WARGA emas lebih berpotensi diserang strok.
Hafiz Ithnin

Bayangkan apa perasaan kita jika diberitahu, ‘anda berpeluang mendapat serangan strok’. Hakikatnya tiada siapa mahu mendengar ayat peringatan begini, namun inilah hakikatnya. Benar, kita semua berpeluang mendapat serangan strok andai kita masih mengamalkan gaya hidup kurang sihat.

Strok atau angin ahmar antara penyakit lazim di negara kita khususnya pada golongan berusia dan menjadi penyebab kematian ketiga rakyat Malaysia selepas serangan jantung dan pneumonia.

Menurut Pensyarah dan Pakar Kecemasan Jabatan Perubatan Kecemasan Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Mohd Hisham Mohd Isa, strok terbahagi kepada dua jenis iaitu strok yang disebabkan oleh salur darah ke otak tersumbat atau akibat pendarahan yang berlaku di dalam organ itu.

Beliau berkata, di seluruh dunia strok yang disebabkan salur darah tersumbat lebih kerap terjadi. Apabila salur darah tersumbat, bekalan oksigen ke otak akan berkurangan dan sel-sel otak akan mati. Perkara penting yang perlu diketahui ialah dalam masa beberapa minit saja tidak menerima oksigen, sel otak akan mati. Keadaan inilah yang menyebabkan berlaku serangan strok.

“Masyarakat kita umumnya terdedah kepada risiko strok kerana faktor kehidupan sosial dan persekitaran. Ada pelbagai keadaan yang boleh meningkatkan risiko mendapat strok dan kebanyakannya kerana faktor risiko yang boleh diubah seperti tekanan darah tinggi.

“Tekanan darah yang tinggi secara berterusan akan merosakkan saluran darah di seluruh badan (membuatkan dinding salur darah menjadi lemah) tetapi kesan ini lebih pada salur darah yang halus seperti di otak dan meningkatkan risiko terjadi sumbatan pada saluran darah.

“Bacaan tekanan darah yang normal tidak melebihi 120/80mmHg. Selain itu penghidap kencing manis juga menghadapi risiko yang sama. Ini kerana jika kandungan gula di dalam badan berlebihan ia juga akan merosakkan saluran darah dengan menyebabkan saluran darah menjadi keras dan tebal,” katanya.

Jelasnya, kolesterol yang tinggi di dalam badan juga menjadi penyumbang terbesar kepada peningkatan risiko serangan strok. Kolesterol ini akan terkumpul di dinding saluran darah yang lama kelamaan akan menyebabkan saluran menjadi sempit seterusnya tersumbat.

“Bagi perokok pula, sudah tentu ia akan meningkatkan risiko mendapat serangan strok kerana kandungan kimia dalam asap rokok boleh merosakkan saluran darah dan mengurangkan bekalan oksigen ke otak.

“Perokok mempunyai risiko tiga kali ganda lebih daripada bukan perokok untuk mendapat strok. Gaya hidup yang sentiasa berada dalam tekanan juga akan meningkatkan risiko strok kerana menyebabkan tekanan darah meningkat,” katanya.


BENTUK muka tidak normal antara petunjuk seseorang diserang strok.

Katanya, tanda-tanda strok bergantung kepada bahagian otak yang tidak mengalami serangan (sama ada pendarahan akibat salur darah pecah atau tidak menerima bekalan oksigen). Antaranya ialah anggota badan menjadi lemah atau lumpuh, wajah mangsa senget dan percakapannya pula tidak jelas.

“Harus diingatkan kadangkala mangsa strok mengalami tanda-tanda lain seperti kebas di bahagian sebelah anggota badan dan muka secara tiba-tiba. Mangsa juga boleh mengalami masalah kabur penglihatan, pening atau sakit kepala, loya atau muntah.

“Mangsa juga berkemungkinan tidak mampu bertindak balas dan hilang daya tumpuan serta imbangan ketika berjalan,” katanya.

Katanya, jika kita melihat ahli keluarga, rakan atau sesiapa mengalami tanda-tanda strok, kita perlu tenangkan mangsa dan jangan meninggalkan mangsa bersendirian.

“Pastikan mangsa dalam kedudukan yang selesa dan longgarkan pakaiannya. Segera hubungi talian 999 untuk bantuan ambulans atau segera bawa ke hospital supaya boleh diberikan rawatan sewajarnya.

“Hal ini kerana mangsa strok tidak dapat meminta bantuan berseorangan. Jangan tunggu sehingga gejala jadi lebih mudarat. Kebanyakan yang berlaku ialah masyarakat lebih suka menunggu untuk melihat adakah tanda-tanda ini akan hilang. Lebih cepat mangsa sampai ke hospital, lebih tinggi peluang pesakit pulih daripada strok,” katanya.

Katanya, apabila mangsa di hospital, doktor di jabatan kecemasan akan memberi keutamaan kepada pesakit ini. Doktor akan meneliti sejarah kesihatannya dan melakukan pemeriksaan fizikal diikuti ujian darah dan imbasan otak.

“Jika pesakit disahkan menghidap strok, rawatan mencairkan sumbatan saluran darah di otak dilakukan bergantung kepada hasil keputusan dan perbincangan doktor.

“Sekiranya rawatan berjaya dilakukan, peratusan pesakit strok untuk pulih kepada keadaan hampir normal adalah sangat tinggi,” katanya.

Beliau juga menasihatkan, setiap anggota masyarakat haruslah peka terhadap tanda strok dan segera membawa pesakit ke hospital sebaik menyedari seseorang itu mengalami tanda berkenaan supaya dapat meningkatkan peluang mangsa untuk pulih.

“Bagaimanapun, pencegahan adalah lebih baik daripada merawat. Masyarakat perlu menjadikan budaya hidup sihat sebagai amalan sepanjang hayat,” katanya


GAYA hidup sihat membantu melindungi kita daripada pelbagai penyakit termasuk serangan strok.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Februari 2019 @ 7:06 AM