ANEURISME berlaku sedikit demi sedikit dalam tempoh 20 hingga 30 tahun sebelum nampak simptom.
SALURAN darah aorta mengembang berisiko pecah dan mengundang maut.
TIUB FET menyerupai belalai gajah yang dipasang menggantikan saluran darah utama yang rosak.
Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my


Tekanan darah tinggi atau hipertensi bukan penyakit yang asing dalam kalangan kita mahupun di dunia. Dianggarkan lebih 970 juta penduduk dunia berdepan penyakit ini yang berkait rapat dengan amalan gaya hidup. Malah, di Malaysia jumlah penghidap hipertensi dalam kalangan dewasa berusia 18 tahun ke atas meningkat mencecah 30 peratus populasi kumpulan umur terbabit.

Hipertensi digelar pembunuh senyap kerana tidak menunjukkan apa-apa simptom pada peringkat awal, tetapi menyebabkan bilangan kematian yang tinggi dalam kalangan penduduk negara ini dan juga di seluruh dunia.

Kajian menunjukkan hipertensi boleh mengakibatkan kerosakan dalam diam terhadap organ dalaman badan selama bertahun-tahun sebelum simptom timbul. Satu daripada komplikasi hipertensi adalah bengkak di saluran aorta (aneurisme) dan masalah ini boleh mengundang maut berikutan aneurisme terkoyak atau bocor dan berlaku pendarahan yang banyak.

Pakar Perunding Kanan Kardiovaskular dan Pakar Bedah Torasik (Pembedahan Jantung dan Paru-paru) Pusat Pakar Universiti Malaya (UMSC), Profesor Dr Raja Amin Raja Mokhtar berkata, aorta adalah saluran darah paling besar dan terpenting dalam badan manusia yang membawa darah beroksigen keluar dari jantung ke organ lain.

Dinding aorta bersifat tebal, berotot dan elastik supaya ia boleh tahan tekanan darah yang tinggi disebabkan oleh denyutan jantung. Akibat hipertensi, aorta menerima tekanan yang melampau tinggi dan lama-kelamaan dinding saluran darah ini akan rosak dan menjadi lemah.

“Ini akan menyebabkan keseluruhan atau sebahagian daripada dinding aorta mengembang atau membengkak umpama belon dan ini yang dinamakan aneurisme. Bagaimanapun, pembentukan aneurisme ini berlaku sedikit demi sedikit dalam tempoh antara 20 hingga 30 tahun sebelum pesakit menunjukkan simptom masalah ini.

“Tekanan darah tinggi yang berlebihan kemudian menyebabkan dinding aorta yang lemah dan mengembang itu pecah atau terkoyak dan pesakit akan mengalami pendarahan dalaman yang teruk,” katanya.

Katanya, saluran darah yang pecah berkenaan akan memutuskan bekalan darah ke organ lain. Akibatnya, pesakit akan berdepan masalah kesihatan bergantung pada organ yang tidak menerima bekalan darah.

“Jika saluran darah yang membekalkan oksigen dan tenaga ke otak pecah, pesakit akan mendapat strok. Begitu juga pesakit akan mengalami kegagalan buah pinggang dan serangan jantung jika saluran darah ke organ itu terputus bekalan.

“Mana-mana bahagian aorta dari jantung ke otak dan kaki boleh mengembang. Malah, bengkak juga boleh berlaku di beberapa tempat di sepanjang saluran darah utama ini. Ia juga boleh berulang walaupun masalah yang pertama sudah diatasi menerusi pembedahan,” katanya.

Dr Raja Amin berkata, aneurisme ini dicirikan dengan bengkak yang terjadi pada sebelah dinding saluran darah dinamakan ‘saccular aneurysm’, manakala bengkak yang terjadi pada kedua-dua belah dinding saluran darah dinamakan ‘fusiform aneurysm’.

“Pesakit dengan ‘saccular aneurysm’ perlu menjalani pembedahan awal dan cepat berikutan risiko untuk ia pecah berlaku pada bila-bila masa. Bagi pesakit dengan ‘fusiform aneurysm’ pula, mereka perlu menunggu bengkak itu membesar lebih daripada lima sentimeter sebelum pembedahan dijalankan.

“Kes pesakit aorta aneurisme paling banyak adalah bengkak pada kedua-dua belah dinding saluran darah. Ini dapat dilihat menerusi pemeriksaan sinar-X apabila diameter aorta mengembang lebih lima sentimeter. Diameter aorta normal berukuran kurang dua sentimeter,” katanya.

Jenis aneurisme aorta ditentukan mengikut lokasi berlaku pengembangan saluran darah iaitu dalam dada dikenali Aneurisme Aorta Torasik, manakala dalam abdomen iaitu kawasan di bawah dada dan di atas ruang pelvis dikenali Aneurisme Aorta Abdomen.

Simptom yang timbul apabila aneurisme pecah atau sudah terlalu besar seperti sakit yang teruk pada bahagian belakang, dada dan dalam perut. Pesakit juga sukar bernafas dan menelan, lemah dan pengsan.

Selain hipertensi, kerosakan pada dinding aorta turut berpunca daripada penuaan, jangkitan, kolesterol tinggi, pembentukan plak dalam saluran darah arteri, kecederaan traumatik mengejut dan sejarah keluarga dengan penyakit terbabit.

“Rata-rata pesakit aneurisme aorta adalah daripada kalangan populasi berusia lebih 60 tahun disebabkan faktor usia dan komplikasi penyakit tidak berjangkit. Mereka yang mempunyai sejarah keluarga yang menghidap penyakit ini turut terdedah mengalami penyakit yang sama.

“Malah, bagi faktor keturunan penyakit ini boleh berlaku pada usia yang lebih muda dan mempunyai kadar aneurisme pecah yang lebih tinggi.

“Namun, ada juga yang dilahirkan dengan masalah kesihatan yang meningkatkan risiko aneurisme aorta seperti tisu lemah atau aorta sempit,” katanya.

Beliau berkata, aneurisme aorta tidak dapat dirawat dengan ubatan oral, sebaliknya pesakit perlu menjalani pembedahan penggantian tiub sintetik selepas membuang bahagian yang rosak. Salur darah aorta yang mengembang juga tidak boleh surut, namun kadar pembengkakan boleh diperlahankan menerusi kawalan penyakit tidak berjangkit yang mencetuskan aneurisme.

“Pembedahan aneurisme aorta membabitkan prosedur yang merumitkan dan hanya pakar bedah aorta terlatih yang boleh melakukannya. Operasi pembedahan semakin mencabar berikutan rata-rata pesakit mendapatkan rawatan selepas berada dalam peringkat teruk.

“Malah, pembedahan sedemikian dijalankan apabila aneurisme aorta mendatangkan masalah kesihatan yang serius kepada pesakit atau pemeriksaan mendapati bengkak pada aorta meningkat dengan pantas dan melepasi lima sentimeter.

“Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) kini menawarkan prosedur kompleks terbaru untuk aneurisme aorta dikenali sebagai pembedahan penukaran lengkuk aorta sepenuhnya dengan teknik ‘Frozen Elephant Trunk’ (FET).

“Tiub digunakan bagi menggantikan lengkuk aorta ini menyerupai belalai gajah dan teknik ini dilihat dapat mengurangkan risiko kepada pesakit,” katanya.

Bagi mendalami teknik FET, PPUM bekerjasama dengan pakar bedah aorta terkemuka dunia iaitu Ketua Pakar Bedah Perkhidmatan Aorta dan Transplan, Hospital Queen Elizabeth (United Kingdom), Dr Jorge Mascaro.

“Malah, PPUM turut berjaya menjalankan prosedur kali pertama dengan teknik FET ini ke atas seorang pesakit lelaki berusia 70 tahun dari Pulau Pinang pada 26 Julai lalu.

“Pesakit mengadu sakit yang teruk pada bahagian dadanya selama beberapa bulan dan pemeriksaan lanjut menemui aneurisme pada sebelah saluran darah utamanya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 September 2017 @ 4:14 AM