PESERTA yang mengisi borang ikrar menjadi penderma organ.
Nurul Husna Mahmud

SEORANG penderma organ boleh menyelamatkan sehingga lapan nyawa. Ini berdasarkan organ yang berpotensi didermakan menerusi pemindahan termasuk ginjal, jantung, paru-paru, hati, usus kecil dan pankreas.

Tisu pula meliputi mata, injap jantung, tulang, kulit, urat darah (vena) dan tendon.

Ketika ini seramai 21,500 pesakit sedang menunggu pemindahan organ dan 99 peratus daripadanya membabitkan pemindahan ginjal selain hati, jantung dan paru-paru.

Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2015 melaporkan kira-kira 3.6 juta rakyat Malaysia menghidap diabetes. Hampir 50 peratus rakyat Malaysia mempunyai paras kolesterol tinggi dan mereka berisiko menghidap penyakit ginjal kronik (CKD) dalam jangka panjang.

Buat masa ini tidak ada penawar untuk menyembuhkan CKD melainkan diurus dengan ubat dan dialisis namun kehidupan pesakit masih terjejas.

Dalam keadaan ini, pemindahan ginjal adalah antara langkah yang boleh meningkatkan mobiliti dalam kehidupan pesakit CKD.

Menurut Pakar Nefrologi Pusat Perubatan Universiti Malaya (UMMC) Profesor Dr Ng Kok Peng, dilema dihadapi pengamal perubatan dan pesakit CKD di Malaysia ialah kekurangan penderma untuk organ terbabit.

Kata Dr Ng, biarpun rawatan dialisis membantu kelangsungan hidup tetapi ia tidak menjamin pesakit menikmati kehidupan lebih baik.

“Ketika ini kira-kira 50,000 pesakit CKD di Malaysia yang menjalani rawatan dialisis dan angka ini terus meningkat kepada 100,000 pada 2020.

“Dilema sekarang ialah semakin ramai pesakit menjalani rawatan dialisis untuk menguruskan keadaan mereka disebabkan kekurangan pemindahan ginjal di Malaysia.

“Sesetengah pesakit terpaksa menunggu bertahun-tahun sebelum menemui organ yang sesuai dan ada kalanya, apabila mendapat organ sesuai mungkin sudah terlalu lewat untuk mereka.

“Pesakit yang memilih pemindahan ginjal daripada penderma juga menghadapi masalah kerana kebanyakan pembedahan pemindahan organ hanya dijalankan di beberapa hospital kerajaan dan sumbernya pula terhad.

“Manakala pesakit yang memilih hospital swasta terpaksa membelanjakan banyak wang bagi menjalani pemindahan organ dan ini menyebabkan mereka memilih untuk meneruskan rawatan dialisis,” katanya.

Menurut Dr Ng, berbanding dialisis, pengamal perubatan sepertinya sentiasa meletakkan pemindahan organ sebagai keutamaan dalam merawat pesakit CKD.

“Penerima organ biasanya menikmati jangka hayat lebih lama iaitu sekitar 10 hingga 20 tahun berbanding penderita CKD yang terus menjalani dialisis.

“Kebanyakan kes pemindahan dilakukan terhadap organ penderma hidup yang biasanya membabitkan ahli keluarga dan impaknya ternyata positif.

“Pesakit boleh menikmati kehidupan seperti sedia kala selain mewujudkan hubungan mampan antara ahli keluarga.

“Begitu juga dalam kes penerima organ penderma si mati, mereka juga menikmati kualiti hidup sama apabila dapat bekerja dan menjalankan rutin seperti biasa,” katanya.

Bagi wakil Pusat Sumber Transplan Nasional Dr Hasdy Haron menyifatkan rutin dialisis yang memerlukan pesakit menjalani rawatan tiga kali seminggu dengan empat jam bagi setiap sesi satu komitmen yang membebankan mereka.


SEBAHAGIAN peserta menyertai kempen Jogaton ‘Organs For Love’ 2018.

“Biasanya pesakit CKD akan menghadapi konflik termasuklah hilang pekerjaan disebabkan rawatan dialisis perlu dilakukan tiga kali seminggu. Itu belum mengambil kira kos pergi dan balik termasuklah keluarga yang terpaksa menemani pesakit. Ini semua memberi gambaran kualiti kehidupan mereka merosot.

“Justeru ketika ini penting untuk terus meningkatkan kesedaran mengenai pemindahan organ dan kekurangan penderma organ, terutama sekali ginjal.

“Pada masa yang sama kami mahu menggalakkan orang ramai memberi persetujuan untuk mendermakan organ mereka.

“Kalaulah masyarakat dapat melihat bagaimana organ mereka boleh menyelamatkan nyawa, mereka mungkin menukar fikiran.

“Bagi saya, tiada pengorbanan yang lebih besar daripada ini,” katanya dalam program Jogaton ‘Organs For Love’ 2018.

Kempen dijalankan pelajar Fakulti Perubatan Universiti Malaya itu berjaya mengumpul dana berjumlah RM1,500 untuk Persatuan Transplantasi Malaysia. Seramai 415 peserta menyertai jogaton membabitkan jarak 5 kilometer (km) dan 7km dalam usaha untuk meningkatkan kesedaran terhadap pemindahan organ dan berjaya menarik perhatian 87 orang yang membuat ikrar sebagai penderma organ.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Oktober 2018 @ 11:44 AM