RAKYAT Malaysia secara puratanya meluangkan antara lima hingga lapan jam sehari menatap skrin digital.
MATA merah merengsa tanda mata kering.
Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my


Sudah menjadi tabiat kita melayari laman media sosial menerusi telefon pintar sejurus bangun pagi untuk memeriksa notifikasi atau berita terkini. Tabiat yang sama juga dilakukan sebelum tidur. Situasi demikian menggambarkan gaya hidup di Malaysia kini dan ia juga adalah fenomena dunia yang kian meningkat.

Berdasar kajian, penduduk Asia Pasifik adalah pengguna tertinggi gajet dengan paparan skrin digital berbanding penduduk bahagian lain dunia. Dianggarkan mereka meluangkan masa tujuh jam sehari menatap skrin digital dengan dua jam daripadanya melayari telefon pintar dan pada masa sama menonton televisyen.

Rakyat Malaysia pula secara puratanya meluangkan antara lima hingga lapan jam sehari menatap skrin digital termasuk pendedahan kepada pelbagai jenis perkakas seperti komputer riba, komputer, telefon pintar, tablet dan televisyen.

Penggunaan pelbagai skrin digital ini adalah amalan harian yang disesuaikan oleh populasi digital Malaysia yang kian meningkat dalam mendapatkan berita dan maklumat serta menjalankan tugas mereka di tempat kerja.

Walaupun kebergantungan kita ke atas teknologi untuk menjalani kehidupan harian membawakan pelbagai kemudahan, ia juga membawa pelbagai kesan berbahaya kepada kesihatan antaranya tekanan digital terhadap mata.

Perunding Oftalmologi Hospital Columbia Asia Klang, Dr Siva Kumar Sundralingam berkata, tekanan digital terhadap mata adalah ketidakselesaan yang dialami organ penglihatan itu selepas lebih dua jam menatap skrin digital dalam jarak dekat.

Ia biasanya dicirikan dengan gejala seperti keletihan, kemerahan, rasa kasar, penglihatan kabur, pening dan sakit bahu serta leher akibat postur skrin yang tidak betul.

“Bagaimanapun, rasa tidak selesa pada mata bukan disebabkan paparan skrin semata-mata, sebaliknya pendedahan kepada sinaran biru yang dipancarkan oleh paparan skrin dalam jangka lama secara berterusan boleh menyebabkan komplikasi yang serius.

“Sinaran biru mempunyai jarak gelombang yang sangat pendek dan ini membuatkan ia menghasilkan sejumlah tenaga yang lebih tinggi. Kajian menunjukkan pendedahan pada sinaran biru secara berlebihan dalam jangka panjang boleh menyebabkan kerosakan serius kepada mata.

“Ini kerana, sinaran biru menjangkau jauh ke dalam mata dan kesan kumulatifnya iaitu pendedahan sedikit demi sedikit dalam jangka panjang boleh menyebabkan kerosakan kepada retina,” katanya pada sesi bicara kesihatan mata anjuran Systane, baru-baru ini.

Dr Siva Kumar berkata, kekerapan tekanan digital terhadap mata boleh mengakibatkan masalah mata kering yang jika tidak dirawat boleh mendatangkan kesan buruk terhadap penglihatan seseorang. Masalah mata kering menjejaskan kebolehan seseorang dalam menjalankan aktiviti harian, malah menjejaskan kemampuan seseorang untuk memandu dan membaca.

“Satu lapisan air mata yang nipis sepatutnya menyaluti permukaan mata setiap kali mata berkelip. Apabila seseorang mempunyai masalah mata kering, kelenjar air mata tidak menghasilkan cecair yang secukupnya untuk melembapkan dan melindungi mata seterusnya mengakibatkan ketidakselesaan dan kerengsaan.

“Inilah yang terjadi akibat daripada pendedahan yang terlalu lama dan berpanjangan daripada tekanan digital terhadap mata. Apabila tidak dirawat, ia boleh mengakibatkan kesan jangka panjang yang berbahaya dan impak secara langsung kepada kesihatan mata seseorang.

“Namun, masalah mata kering juga disebabkan punca seperti menghidap penyakit, perubahan persekitaran dan penuaan. Gejala bagi mata kering seperti mata pedih, rasa kasar seperti berpasir, kemerahan, pandangan kabur dan tidak tahan silau,” katanya.

Beliau berkata, teknologi sememangnya banyak kelebihannya, namun ia perlu digunakan secara bertanggungjawab untuk mengelakkan kesan berbahaya kepada kesihatan kita. Terdapat amalan mudah yang dapat digunakan dalam rutin untuk mengelakkan mata daripada mengalamai masalah kekeringan dan tekanan.

“Rehatkan mata daripada menatap skrin selama 20 saat pada setiap 20 minit dan melihat pemandangan pada jarak 20 kaki. Di samping itu, selaraskan kadar terang cahaya pada komputer atau telefon pintar kepada tahap yang selesa bagi mata.

“Menatap skrin digital pada jarak yang selesa dan elakkan daripada menatapnya terlalu dekat. Pengguna juga digalakkan melembapkan mata sebelum kekeringan berlaku menerusi ubat titis mata yang boleh memberikan perlindungan daripada masalah mata kering.

“Pengguna dinasihat melakukan pemeriksaan mata sekurang-kurangnya sekali setahun bagi memastikan mata dan penglihatan mereka kekal dalam keadaan baik,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Novartis Malaysia, Joshi Venugopal berkata, selain menyediakan penyelesaian kepada pengguna menerusi rangkaian ubat titis mata, pihaknya turut menjalankan usaha yang berterusan bagi meningkatkan kesedaran mengenai masalah mata kering dan apa yang dapat dilakukan untuk mengatasinya.

“Baru-baru ini, kami melancarkan laman Facebook sebagai platform untuk berhubung dengan komuniti Malaysia dan mendidik mereka mengenai penjagaan mata yang betul serta penyelesaian yang ada untuk mereka sekiranya mengalami tanda-tanda mata kering.

“Kami berharap supaya dapat menggunakan laman sosial ini untuk mencapai seramai pengguna yang boleh untuk mewujudkan kesedaran amalan mata yang tidak sihat yang dapat membawa kepada isu penglihatan pada jangka masa yang panjang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Ogos 2017 @ 12:29 AM