JANGAN ambil ringan simptom najis berdarah.
Hidayatul Akmal Ahmad
hidayatulakmal@hmetro.com.my


Kanser kolorektal atau lebih dikenali kanser usus besar kini menjadi kanser nombor satu dihidapi lelaki di Malaysia serta yang kedua tertinggi dalam kalangan wanita. Sejarah keluarga, gaya hidup tidak sihat dan peningkatan umur menjadi faktor penyumbang kepada penyakit ini.

Walaupun pelbagai kempen kesedaran dijalankan, masih ramai yang takut menjalani pemeriksaan awal. Antara alasan diberi malu, takut menerima kenyataan dan tidak mahu menyusahkan keluarga. Ini menyebabkan penyakit merebak dan seterusnya sukar diubati.

Pakar Bedah Am dan Usus, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKMMC), dan Pusat Perubatan Pakar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKMSC) Dr Luqman Mazlan berkata, kebanyakan kes yang berlaku disebabkan tidak mahu berjumpa doktor seterusnya merebak ke organ seperti hati dan paru-paru.

“Lebih membimbangkan apabila jumlah pesakit yang didiagnosis menghidap kanser usus meningkat setiap tahun dan dalam kebanyakan kes, pesakit dikesan menghidap penyakit ini pada peringkat lanjut iaitu tahap tiga dan empat.

“Sebanyak empat ribu kes baru didiagnosis setiap tahun di negara ini malah 700,000 pesakit setiap tahun di seluruh dunia. Di negara ini, kaum Cina yang paling tinggi bilangannya diikuti India dan Melayu.

“Risiko mendapat kanser usus bagi lelaki dan wanita lebih kurang sama tetapi kanser yang menyerang bahagian rektum lebih banyak dihadapi wanita,” katanya ketika ditemui di pusat perubatan itu baru-baru ini.

Menurut beliau, kanser usus boleh menyerang siapa sahaja. Sikap masyarakat yang suka ambil ringan dan tidak peduli sesuatu simptom boleh memudaratkan.

“Misalnya, simptom najis berdarah. Ada beranggapan ia buasir dan selagi tidak menyakitkan, tidak mahu berjumpa doktor. Kira-kira 60 peratus pesakit berjumpa doktor apabila berada pada tahap tiga dan empat yang mana sangat sukar dirawat.

“Penukaran tabiat buang air besar lebih dua minggu atau kerap juga antara simptom awal kanser usus. Selain itu kewujudan lendir pada najis juga antara simptom kanser berkenaan,” katanya.

Berdasarkan data diperoleh daripada negara Barat, individu yang berisiko tinggi dan mencapai usia 50 tahun digalakkan menjalani pemeriksaan awal pada usus iaitu kolonoskopi.

Mengikut panduan American College of Gastroenterology, jika anda mempunyai saudara terdekat (ibu bapa atau adik-beradik) menghidap kanser kolon pada sekitar usia 60 tahun, anda perlu mula menjalani pemeriksaan usus atau kolonoskopi pada umur 40 tahun.

Luqman turut mengingatkan orang ramai bahawa kanser usus tidak hanya menyerang golongan berusia malah golongan muda turut tidak terkecuali.

“Seperti saya katakan penyakit ini boleh menyerang sesiapa saja. Hanya 20 peratus membabitkan genetik, selebihnya adalah faktor persekitaran. Saya juga pernah merawat seorang pesakit muda berusia 19 tahun yang tiada sejarah keluarga menghidap kanser ini. Sebab itu pemeriksaan berkala amat penting,” katanya.

Ada beberapa rawatan kanser kolon metastatik seperti pembedahan, kemoterapi, radioterapi dan terapi alternatif peringkat lanjut lain.

INFO:

Kanser usus

Dikesan sering berlaku pada lelaki dan wanita berusia 50 ke atas, terutama lelaki. Punca utama masih tidak diketahui, malah tidak menunjukkan tanda awal yang jelas.

Lakukan saringan jika mengesan satu atau lebih faktor risiko berikut:

- Sejarah keluarga yang mengalami kanser kolon atau polip

- Sejarah keluarga yang mengalami diabetes jenis 2

- Mengetahui sejarah keluarga yang mewarisi gejala kanser kolon

- Pernah mengalami kanser kolon atau polip adenomatous

- Pernah mengalami penyakit keradangan usus kronik

- Kegemukan

- Gaya hidup kurang aktif

- Perokok

- Diet tidak seimbang

- Alkohol

- Usia

Ujian Saringan dan diagnosis kanser kolon:

- Pemeriksaan fizikal dan sejarah kesihatan

- Ujian Rektal Digital

- Faecal Immunohistochemical Staining

- Ujian terkini mengesan darah dalam najis

- Faecal Occult Blood Test (FOBT)

- Ujian darah dalam cebisan najis

- CT Kolonoskopi

- Menggunakan teknologi CT untuk mengesan polip dan kanser

- Barium Enema

- X-ray khusus untuk usus besar

- Sigmoidoscopy atau Kolonoskopi

- Alat untuk memeriksa organ dalam badan secara visual

Gejala biasa bergantung pada bagaimana kanser itu terjadi, antaranya:

1. Keluar darah melalui dubur - bergantung pada di mana usus itu berada. Jika kanser terjadi di bahagian berdekatan dubur, darah yang keluar berwarna merah terang dan cair. Jika berlaku di sebelah kanan, darah biasanya bercampur najis dan ia berwarna lebih pekat.

2. Perubahan tabiat buang air besar. Kadangkala pesakit mengalami cirit-birit dan diselang seli dengan keadaan normal juga sembelit. Pesakit juga kadangkala tidak puas buang air besar iaitu terasa ingin membuang air besar tetapi tiada apa yang keluar.

3. Sakit perut lebih kepada bahagian kiri abdomen.

4. Berat badan berkurangan tanpa sebab.

5. Muka pucat, kurang darah (anemia), letih dan tidak bermaya.

6. Kurang 10 peratus pesakit mengalami penyumbatan usus.

Mengurangkan risiko kanser usus:

1. Mengamalkan hidup sihat iaitu pengambilan makanan berkhasiat iaitu melebihkan pengambilan sayuran dan buah-buahan.

2. Mengurangkan makanan mengandungi lemak haiwan seperti kambing dan lembu.

3. Mengekalkan berat badan seimbang.

4. Bersenam

5. Tidak merokok

6. Tidak mengambil minuman keras.

Empat rawatan utama untuk kanser usus:

- Pembedahan

- Radioterapi

- Kemoterapi

- Target terapi

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Oktober 2017 @ 4:33 AM