GAMBAR hiasan.
Aniza Zainudin

TERLALU awal mahupun terlalu lambat berlakunya fasa menopaus atau putus haid adalah petanda bahawa wujudnya masalah kesihatan yang lain dalam kalangan wanita secara individu.

Menopaus adalah akhir kitaran semula jadi haid dan kesuburan yang dilalui semua wanita tatkala usia mencecah antara 50 hingga 55 tahun.

Ia berlaku apabila ovari tidak lagi menghasilkan atau mengeluarkan dua hormon yang diperlukan untuk kesuburan, estrogen dan progesteron.

Secara normal, wanita muda menghasilkan hormon estrogen kira-kira 200 hingga 300 mikrogram manakala kuantiti ini berkurangan ke 40 hingga 50 mikrogram saja apabila seseorang wanita melalui fasa putus haid.

Pakar Obstetrik dan Sakit Puan, Dr Ong Hean Choon berkata, keadaan menopaus adalah kitaran semula jadi dan wajib dilalui setiap wanita.

“Menopaus berlaku apabila bahagian telur wanita (merujuk kepada ovari) tidak lagi berfungsi dan seterusnya menghasilkan kuantiti hormon diperlukan. Ini adalah proses normal.

“Selalunya menopaus berlaku pada usia antara 50 hingga 55 tahun yang juga dikategorikan menopaus awal.

“Dua lagi kategori menopaus adalah menopaus pramatang bagi wanita berusia bawah 40 tahun dan menopaus lewat bagi wanita berusia melebihi 60 tahun.

“Keadaan putus haid juga boleh berlaku apabila seseorang wanita menjalani prosedur pembedahan berkaitan sakit puan yang memaksa bahagian ovarinya perlu dikeluarkan.

“Situasi menopaus kedua ini (berlaku akibat pembedahan) boleh terjadi tanpa mengira usia. Selalunya, pembuangan ovari ini dilakukan sekiranya wanita menghidap kanser ovari kronik, antara penyakit lain termasuk endometriosis (sel endometrium dari rahim berkembang

di kawasan lain dalam tubuh wanita),” katanya.

Menurut Dr Ong, wanita yang mengalami menopaus lewat (berusia lebih 55 tahun) sebenarnya berisiko mempunyai masalah kesihatan terutama kanser rahim.

Mengakui wujud kes menopaus lewat di Malaysia, beliau berkata, wanita disarankan melakukan ujian tertentu bagi memastikan mereka bebas daripada kanser berkenaan.

Jelasnya, pembentukan kanser berlaku apabila keberadaan hormon estrogen dalam badan yang terlalu lama dan akhirnya tisu bertukar menjadi tisu tidak normal dan membentuk kanser.

Mengulas mengenai menopaus pramatang, Dr Ong mengakui ia boleh berlaku tidak hanya berdasarkan faktor pembedahan, bahkan dipengaruhi genetik.

“Saya pernah berdepan dengan pesakit berusia seawal 28 tahun yang mengalami keadaan menopaus pramatang kerana ovarinya gagal berfungsi. Namun kes seperti ini tidak selalu kerana hanya kira-kira lima peratus kes menopaus pramatang dikenal pasti di Malaysia.

“Perkara yang paling dibimbangi, risiko penyakit jantung dan osteoporosis kepada wanita muda berkenaan. Bagi kes ini, biasanya tidak menunjukkan apa-apa simptom sebaliknya diketahui secara tidak sengaja.

“Sebagai contoh pasangan suami isteri menemui doktor mengenai kehamilan, apabila wanita tidak boleh mengandung dan melalui ujian, kadangkala keputusan menunjukkan sebenarnya dia melalui menopaus pramatang.

MENOPAUS berlaku pada usia antara 50 ke 55 tahun secara normal.

“Bagi masalah haid tidak datang dalam tempoh panjang antara satu hingga dua tahun, kita tidak boleh mengklasifikasikan ia sebagai menopaus selagi belum melakukan ujian. Ini kerana ada juga segelintir wanita muda mengalami situasi ini kerana hormon tidak seimbang,” jelasnya.

Menariknya, faktor perkahwinan, makanan dan gaya hidup tidak mempunyai kaitan dengan keadaan menopaus pramatang.

Kata Dr Ong lagi, wanita yang mengalami fasa putus haid selalunya berdepan beberapa simptom dikenali sebagai ‘rungutan menopaus’ yang menjejaskan kualiti hidup individu.

Antara ‘rungutan menopaus’ ialah berasa panas terutama di bahagian leher dan kepala namun tidak demam, berpeluh, muka merah, kulit kering, letih, pening, depresi, nafsu seks berkurangan, vagina kering dan kerap kencing kerana pundi kencing mengecut.

Ketiadaan atau kekurangan hormon estrogen dan progesteron sememangnya boleh mendatangkan penyakit berbahaya seperti serangan jantung hingga mengakibatkan kematian, osteoporosis (hingga mudah patah di bahagian tulang belakang, kaki dan tangan sekiranya terjatuh), kanser kolon dan artritis.

Berkongsi mengenai rawatan bagi ‘rungutan menopaus’ yang mampu menambahkan kualiti hidup, Dr Ong berkata, sebelum ini, ubatan terapi penggantian hormon (HRT) yang mengandungi campuran estrogen dan progesteron digunakan.

Namun bermula pada 2002, HRT digantikan dengan ubatan tibolone selepas hasil kajian mendapati pengambilan HRT dalam tempoh lebih lima tahun boleh meningkatkan risiko kanser payudara.

Manakala tibolone yang tidak mengandungi hormon mampu mengurangkan risiko kanser payudara, rahim, kolon dan ovari serta mengurangkan ‘rungutan menopaus’.

Mengulas tahap kesedaran dan kadar kefahaman masyarakat sama ada wanita dan lelaki mengenai menopaus, beliau berkata, ia berada di tahap rendah bahkan pihak suami terutama tidak memahami fasa putus haid sebaliknya memerlukan rundingan daripada doktor.

Berkongsi nasihat dengan wanita, Dr Ong menekankan penjagaan berat badan yang ideal, mengamalkan pemakanan seimbang, senaman dan pengambilan kalsium serta vitamin D.

Katanya, pada usia menjengah 30 tahun, wanita disarankan mengambil suplemen tambahan kalsium sekurang-kurangnya 1,000 miligram dan vitamin D sebanyak 400 International Unit (IU) setiap hari.

INFO

Jenis makanan yang disarankan bagi wanita menopaus:

1. Diet tinggi kalsium dan vitamin D seperti susu dan cahaya matahari.

2. Diet berserat tinggi seperti sayuran, buahan dan bijirin.

3. Pengambilan air kosong yang mencukupi bagi mengelakkan kulit kering.

4. Mengamalkan pemakanan soya.

5. Pengambilan sayuran dan buahan yang kaya dengan vitamin, mineral dan antioksidan.

6. Mengawal pengambilan makanan berlemak seperti lemak tepu dalam diet harian.

Cara berdepan simptom menopaus:

1. Muka merah dan panas

• Sediakan buku catatan untuk mengenal pasti apakah punca simptom muka berasa panas dan merah? Pengambilan kafein, bilik panas dan tekanan antara punca yang biasa.

• Apabila berlaku

keadaan ini, anda disarankan menarik nafas panjang menerusi hidung dan helakannya menggunakan mulut.

2. Menyejukkan bahagian kepala, leher dan muka yang panas pada waktu malam

• Pada waktu malam, rasa panas di bahagian muka boleh berlaku selama lebih tiga minit hingga mengakibatkan anda berpeluh dan sukar

tidur.

• Caranya, letakkan ‘beg air yang disejukkan’ di bawah bantal, lakukan proses pertukaran permukaan bantal sepanjang malam dan letakkan wajah anda di sisi yang disejukkan.

• Gunakan kipas untuk memastikan pengaliran udara sempurna.

3. Meningkat rasa ingin tidur

• Lakukan senaman sekurang-kurangnya

tiga jam sebelum tidur yang dapat membantu anda mendapatkan tidur yang lena.

• Selain itu, anda juga boleh membaca hingga timbulnya rasa mengantuk dan mengambil minuman susu.

4. Gunakan produk bantuan seks

• Perubahan hormon membuatkan vagina mengering dan menjadikan aktiviti seks anda menyakitkan.

• Anda boleh mendapatkan produk bantuan seks seperti pelincir disarankan doktor.

5. Perubahan emosi

• Seperti sindrom prahaid (PMS), kadangkala anda berasa ingin menangis, sedih, gembira dan sebagainya, begitu juga bagi wanita menopaus.

• Anda disarankan melakukan perkara atau aktiviti yang menyeronokkan bersama pasangan, keluarga serta rakan.

6. Hilangkan sakit kepala

• Migrain boleh menjadi teruk ketika menopaus. Lakukan catatan harian mengenai simptom ini sekiranya ia muncul bersama situasi muka panas dan merah.

• Sekiranya lapar adalah punca berlaku sakit kepala, anda disarankan mengambil makanan dalam sukatan atau kuantiti kecil sepanjang hari.

• Jika kurang tidur adalah puncanya, luangkan sedikit masa untuk anda berehat pada waktu siang.

7. Masalah kulit

• Masalah jerawat turut dialami wanita menopaus. Jadi, anda digalakkan memakai pencuci wajah, pelembap dan krim tabir suria.

8. Lakukan perkara baHAru

• Cabaran diri anda melakukan sesuatu yang baharu sama ada hobi baharu atau mempelajari bahasa lain. Lebih baik, jika anda dapat menurunkan kadar tekanan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 January 2019 @ 12:47 PM