Zaitie Satibi

Di Malaysia, seorang daripada lima lelaki dilaporkan mengalami kegagalan ereksi (ED) yang disenaraikan sebagai antara masalah kesihatan seks paling umum di negara ini. Walaupun ED sering dilihat sebagai masalah yang membelenggu lelaki lanjut usia, penyelidikan mendapati seorang daripada empat lelaki yang mendapatkan bantuan perubatan bagi ED berusia bawah 40 tahun.

Masalah ini semakin ketara dalam kalangan lelaki muda dengan kira-kira 30 peratus daripada populasi diramalkan mengalami ED yang belum lagi didiagnosis. Tanpa mengira usia, ED umumnya adalah antara masalah kesihatan seks utama lelaki yang malu untuk dibincangkan dan dianggap topik terlarang.

Pakar Perunding Urologi, Prof Dr George Lee berkata, bagi lelaki, ego dan rasa kejantanan tercabar menghalang mereka daripada berbincang mengenai ED yang menyumbang kepada kadar pemeriksaan yang rendah, selain keengganan lelaki Asia untuk mendapat­kan rawatan bagi masalah berkenaan.

“Ketegangan ereksi penting untuk kehidupan seks yang sihat. Berdasarkan Markah Ketegangan Ereksi (EHS), ketegangan Gred 4 ialah tahap ereksi optimum yang perlu dicapai oleh lelaki untuk menikmati sepenuhnya hubungan seks dan memuaskan pasangan mereka.

“Kajian mendapati lelaki dengan gred lebih rendah atau ereksi suboptimum mengalami tahap kepuasan yang jauh lebih rendah dalam semua aspek hubungan seks, berbanding lelaki dengan ereksi Gred 4 atau ketega­ngan optimum,” katanya.

Beliau berkata demikian selaku ahli panel dalam program bual bicara kempen ‘H4RDNESS MATTERS’ anjuran Pfizer bagi merung­kai isu berkaitan ED yang dihadapi rakyat Malaysia. Inisiatif ini berusaha mengatasi tanggapan negatif sosial berhubung kesihatan seks lelaki dengan menyediakan wadah perbualan terbuka bagi lelaki lebih muda bersama profesional penjagaan kesihatan.

Dr Lee berkata, selain mempengaruhi fungsi seks, ED boleh menandakan masalah perubatan dalaman yang serius dan memerlukan perhatian dan rawatan.

“Walaupun ramai yang melihat ED sebagai masalah kesihatan seks semata-mata, ED sering dikaitkan dengan penyakit lain yang berlaku secara serentak termasuk penyakit kardiovaskular, hipertensi, diabetes, simptom saluran kencing lebih rendah (LUTS) dan kemurungan yang kebanyakannya mempunyai beberapa faktor risiko vaskular yang sama.

“Kajian juga membuktikan bahawa ED ialah petanda penting kematian awal kerana penghidap ED mempunyai risiko kematian awal sebanyak 70 peratus lebih tinggi. Kerana itulah lelaki yang menghidap ED perlu tampil mendapatkan diagnosis dan rawatan awal,” katanya.

Beliau berkata, oleh kerana ED mungkin petanda masalah kardiovaskular pada masa depan, perbincangan subjek ini hanya proses untuk merawat gejala dan mengurangkan risiko masalah kesihatan yang serius.

“Terutamanya dalam kalangan lelaki muda hari ini, mereka perlu memahami bahawa ED bukan sebahagian daripada penuaan semula jadi dan ramai lelaki bandar yang tertekan dengan gaya hidup, ED adalah fenomena biasa.

“Walaupun kekerapan ED meningkat dengan usia, ia boleh dirawat menggunakan ubatan atau membuat pilihan gaya hidup sihat seperti bersenam, mengawal pengambilan alkohol, berhenti merokok dan mengubah tabiat makan,” katanya.

Menurut Dr Lee, lelaki yang menghidap ED harus mengelakkan rawatan sendiri melalui pengambilan ubat yang tidak sah atau bergantung pada maklumat daripada Internet semata-mata bagi mengelak berjumpa doktor. Malangnya, inilah yang sering terjadi kerana pesakit lebih suka membuat diagnosis sendiri dan mendapatkan ubat berasaskan maklumat yang mereka terima.

“Ini sesuatu yang berbahaya kerana tidak semua maklumat dalam Internet boleh dipercayai dan ubat yang diperoleh menerusi sumber kurang sahih mungkin mengandungi bahan aktif berbahaya atau tidak sah” katanya.

Sementara itu, pakar seksologi klinikal, Dr Martha Tara Lee berkata, usaha membuka saluran komunikasi berkenaan ED amat mencabar tetapi golongan lelaki tidak wajar mengabaikan komunikasi dengan pasangan intim mereka dalam menangani masalah itu.

“Memang tidak mudah untuk memulakan perbincangan kerana lelaki sukar mengakui mereka tidak dapat mencapai ereksi tetapi keengganan membincangkan perkara ini boleh menjejaskan hubungan.

“Selain komunikasi, keintiman memainkan peranan penting dalam hubungan yang sihat dan seksual. ED boleh menjejaskan keintiman pasangan apabila lelaki kurang yakin dengan keupayaan seks masing-masing disebabkan masalah ereksi mereka.

“Perubahan dalam tingkah laku seks pesakit ED sering disalah erti oleh wanita yang menyangka pasangannya mempunyai hubungan lain atau tidak lagi tertarik untuk mengadakan hubungan seks dengan mereka.

“Apabila menghadapi masalah ED, pasangan hendaklah bersikap terbuka untuk memastikan keintiman terus wujud dalam hubungan sambil berusaha menangani masalah terbabit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Oktober 2018 @ 12:00 AM