CBCT bantu analisis struktur dan ketebalan tulang rahang, kedudukan saraf dengan imej tiga dimensi.
PEMASANGAN implan dilakukan pada tulang gigi yang kuat.
PEMASANGAN templat untuk memudahkan pembedahan pemasangan implan.
Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my


Gara-gara kehilangan sebatang gigi, struktur dua gigi sihat yang terletak di antara gigi rongak itu terpaksa dikorbankan semata-mata untuk dipasangkan jambatan gigi (dental bridge) demi mengembalikan senyuman menawan.

Selain pemasangan jambatan gigi ini bagi melengkapkan kembali kelompongan barisan gigi, pemakaian gigi palsu antara alternatif popular.

Kini, teknologi implan pergigian menggunakan skru diperbuat daripada logam titanium dipasang pada tulang rahang menjadi pilihan utama sekali gus menutupi kekurangan kaedah sedia ada.

Menurut Perunding Pembedahan Mulut, Maksilofasial dan Implantologis Pergigian, Pusat Perubatan Darul Ehsan (DEMC) Dr Firdaus Hanapiah, penggantian gigi menggunakan teknologi implan kian popular dalam kalangan pesakit gigi.

“Kesedaran terhadap kesihatan mulut dalam masyarakat semakin meningkat malah mereka juga terdedah dengan kaedah rawatan yang terkini.

“Pembedahan implan pergigian bukanlah satu prosedur mudah kerana ia memerlukan kepakaran dan pengalaman doktor gigi.

“Rawatan implan pergigian memerlukan doktor mengenal pasti struktur dan ketebalan tulang serta susunan gigi asal bagi menghasilkan barisan gigi yang sempurna dan cantik.

“Jika tersalah, ia membuatkan susunan gigi nampak tidak cantik. Justeru, ia agak sukar untuk dipelajari oleh segelintir doktor baru.

“Tambahan pula sebelum ini kita hanya menggunakan mesin sinar-X dua dimensi, di mana imej dihasilkan kurang jelas berbanding teknologi imbasan tomografi berkomputer (Cone Beam Computerised Tomographic Scan - CBCT) yang kini digunakan di hospital besar dan klinik pakar pergigian,” katanya.

Penciptaan inovasi berasal dari Taiwan ini membantu doktor gigi menganalisis keadaan, struktur dan ketebalan tulang rahang, kedudukan saraf dan penentuan posisi penanaman implan gigi dengan lebih jelas apabila ia memberi imej tiga dimensi (3D).

Jelas Dr Firdaus, pesakit yang memerlukan rawatan implan pergigian akan melalui proses pengimbasan di bahagian muka menggunakan CBCT untuk mendapat gambaran 3D yang jelas mengenai masalah dan kedudukan bahagian mulut mereka.

Penggunaan perisian ‘BenQ’ membantu melakukan penilaian tepat untuk menghasilkan acuan atau templat pembedahan bagi menentukan posisi tepat dan selamat bagi pemasangan skru titanium berkenaan.

Katanya, acuan atau templat pembedahan implan ini dihasilkan daripada bahan ‘sleeve titanium’ menggunakan mesin 3D Printer menjadikan proses pembedahan implan pergigian lebih mudah.

“Ini kerana templat itu dihasilkan dengan mengambil kira ketebalan tulang rahang, kedudukan saraf dan posisi kedudukan gigi yang tepat, jadi hasilnya mengikut ciri individu.

“Penggunaan templat turut mempercepatkan tempoh prosedur pembedahan yang dulunya mungkin satu jam bagi satu implan kepada 20 minit bagi satu implan.

“Tanpa teknologi seperti ini proses pembedahan menjadi agak lambat kerana doktor gigi perlu berhati-hati demi mengelak berlaku komplikasi.

“Imej 2D tidak memberi gambaran jelas mengenai ketebalan tulang yang menjadi asas kepada pemasangan implan gigi.

“Tidak menolak kemungkinan, wujudnya risiko kerosakan tulang gigi, ketidakpastian kedalaman implan yang dipasang mahupun terkena saluran darah hingga mengakibatkan pendarahan teruk,” tambahnya .

Selain digunakan bagi pembedahan pemasangan implan gigi dan ortodontik, CBCT ini dapat dimanfaatkan bagi merancang pembedahan gigi bongsu dalam kalangan remaja dan terapi tampalan akar gigi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 January 2018 @ 4:39 AM