PNEUMONIA di peringkat global amat membimbangkan.
Hafiz Ithnin


Kanak-kanak terutama di bawah usia dua tahun memerlukan penjagaan kesihatan rapi bagi memastikan tidak mudah mendapat penyakit hasil jangkitan bakteria atau virus.

Disebabkan itu, langkah memberi vaksin ketika masih bayi membantu menguatkan sistem imunisasi kanak-kanak untuk melawan pelbagai jenis virus atau bakteria di sekeliling kita setiap masa.

Memandangkan virus dan bakteria tidak mudah untuk dikawal penularannya, pakar perubatan antarabangsa menunjukkan kebimbangan mereka terhadap jangkitan seperti virus, bakteria, kulat atau parasit yang mengakibatkan radang atau inflantasi paru-paru, pneumonia.

Lebih jelas pneumonia dilihat sebagai penyakit paru-paru serius menyebabkan kantung udara atau alveoli dipenuhi dengan cecair atau nanah.

Seterusnya, menyebabkan penghidapnya menderita kesakitan dan sukar bernafas.

Tidak sekadar itu, bakteria yang menyebabkan pneumonia juga boleh memasuki aliran darah sekali gus merebak ke seluruh badan dan berpotensi berlakunya kegagalan organ.


PERSEKITARAN bersih penting untuk kesihatan kanak-kanak.

Di peringkat kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pneumonia menyebabkan 16 peratus kematian dalam kalangan kanak-kanak di bawah lima tahun.

Lebih mengejutkan, menerusi kajian badan itu pada 2016 sahaja, ia meragut 880,000 nyawa kanak-kanak dalam lingkungan usia berkenaan di seluruh dunia.

Pakar Kesihatan Awam dan Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Kesihatan Keluarga, Dr Aminah Bee Mohd Kassim berkata, setiap tahun terdapat sekitar 4,000 kanak-kanak di bawah usia lima tahun di Malaysia meninggal dunia dalam pelbagai kes kesihatan dan 50 peratus daripadanya dalam bulan pertama seperti kelahiran pramatang.

Beliau berkata, peratusan selebihnya membabitkan kematian kanak-kanak usia satu hingga lima tahun disebabkan kes seperti kecederaan dan jangkitan.

“Jangkitan itu terbahagi kepada dua iaitu salah satunya respiratori yang menyumbang faktor kematian paling tinggi dan pneumonia yang berada di bawah respotari menjadi pembunuh ketiga.

“Setiap tahun kita menerima pesakit kanak-kanak di bawah usia berkenaan sekitar 50,000 dan merekodkan angka kematian 100 orang atau kira-kira 0.2 peratus setahun.


KANAK-kanak yang mengalami demam perlu dipantau bagi mengelakkan suhu meningkat.

“Angka ini dilihat masih rendah berbanding negara jiran kita yang lain,” katanya.

Tambahnya, organisma yang menyebabkan pneumonia boleh merebak melalui titisan bawaan udara yang dihembuskan oleh orang terjangkit apabila mereka batuk atau bersin.

Menurutnya, kerajaan kini memberikan vaksin Hib, MMR dan DTaP secara percuma untuk bayi di bawah Program Imunisasi Kebangsaan.

Jelasnya, vaksin itu memberikan perlindungan terhadap Haemophilus influenzae jenis b, campak dan pertusis (batuk kokol).

“Ibu bapa digalakkan membawa bayi mereka ke klinik atau hospital swasta untuk diberi vaksinasi terhadap influenza, cacar air dan terutamanya pneumokokos supaya mereka mendapat perlindungan optima daripada pneumonia yang leh dicegah menerusi vaksin.

“Bagaimanapun, pneumokokos tidak diberikan kerajaan secara percuma dan masih dalam proses rundingan ke arah itu.

“Bagi ibu bapa yang ingin mendapatkan vaksin pneumokokos untuk bayi dikenakan caj sekitar RM200 satu dos dan kanak-kanak memerlukan antara dua hingga tiga dos mengikut keperluan,” katanya.


TINGKAH laku kanak-kanak perlu diperhatikan untuk memastikan mereka dalam keadaan sihat.

Dr Aminah Bee berkata, pneumonia tidak hanya berlaku kepada kanak-kanak malah golongan dewasa juga berpotensi menghidapinya.

Bagaimanapun, katanya golongan yang rentan adalah kanak-kanak dan warga emas.

“Warga emas dalam kalangan mereka berusia 60 tahun ke atas biasa menghidapinya kerana kebanyakan mereka mempunyai penyakit berkaitan paru-paru yang memudahkan pneumonia berlaku.

“Bagaimanapun, penyakit ini boleh berlaku pada pelbagai peringkat umur yang tidak hanya membabitkan dua golongan itu sahaja, disebabkan itu amalan hidup sihat penting bagi mengelakkan kita diserang pelbagai penyakit termasuk pneumonia,” katanya.

Mengulas berkenaan langkah awal melindungi kanak-kanak daripada pneumonia, beliau berkata, terdapat banyak kaedah boleh dilakukan seperti meneruskan amalan menyusu badan dan memastikan anak mereka mempunyai nutrisi mencukupi.

“Bagi membendung penyakit ini di peringkat awal, ibu bapa seperti tidak membawa anak bersama ketika melawat orang yang sakit kerana penularan bakteria atau virus daripada pesakit itu lebih mudah menyerang kanak-kanak.


DR Aminah Bee

“Selain itu, ibu bapa juga perlu bijak mengesan simptom pneumonia seperti demam melebihi suhu 38 darjah celsius, hilang selera makan dan sukar bernafas.

“Jika terdapat simptom seperti itu bawa anak segera berjumpa doktor untuk rawatan awal,” katanya.

Berkenaan cara rawatan kanak-kanak yang menghidapi pneumonia pula, Ketua Jabatan Pediatrik Hospital Kuala Lumpur, Dr Hishamshah Mohd Ibrahim berkata, mereka di bawah usia dua tahun paling mudah menghidapinya dan merawat kanak-kanak penghidap penyakit itu boleh menjadi kompleks.

“Penyakit itu boleh melarat dengan cepat dan pesakitnya memerlukan oksigen, drip intravena untuk menghantar ubat antibiotik yang kuat. Pembedahan juga mungkin diperlukan untuk mengalirkan cecair keluar dari paru-paru pesakit.

“Jika berlaku kegagalan paru-paru kita perlu menyambungkan anak-anak kecil ini dengan mesin ventilator supaya dia boleh bernafas.

“Pesakit yang berjaya pulih pula berkemungkinan kecil mengalami kerosakan paru-paru kekal seumur hidup akibat menghidap pneumonia semasa kanak-kanak,” katanya.


MENGAMALKAN kehidupan yang sihat bersama si kecil membantu kesihatan kanak-kanak.

Tanda pneumonia

1. Demam panas melebihi 38 darjah Celcius.

2. Menggigil.

3. Tidak akif.

4. Kurang selera makan.

5. Kadar penafasan meningkat (>20/minit).

6. Nadi laju (>100/minit).

7. Kebiru-biruan pada bibir dan lidah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Disember 2018 @ 4:30 AM