DIABETES ialah punca buta paling umum dalam kalangan dewasa yang berusia antara 20 hingga 74 tahun.
DIABETES ialah punca buta paling umum dalam kalangan dewasa yang berusia antara 20 hingga 74 tahun.
Zaitie Satibi


Diabetes ialah punca buta paling umum dalam kalangan dewasa yang berusia antara 20 hingga 74 tahun, malangnya tidak ramai yang menyedari risiko itu termasuk penghidap diabetes sendiri. Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2006 mendapati 15,000 hingga 39,000 kehilangan penglihatan disebabkan penyakit kronik ini.

Buta akibat diabetes berlaku apabila penyakit kronik itu menyebabkan kerosakan pada saluran darah tisu yang sensitif cahaya di belakang mata (retina) dan keadaan itu dirujuk sebagai retinopati diabetes.

Kementerian Kesihatan bertekad mencegah kebutaan dalam kalangan pesakit diabetes dengan menubuhkan Kumpulan Kerja Teknikal (TWG) yang menggabungkan pakar dalam bidang endokrinologi dan oftalmologi.

TWG terdiri daripada golongan profesional penjagaan kesihatan Perkhidmatan Oftalmologi dan Perkhidmatan Endokrinologi kementerian, Seksyen Rawatan Asas Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga di Hospital Ampang, Hospital Sultanah Nur Zahirah, Hospital Putrajaya, Hospital Sungai Buloh, Bahagian Kawalan Penyakit dan Pegawai Kesihatan Daerah Putrajaya.

Di bawah inisiatif ini juga, pasukan oftalmologi dari Hospital Shah Alam, Hospital Serdang dan Hospital Putrajaya mengadakan kempen kesedaran awam dengan menjalankan pemeriksaan mata di tapak Konvensyen Komuniti Sihat Perkasa Negara (KOSPEN).

ANGGOTA kumpulan kerja teknikal merangkumi pakar bidang diabetes dan penjagaan mata.
ANGGOTA kumpulan kerja teknikal merangkumi pakar bidang diabetes dan penjagaan mata.

Dalam pemeriksaan itu, hampir 25 peratus daripada 330 peserta didapati mengalami retinopati diabetes, dan mereka dirujuk kepada pakar oftalmologi untuk tindakan lanjut.

Ketua Perkhidmatan Oftalmologi Dr Nor Fariza Ngah berkata, Kementerian Kesihatan mengambil inisiatif untuk menubuhkan TWG bagi Pemeriksaan Retinopati Diabetes Nasional pada 2016.

“Dalam kumpulan ini, kementerian menghimpunkan pakar endokrinologi dan pakar penjagaan mata untuk menguruskan keadaan ini secara kohesif yang memerlukan pengkhususan dalam bidang penjagaan diabetes dan optometri.

“TWG memulakan projek kerjasama di antara hospital dan klinik kesihatan kerajaan untuk mewujudkan kesedaran mengenai kesihatan mata khususnya bagi retinopati diabetes dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Hasil daripada usaha TWG ini, seramai 189 profesional penjagaan kesihatan dari kementerian termasuk pendidik diabetes dari Zon Timur dan Tengah diberi latihan pemeriksaan retinopati diabetes. Mereka diajar cara menggunakan kamera fundus yang juga alternatif lebih baik berbanding oftalmoskop yang lazimnya digunakan pada peringkat rawatan asas,” katanya.

DR Nor Fariza.
DR Nor Fariza.

Katanya, apabila menggunakan oftalmoskop mata pesakit perlu diperiksa dalam keadaan anak mata mengembang dan ini memerlukan pesakit terbabit bergantung pada penjaga untuk membawa mereka berulang-alik menjalani pemeriksaan.

“Sebahagian besar penghidap diabetes menerima rawatan asas dan mereka tidak terdedah kepada profesional penjagaan kesihatan yang mempunyai kemahiran untuk mengendalikan oftalmoskop.

“Ini kerana, di kebanyakan hospital prosedur ini hanya dijalankan oleh pakar oftalmologi, maka hanya segelintir penghidap diabetes melakukannya. Penggunaan kamera fundus boleh mengelakkan semua halangan ini menjadikannya lebih mudah kepada pesakit.

“Malah, pelbagai profesional penjagaan kesihatan seperti jururawat, paramedik dan pakar perubatan keluarga turut diajar cara menggunakannya,” katanya.

MATA normal dan mata pesakit diabetes yang sudah terjejas menjadi retinopati diabetes.
MATA normal dan mata pesakit diabetes yang sudah terjejas menjadi retinopati diabetes.

Dr Nor Fariza berkata, pelancaran modul latihan pemeriksaan retinopati diabetes bagi penyedia penjagaan kesihatan yang dijalankan tahun lalu juga banyak membantu mendidik profesional penjagaan kesihatan dengan memberi mereka garis panduan yang boleh dijadikan rujukan.

Kementerian Kesihatan menyedari peluang untuk memanfaatkan sepenuhnya kamera fundus bagi memaksimumkan pemeriksaan. Oleh itu, mereka melaksanakan pelbagai usaha dengan TWG untuk mencapai seberapa ramai pesakit yang menghadapi risiko retinopati diabetes, di samping melengkapkan lebih banyak klinik kesihatan dengan kamera fundus.

Satu bengkel cara mengendalikan kamera fundus diadakan di Hospital Shah Alam membabitkan 58 peserta terdiri daripada pegawai perubatan dan paramedik dari 26 klinik kesihatan. Di samping itu, bengkel amali di enam negeri di Zon Timur dan Tengah juga diadakan untuk mendidik profesional penjagaan kesihatan.

KAMERA fundus yang mengesan retina rosak akibat diabetes dengan lebih cekap.
KAMERA fundus yang mengesan retina rosak akibat diabetes dengan lebih cekap.

“TWG juga mengadakan dua kajian rintis untuk pemeriksaan fundus di Hospital Putrajaya dan Klinik Kesihatan Jeram dan berjaya mencapai sejumlah 1,792 penghidap diabetes. Tetapi, ramai pesakit didapati tidak menjalani pemeriksaan berkala kerana proses mengembangkan anak mata yang rumit.

“Bagaimanapun, penemuan daripada kajian rintis menunjukkan peningkatan dalam kepuasan pesakit kerana masa menunggu yang lebih singkat.

“Malah, pesakit yang dikesan mengalami sebarang bentuk retinopati diabetes tidak kira tahap serius dirujuk serta-merta ke klinik oftalmologi untuk rawatan selanjutnya,” katanya.

Peningkatan bilangan kes diabetes di Malaysia, termasuk dalam kalangan golongan lebih muda, menjadikan pemeriksaan mengesan retinopati diabetes semakin penting kerana lebih lama pesakit menghidap diabetes dan lebih rendah kawalan terhadap gula darah, maka lebih besar kemungkinan mereka mengalami masalah penglihatan ini.

PEMERIKSAAN mata pesakit diabetes mengesan komplikasi penyakit kronik itu terhadap penglihatan.
PEMERIKSAAN mata pesakit diabetes mengesan komplikasi penyakit kronik itu terhadap penglihatan.

Komplikasi diabetes

Diabetes adalah masalah kronik dan boleh mengganggu banyak organ bergantung kepada kawalan gula dalam darah. Tanpa pengurusan yang betul ia boleh mendatangkan berbagai komplikasi selain buta seperti;

a. Penyakit kardiovaskular (berkaitan jantung)

b. Kegagalan buah pinggang

c. Kerosakan saraf (hilang deria rasa)

d. Angin ahmar (kerosakan saluran darah di otak)

e. Pemotongan anggota kaki

Langkah mencegah diabetes

1. Makan secara sihat mengikut Pinggan Sihat Malaysia #SukuSukuSeparuh

2. Kekal aktif sepanjang hari, sekurang-kurangnya 30 minit dalam sehari

3. Kawal berat badan dan kekalkan berat badan unggul

4. Pastikan anda menjalani saringan kesihatan secara berkala dengan memeriksa indeks jisim badan (BMI), tekanan darah, aras gula dalam darah dan juga kolesterol.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Julai 2018 @ 12:16 PM
Digital NSTP Subscribe