SUNTIKAN perlu diambil secara bersiri.
Nurul Husna Mahmud

Polemik mengenai kesan sampingan vaksin virus papiloma manusia (HPV) menjadi penyumbang masalah sosial dalam kalangan remaja adalah isu yang diketengahkan segelintir individu dalam laman sosial Facebook baru-baru ini.

Pandangan pihak berkenaan dipercayai mendakwa vaksin HPV yang diketahui umum sebagai pencegahan barah pangkal rahim (kanser serviks) sebagai agenda Yahudi.

Lanjutan kepada isu itu, pihak berkenaan berpendapat kesan sampingan termasuklah andaian mengenai kecenderungan remaja perempuan untuk terbabit dalam aktiviti kelamin lebih tinggi dan aktif. Selain itu mereka menyifatkan gadis yang aktif dalam aktiviti seks tidak perlu khuatir dengan jangkitan kelamin seperti HPV kerana sudah ada ubat mampu mencegah penyakit berkenaan.

Dakwaan itu dibidas Pakar Runding Obstetrik dan Ginekologi Dr Nurul Khairiyah Khairuddin yang berkata, vaksinasi HPV itu penting dalam menjaga kesihatan wanita terutama menangani masalah kanser serviks - antara kanser yang sering dihidapi wanita seluruh dunia.

Ketika ini, kanser serviks ialah kanser keempat yang paling kerap dihidapi wanita di peringkat global dengan kira-kira 270,000 kematian pesakit wanita di seluruh dunia.

Di Malaysia, kira-kira 2,000 kes dilaporkan setiap tahun dan menjadi kanser ketiga yang kerap dihidapi wanita. Justeru suntikan vaksin HPV adalah satu keperluan dalam menangani masalah kanser pangkal rahim dan lain-lain dibawa oleh virus berkenaan.

“Kalau dirujuk pada perkembangan terkini mengenai program vaksinasi percuma yang dilaksanakan di Australia membabitkan kanak-kanak perempuan seawal umur 12 dan 13 tahun pada sekitar 2007, ia membawa kepada penurunan drastik membabitkan HPV dalam kalangan wanita berumur 18 hingga 24 tahun.

“Kadar penurunan kes HPV sekitar 20 peratus pada 2005 menjadi kepada satu peratus pada 2015, apatah lagi apabila ia dikembangkan kepada kanak-kanak lelaki pada 2013.

“Malah dengan usaha berterusan termasuk program saringan untuk wanita 25 tahun dan ke atas setiap lima tahun menjadikan negara berkenaan bakal menjadi negara pertama yang bebas kanser serviks berdasarkan tiada kes baharu dilaporkan

dalam tempoh 10 hingga 20 tahun berdasarkan program vaksinasi HPV percuma dilaksanakan negara itu.

“Rasanya itu jawapan kukuh betapa pemberian vaksin berkenaan perlu dilaksanakan seawal usia lagi iaitu dalam lingkungan 13 hingga 15 tahun dalam mempersiapkan ketahanan tubuh gadis daripada menghadapi serangan virus HPV.

“Biarpun wujud pertikaian membabitkan usia yang wajar, rasanya pemberian vaksin HPV seawal usia pada gadis lebih baik sebagai satu bentuk pencegahan primer.

“Kerisauan saya ialah gaya hidup anak muda masa kini yang bebas dan semakin ramai remaja terlanjur menjadikan satu lagi sebab kukuh bahawa pemberian vaksin kepada anak-anak gadis kini menjadi satu keperluan utama untuk meningkatkan imuniti mereka.

“Biarpun ada yang sudah terlanjur atau terjebak dengan gaya hidup liar termasuk seks bebas, vaksin ini membantu pertahanan diri individu itu dalam menangani masalah kanser yang nyata lebih serius kerana membabitkan risiko lain termasuk kewangan dan keluarga dan akhirnya menjadi bebanan negara,” katanya.

Menerangkan jenis varian HPV, kini wujud revolusi dalam penemuan vaksin lebih baik yang boleh merawat lebih banyak varian HPV.

“Vaksin HPV sebenarnya ada beberapa jenis bergantung kepada strain HPV. Ketika ini vaksin berada dalam negara ialah Cervarix, Gardasil dan Gardasil-9.

“Di sekolah pelajar akan diberi varian terbaharu vaksin HPV iaitu Gardasil yang membantu mencegah kanser pangkal rahim dan ketuat pada kawasan alat sulit lelaki dan wanita.

“Sekali lagi saya tegaskan, vaksin ini membina sistem imun tubuh untuk menghalang virus HPV yang mudah memasuki tubuh menerusi bukaan luka dan rekahan kecil pada permukaan servik ketika melakukan hubungan seks,” katanya.

HPV yang menyebabkan kanser pangkal rahim juga boleh mengakibatkan kanser lain seperti pada bibir faraj, vagina, leher dan tekak dalam kalangan gadis selain kes ketuat kelamin.

VIRUS HPV boleh memasuki tubuh menerusi aktiviti kelamin.

Vaksin HPV boleh cegah jangkitan HPV berisiko tinggi:

1. Kanser serviks: Hampir semua kes kanser serviks disebabkan oleh HPV

2. Kanser anal: Kira-kira 95 peratus daripada kanser anal disebabkan oleh HPV.

3. Kanser orofaringeal: Iaitu kanser bahagian tengah tekak, termasuk lelangit, pangkal lidah dan tonsil. Kira-kira 70 peratus adalah disebabkan oleh HPV.

Apakah pelalian HPV?

Pelalian yang diberi untuk mencegah kanser servik akibat jangkitan HPV. Pelalian ini diberi secara suntikan di lengan sebanyak tiga kali dalam tempoh enam bulan mengikut jadual berikut:

Suntikan pertama: Tarikh pelalian pertama diberi di sekolah/kllinik.

Suntikan kedua: Satu bulan selepas suntikan pertama.

Suntikan ketiga: Enam bulan selepas suntikan pertama.

• Vaksin yang digunakan untuk pelalian ini tidak mengandungi produk yang meragukan.

• Pelalian HPV secara percuma kepada semua gadis berumur 13 tahun oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

• Bagi golongan yang tidak termasuk dalam kumpulan yang disasarkan, pelalian ini boleh didapati di klinik dan hospital swasta dengan kadar caj tertentu.

Pelalian HPV dikecualikan andai wujud gejala:

i. Pernah mengalami kesan sampingan teruk selepas menerima suntikan pertama atau suntikan kedua.

ii. Pernah mengalami alahan teruk yang perlu dirawat di hospital.

iii. Hamil.

* Info tambahan www.infosihat.gov.my

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 November 2018 @ 12:31 AM