KAEDAH pemutihan gigi pantas menggunakan cahaya LED.
KAEDAH pemutihan gigi pantas menggunakan cahaya LED.
Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my


Senyuman memikat mampu menyemarakkan keyakinan sesiapa saja. Bercakap mengenai kesan pertama, ia biasanya dikaitkan dengan senyuman. Senyuman adalah ciri pertama yang orang akan lihat pada kala bertemu kali pertama, apatah lagi senyuman yang menawan dengan gigi yang putih berseri.

Walaupun memiliki barisan gigi yang putih, tidak bermakna ia gambaran personaliti seseorang. Namun, menurut satu tinjauan, kira-kira 89 peratus pengguna dewasa bersetuju bahawa senyuman dengan gigi yang putih berseri memberi tanggapan yang baik terhadap seseorang.

Biarpun rutin harian seperti memberus dan menggunakan flos memastikan gigi kekal bersih dan sihat di dalam hingga ke luar, kebanyakan pengguna mungkin terlepas pandang satu lagi kriteria kesihatan oral yang baik iaitu gigi yang putih.

Kajian mendapati kira-kira 54 peratus pengguna dewasa bersetuju bahawa jika ada satu perkara yang ingin dilakukan untuk memperbaiki senyuman, mereka mahu memutihkan gigi berbanding membetulkan jajaran gigi atau isu kosmetik lain. Malah, mereka sanggup ke pakar pergigian untuk mendapatkan hasil segera.

Wujud banyak jenis kotoran gigi, ada yang bersifat genetik dan ada yang disebabkan tindakan farmakologi. Kotoran paling biasa ialah pada permukaan enamel atau di bawah lapisan enamel dalam dentin. Gigi kuning selalunya terjadi akibat pengambilan kopi, teh atau pemakanan lain atau tabiat gaya hidup seperti merokok.

Pengarah Hal Ehwal Pelanggan dan Saintifik Pergigian (Kesihatan Peribadi) Philips, Dr Marilyn Ward berkata, dari semasa ke semasa kotoran pada permukaan gigi boleh menembusi enamel dan menukar warna dentin yang menggelapkan keseluruhan gigi dan ini yang menyebabkan gigi bertukar kuning.

Gigi boleh diputihkan sama ada menggunakan ubat gigi yang boleh dibeli terus di kaunter atau khidmat pakar pergigian. Segelintir produk pemutihan gigi mampu membuang kotoran pada permukaan enamel secara mengikis atau tindak balas bahan kimia, malah ubat gigi mungkin mengandungi molekul silika yang mengilatkan enamel.

Bagi kaedah membuang kotoran di bawah enamel, ia termasuk penggunaan bahan pemutih gigi seperti hidrogen peroksida atau karbamid peroksida. Reaksi bahan kimia ini memecahkan ikatan karbon yang menyebabkan gigi kuning dan sebaik ikatan itu pecah, gigi akan berseri semula.

“Bagi membantu pengguna mendapatkan gigi yang putih berseri dan memperbaharui senyuman mereka, Philips menawarkan portfolio menyeluruh pemutihan gigi profesional menerusi inovasi penjagaan oral terbaru, Philips Zoom Whitening.

“Inovasi penjagaan oral berkenaan yang menyokong sains pemutihan gigi membantu pengguna mendapatkan gigi yang putih berseri menerusi kandungan bahan dikenali ‘ferrous gluconate’ yang bertindak sebagai bahan pemutih apabila disapu pada permukaan gigi.

“Gel pemutih ini bertindak balas apabila terdedah kepada cahaya LED menerusi teknologi cahaya Philips Zoom Whitespeed yang memecah zarah kotoran kuning atau perang yang kemudian mengubah gigi menjadi putih dalam hanya 45 minit,” katanya.

Marilyn berkata, proses pemutihan Philips hanya boleh diperoleh di klinik pergigian yang menawarkan khidmat berkenaan dan ia dijalankan empat peringkat tetapi hasilnya adalah serta-merta menerusi satu lawatan klinikal.

“Proses empat peringkat ini mengambil masa 15 minit bagi setiap peringkat dan ia diulang dalam tiga pusingan. Antara setiap pusingan, gel pemutih akan disapu pada permukaan gigi.

“Pada peringkat kedua, reaksi kimia akan bertindak balas apabila kotoran kuning atau perang pada gigi bertindak dengan gel pemutih untuk menghasilkan radikal. Peringkat ketiga proses ini, gel pemutih terus bertindak balas dengan cahaya LED menerusi reaksi fenton-foto.

“Cahaya itu secara pusingan memperbaharui zat besi dan terus menghasilkan radikal, lantas memberi keputusan memutih sewaktu rawatan dilakukan pada peringkat akhir,” katanya pada sesi demonstrasi pemutihan gigi menerusi Philips Zoom Whitening, baru-baru ini.

Katanya, Philips Zoom Whitening membolehkan lapan tona pemutihan dalam tempoh hanya 45 minit dan prosedur menyahkan kotoran pada permukaan gigi menerusi reaksi kimia dan bukan dengan mengikis enamel.

“Dengan teknologi diaktifkan oleh cahaya LED, ia menjalankan proses pemutihan dengan hebat bagi profesional pergigian dan lebih penting adalah, pengguna memperoleh hasil diingini dengan segera. Pada zaman ini, semua orang sentiasa sibuk dan produk berkualiti seperti Philips Zoom Whitening berupaya memberikan hasil yang baik dalam tempoh singkat.

“Malah, Philips juga memacu usaha untuk membaiki kesihatan oral menerusi kerjasama dengan Persekutuan Pergigian Dunia (FDI) yang menyasarkan kepentingan tabiat penjagaan kesihatan oral yang baik dalam kalangan orang dewasa dan kanak-kanak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 September 2017 @ 12:00 AM