibat penghasilan protein, lemak atau kalsium berlebihan.

Pterygium pula adalah pertumbuhan selaput tisu dengan saluran darah halus yang boleh membesar sehingga menutup kornea. Ia juga boleh berasal daripada benjolan pinguecula yang semakin membesar.

Pegawai optometri yang juga Pengarah Penjagaan Penglihatan Johnson & Johnson, Lawrence Kwan berkata, benjolan berkenaan biasa berlaku dalam kalangan orang dewasa yang bekerja bawah cahaya matahari terik bagi tempoh lama, namun ia juga boleh terjadi dalam kalangan remaja dan kanak-kanak yang kerap berada di luar rumah tanpa memakai pelindung mata.

Katanya, penting untuk melindungi mata daripada sinaran UV yang menjadi punca mata berbenjol sekali gus mengurangkan risiko mendapat masalah mata terbabit.

“Bagaimanapun, jika menggunakan alat pelindung mata yang tidak mengikut piawaian, ia mungkin tidak berupaya menapis sinaran UV yang akan menyebabkan kerosakan tisu mata. Bukan sahaja bahagian kornea dan kanta mata, sinaran UV juga boleh terus ke retina yang seterusnya menyebabkan kerosakan tisu retina.

“Oleh itu, sekiranya ingin memilih alat pelindung mata, dapatkan khidmat nasihat pakar mata untuk mengetahui ciri-ciri perlindungan yang diperlukan, di samping mendapatkan rupa penampilan yang lebih menawan,” katanya pada majlis pelancaran kanta lekap Acuvue Define dengan teknologi khas, baru-baru ini.

Beliau berkata, alat pelindung mata seperti cermin mata hitam atau kanta lekap seharusnya bukan sekadar untuk penampilan, malah lebih penting adalah sebagai alat yang boleh menghalang kesan resapan sinaran UV, cahaya biru dan inframerah yang boleh merosakkan tisu mata. Sinaran UV dan cahaya biru mempunyai kesan resapan lebih tinggi berbanding sinaran inframerah.

“Rangkaian kanta lekap daripada Acuvue Define direka untuk mata orang Asia yang membolehkan penggunanya menyerlahkan kecantikan asli mata dan pada masa sama mengekalkan kesihatan mata. Lima siri kanta lekap ini tidak saja memperbetulkan penglihatan, juga membantu mereka lengkapkan penampilan seiring dengan gaya hidup semasa.

“Ini kerana, ia direka dengan Teknologi Lacreon yang membekalkan kelembapan pada mata sekali gus membantu mengurangkan masalah mata kering sehingga membolehkan pengguna memakainya sehingga 20 jam lamanya,” katanya.

Kwan berkata, kanta lekap berkenaan dilengkapi dengan perlindungan terhadap sinaran UV yang menepati piawaian antarabangsa untuk mengurangkan sinaran berbahaya daripada cahaya matahari.

“Mata yang sihat memberikan mata yang cantik. Namun, pengguna mesti memilih alat pelindung mata yang memberi manfaat pada sudut kesihatan. Penjagaan mata yang dapat mengurangi tahap pendedahan kepada cahaya matahari boleh mengurangkan risiko mendapat masalah mata.

“Kanta lekap juga adalah alatan perubatan, oleh itu hanya pakar penjagaan mata bertauliah yang boleh memberikan preskripsi selepas menjalani pemeriksaan yang menyeluruh. Pemeriksaan mata yang tetap juga membantu mengekalkan aset kecantikan wanita apabila sebarang masalah mata dikesan lebih awal,” katanya.

Katanya, pemeriksaan mata juga membantu pakar penjagaan mata bertauliah mencadangkan pilihan yang terbaik dan mempreskripsikan kanta lekap yang sesuai untuk gaya hidup setiap individu. Kanta lekap pakai buang harian bererti memiliki sepasang kanta yang segar dan disteril setiap hari, menghapuskan risiko pencemaran melalui pembersihan yang tidak betul dan pengumpulan protein daripada pengunaan yang berpanjangan.

Simptom benjolan bebola mata

• Kemerahan pada kawasan mata putih

• Timbul gatal atau pedih

• Rasa tidak selesa

• Mata kering atau berair

• Penglihatan kabur atau berganda

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Julai 2017 @ 12:36 AM