KAJIAN menunjukkan bagi setiap 1,000 kelahiran, kira-kira satu hingga enam bayi mengalami masalah pendengaran pada tahap sederhana hingga sangat teruk (1-6:1,000) (6)
HELMI dan Farzan ketika ditemui di Kidzania baru-baru ini.
(DARI kiri) Wan Syafira bersama Shahrul Nizar Ahmad, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Industri UKM, Prof Datuk Dr Imran Ho Abdullah (tengah) Prof Dr Kartini Ahmad dan Vincent Chong pada program Break The Silence baru-baru ini.
Hidayatul Akmal Ahmad
hidayatulakmal@hmetro.com.my

Masalah pendengaran adalah satu masalah kesihatan yang dialami kanak-kanak serta orang dewasa. Masalah ini dikenal pasti melalui pelbagai situasi. Antaranya apabila kita kurang dengar atau tidak dapat mendengar langsung percakapan orang lain. Manakala seorang kanak-kanak tidak dapat bertutur dengan jelas kerana tidak boleh mendengar dengan baik.

Kajian menunjukkan bagi setiap 1,000 kelahiran, kira-kira satu hingga enam bayi mengalami masalah pendengaran pada tahap sederhana hingga sangat teruk (1-6:1,000) (6).

Keadaan itu memerlukan perhatian serius kerana berkemungkinan senario sedemikian memberikan petanda anak mengalami masalah sistem pendengaran.

Pengalaman itu dialami Mohamad Helmi Hanifah, 36, yang mendapati anak bongsunya, Mohamad Farzan yang berusia dua tahun bertutur dalam bahasa yang sangat asing.

“Saya perasan ada yang tidak kena dekat anak ketika itu, saya membawanya ke klinik tetapi doktor menjelaskan budak lelaki memang lambat bercakap.

“Hanya selepas telinganya bermasalah dan menjalani beberapa ujian, baru disahkan kedua-dua telinga Mohamad Farzan mengalami masalah pendengaran tahap empat,” katanya ketika ditemui ketika majlis ‘Break The Silence’ anjuran Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Swiss Medicare Sdn Bhd di Kidzania, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Program dengan kerjasama Themed Attractions Resorts & Hotels Sdn Bhd itu memberi peluang kepada lebih 20 kanak-kanak yang memakai implan koklea untuk merasai pengalaman pembelajaran secara interaktif.

Sementara itu, Ketua Program Audiologi FSK UKM, Dr Nashrah Maamor, berkata masalah pendengaran perlu dikesan sejak lahir sehingga sebelum mencecah usia tiga tahun.

“Sekiranya anak tidak faham apa yang kita cakap atau sukar mendengar apabila dipanggil walaupun pada jarak dekat, kemungkinan dia ada masalah pendengaran.

“Bagaimanapun, kini hospital kerajaan menjalankan ujian saringan pendengaran neonatal terhadap semua bayi yang baru dilahirkan bagi mengesan masalah ini,” katanya.

Ibu bapa juga berperanan memastikan anak tidak terdedah pada bunyi bising termasuk mainan berbunyi kuat dalam tempoh berterusan bagi mengelakkan mereka mengalami masalah pendengaran pada masa depan.

Objektif utama penganjuran program adalah untuk melatih kanak-kanak bermasalah pendengaran dalam kemahiran mendengar dan berkomunikasi secara lisan dalam suasana mencabar dalam persekitaran selamat sekali gus memupuk sikap berdikari dalam kalangan mereka.

Dalam pada itu, Pengarah program Break The Silence, Dr Wan Syafira Ishak berkata, program itu diharap dapat memberi lebih kesedaran kepada ibu bapa supaya lebih peka dengan keadaan anak mereka.

“Sekarang semua hospital kerajaan menjalankan ujian saringan pendengaran menggunakan alat berkomputer. Beberapa jam selepas lahir saja kita sudah boleh kesan sama ada bayi normal atau sebaliknya berserta tahap keterukan yang akan dilakukan oleh audiologis.

“Sebenarnya banyak inisiatif yang ditawarkan. Bukan bermakna apabila anak mempunyai masalah pendengaran ia adalah pengakhiran hidup,” katanya.

INFO

Punca bayi lahir dengan masalah pendengaran (60 peratus boleh dicegah)

i. Kesan daripada jangkitan

ii. Elak mengambil sebarang ubat tanpa nasihat doktor sepanjang tempoh kehamilan

iii. Disaran menjalani gaya hidup sihat sewaktu hamil dengan tidak merokok

Punca lain ganggu pendengaran bayi

• Bayi lahir dengan komplikasi kesihatan seperti jaundis, berat badan kurang

• Bayi lahir pramatang

Kekerapan masalah pendengaran

• Enam bagi setiap 1,000 bayi yang baru dilahirkan. (bermula daripada masalah ringan sehingga pekak sepenuhnya)

Tahap gangguan pendengaran

• Sederhana

• Teruk

• Sangat teruk

• Pekak

Matlamat guna implan koklea

• Kanak-kanak dapat mendengar

• Belajar bertutur dan menguasai bahasa

• Dapat belajar di sekolah biasa

Kos alat bantu dengar

• RM1,500 sehingga RM16,000

• Pelbagai ciri mengikut keperluan

Tahap kehilangan pendengaran kanak-kanak

Kurang pendengaran (mild)

• Tahap kehilangan pendengaran antara 27 hingga 40dB

• Memahami perbualan

• Mengalami kesulitan mendengar bunyi perlahan dan jauh

• Memerlukan terapi pertuturan

Sederhana

• Tahap kehilangan pendengaran antara 41 hingga 55dB

• Mendengar bunyi satu hingga 1.5 meter

• Memahami perbualan

• Sukar membabitkan diri dalam perbincangan kelas

• Memerlukan alat bantuan pendengaran

• Memerlukan terapi pertuturan

Sederhana teruk (moderate severe)

• Tahap kehilangan pendengaran antara 56 hingga 70dB

• Memerlukan alat bantu dengar dan latihan pendengaran

• Memerlukan latihan pertuturan komunikasi

• Orang yang berhubung perlu bercakap kuat

• Pertuturan mereka mungkin tidak sempurna kerana pendengaran terhad

Pekak Teruk (severe)

• Tahap kehilangan pendengaran antara 71 hingga 90dB

• Dapat dengar bunyi kuat pada jarak sifar hingga 30.5 sentimeter

• Mungkin dapat membezakan sesetengah bunyi sahaja

• Menghadapi masalah pertuturan

• Memerlukan pendidikan khas, alat bantu dengar serta latihan pertuturan komunikasi

Sangat teruk (profound)

• Tahap kehilangan pendengaran lebih 90dB

• Sukar dengar walau bunyi kuat

• Memerlukan alat bantuan pendengaran serta terapi pertuturan

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 September 2017 @ 12:00 AM