SATU daripada 10 kanak-kanak di Malaysia mempunyai masalah penglihatan yang tidak dikesan.
PANDANGAN normal dan miopia.
MURPHY (dua dari kiri) bersama Pengarah Penjagaan Johnson & Johnson Sdn Bhd, Lawrence Kwan, Azman (tengah), Setiausaha Majlis Optik Malaysia, Azizah Ismail (dua dari kanan) dan Bebe pada pelancaran
Hidayatul Akmal Ahmad
hidayatulakmal@hmetro.com.my


Berdasar kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (World Health Organisation, WHO), kadar prevalens bagi miopia (rabun jauh) meningkat dalam kalangan kanak-kanak terutama di kawasan bandar di Asia Tenggara seterusnya menunjukkan menjelang 2050, separuh daripada populasi dunia (4.95 bilion) akan mendapat miopia.

Ini bermakna satu daripada dua orang akan mendapat miopia. Orang Asia lebih cenderung untuk mendapat miopia disebabkan beberapa faktor termasuk genetik, teknologi moden, persekitaran dan gaya hidup.

Lebih membimbangkan miopia boleh dikaitkan dengan risiko lebih tinggi untuk mendapat glaucoma dan katarak, yang boleh menjejaskan kualiti hidup pesakit.

Bagi terus memberi kesedaran terhadap orang ramai mengenai kepentingan menjaga mata, Persatuan Optometris Malaysia (Association of Malaysian Optometrists atau AMO), bersama Majlis Optik Malaysia (Malaysian Optical Council, MOC) melancarkan kempen.

Kesedaran Kesihatan Mata Kebangsaan (National Eye Health Awareness, NEHA) yang menekankan keperluan untuk rakyat Malaysia menjalani pemeriksaan dan mendapatkan nasihat yang betul mengenai mata.

Presiden Persatuan Optometris Malaysia, Murphy Chan berkata satu kajian terkini melaporkan satu daripada 10 kanak-kanak di Malaysia mempunyai masalah penglihatan yang tidak dikesan.

“Kadar miopia dan preskripsi untuk cermin mata dan kanta lengkap yang tinggi dalam populasi rakyat negara ini memerlukan cermin mata dan kanta lekap sentiasa ada.

“Namun, kebanyakan daripada kita tidak mengetahui pemeriksaan mata yang betul serta berkala perlu dilakukan untuk memastikan preskripsi berkenaan sentiasa tepat di samping membolehkan kita mengesan tanda awal penyakit mata.

“Optometris memainkan peranan penting sebagai barisan tindakan pertama memberikan perkhidmatan penjagaan mata kepada orang ramai dan kami juga percaya standard yang konsisten dalam amalan kanta lekap membantu ramai rakyat Malaysia mendapatkan penglihatan lebih sihat dan selesa,” katanya pada pelancaran kempen berkenaan di ibu negara baru-baru ini.

Menurut kajian terkini oleh J & J, 79 peratus pengguna kanta lekap menyatakan kesihatan mata sering membimbangkan mereka manakala 42 peratus pengguna kanta lekap tidak tahu bahawa kanta lekap adalah alat perubatan yang memerlukan preskripsi.

Selain itu, 91 peratus pengguna kanta lekap menyatakan mereka mempercayai cadangan pembetulan penglihatan yang diberikan oleh pakar penjagaan mata (eye care professional, ECP).

Ini menunjukkan betapa penting meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kesihatan mata dan membuktikan peranan ECP dalam memberikan mereka nasihat penjagaan mata yang betul.

Antara penemuan lain kaji selidik itu termasuk 65 peratus pengguna kanta lekap mencari maklumat dalam talian mengenai pembetulan penglihatan dan kesihatan mata, 55 peratus berjumpa ECP sekurang-kurangnya sekali setahun untuk pemeriksaan mata berkala, 30 peratus tidak mendapat rawatan susulan daripada ECP mereka walaupun 66 peratus inginkan rawatan susulan.

Manakala 82 peratus pengguna kanta lekap berkata, keputusan pembelian mereka dipengaruhi penjelasan ECP mengenai kualiti penjagaan penglihatan ketika memilih kanta lekap, 96 peratus percaya penting untuk ECP mengambil masa mengajar mereka cara memakai dan menanggalkan kanta lekap serta 89 peratus percaya percubaan pemakaian yang dijalankan oleh ECP mempengaruhi keputusan mereka untuk membeli kanta lekap.

Kaji selidik itu menunjukkan ECP memainkan peranan penting memberi nasihat mengenai penjagaan mata kepada pesakit dan membantu mereka mendapatkan kanta lekap paling sesuai.

Di bawah Akta Optikal 1991, hanya optometris dan pakar optik ada permit kanta lekap disahkan MOC sahaja diberikan lesen memberi preskripsi dan mengeluarkan kanta lekap.

Pengarah Jabatan Pembangunan Perubatan Kementerian Kesihatan (KKM), Datuk Dr Azman Abu Bakar berkata, kesejahteraan rakyat penting dan penggerak utama negara mencapai Wawasan 2020.

“Inisiatif NEHA wajar dipuji dan kami sokong bagi meningkatkan kesedaran selain mendidik rakyat Malaysia mengenai kepentingan penjagaan mata yang betul.

“Bagi pihak Kementerian Kesihatan, saya memuji usaha Persatuan Optometris Malaysia, Majlis Optik Malaysia dan Johnson & Johnson Malaysia kerana tampil membantu mencapai komitmen kerajaan dalam meningkatkan standard penjagaan mata di Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Ketua Asia Tenggara dan Penjagaan Penglihatan Johnson & Johnson, Bebe Teo berkata di peringkat global dan Asia Pasifik, keperluan penjagaan kesihatan mata berkualiti tinggi meningkat dengan pantas disebabkan populasi penduduk yang meningkat usia, gaya hidup dan keperluan penglihatan.

“Penglihatan yang baik sangat penting membantu orang ramai menjalani hidup lebih sihat, ceria, panjang umur dan bermakna. Namun, ini hanya boleh dicapai melalui usaha sama orang ramai dan pakar dalam bidang penjagaan mata,” katanya.

Melalui usaha sama ini, Persidangan NEHA mensasarkan untuk mempersiapkan ECP dengan maklumat yang akan mendidik pengguna kanta lekap di Malaysia untuk tidak mendatangkan risiko kepada penglihatan mereka dan mendapatkan pemeriksaan serta nasihat yang betul mengenai penjagaan mata sebelum membeli kanta lekap.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Ogos 2017 @ 12:01 AM