MATA kering boleh mendorong spasma mata berpanjangan.
Nurul Husna Mahmud

KADANGKALA mata akan berkerdip-kerdip tidak semena-mena dan biasanya ada beberapa kepercayaan dikaitkan mengenai gerakan mata itu.

Andai kelopak sebelah kiri berkelip, biasanya dikaitkan dengan musibah atau nasib kurang baik manakala andai mata kanan bergerak adalah sebaliknya.

Antara imbalan tidak dijangka apabila mata kanan berkedip sebelah kanan termasuk akan mendapat wang atau keuntungan selain berita baik.

Biasanya kerdipan pada mata dialami kebanyakan individu berlaku tanpa dijangka atau tidak dikawal menyebabkan ramai beranggapan ia mempunyai kaitan dengan kepercayaan orang tua berkenaan.

Sedangkan ada penerangan lebih saintifik mengenai gejala mata berkerdip iaitu berkait rapat dengan fisiologi normal mata. Mata berkerdip disebabkan gerakan otot dalam kelopak mata secara berulangan dalam tempoh singkat dan tidak boleh dikawal.

Dalam istilah perubatan, ia disebut sebagai miokimia. Gerakan otot secara tiba-tiba (spasma) ini biasanya didominasi oleh kontraksi otot kelopak mata bawah dan berlaku hanya pada sebelah mata pada sesatu masa.

Ia berlaku pantas, tidak menyakitkan dan gerakan itu juga tidak boleh dibuat dengan sengaja. Mata berkelip ini juga boleh berlaku sekali dalam beberapa saat atau dalam siri yang berulang-ulang kali selain bersifat sementara serta tidak berpanjangan.

Namun, ada juga keadaan mata yang berkelip boleh berlarutan andai ada rangsangan berlebihan seperti:

• Stres dan tekanan berlebihan;

• Pengambilan kafein berlebihan;

• Gangguan tidur atau tidak cukup lena;

• Mata kering;

• Pengambilan alkohol;

• Iritasi atau radang pada permukaan biji mata atau bahagian dalam kelopak mata;

• Merokok;

• Terdedah kepada cahaya terang;

• Terdedah kepada cuaca dan angin;

• Sakit kepala atau pening; dan

• Kesan pengambilan ubatan atau rawatan tertentu.


KONTRAKSI otot mata menyebabkan mata berkelip tiba-tiba.

Meskipun masalah mata berkelip tidak berbahaya, sebaiknya ambil beberapa langkah pencegahan bagi memelihara mata. Ini termasuk:

1. Elak pengambilan minuman kafein seperti kopi, teh dan coklat.

2. Tidur secukupnya. Ini termasuk hadkan penggunaan gajet atau aktiviti menonton televisyen dan video berlarutan sehingga awal pagi.

3. Hentikan pengambilan alkohol kerana akibatnya sama dengan kafein yang boleh memberi kesan kepada saraf mata.

4. Pengambilan air kosong mencukupi kerana masalah mata seperti mata kering, kerengsaan atau radang mata boleh berlaku akibat kekurangan air.

5. Pengambilan nutrisi baik untuk mata seperti sumber makanan yang mengandungi vitamin A, B12, D dan asid lemak omega 3.

6. Rawat mata dengan kaedah tuam menggunakan tuala suam apabila mata berkedip lebih kerap berbanding biasa.

7. Disarankan buat urutan lembut bawah kelopak bagi membantu peredaran darah dan menguatkan otot mata. Namun diingatkan, jari atau tangan harus dalam keadaan bersih.

INFO

Menurut Dr Stephen Juan dipetik daripada The Register, frekuensi mata berkelip adalah:

• Bagi orang dewasa, purata kekerapan mata berkelip 10 hingga 15 kali seminit.

• Hingga usia 14 tahun, frekuensi kerdipan hanya sekitar 10 kali seminit.

• Bayi yang baru lahir jauh lebih sedikit yakni kurang dua kali seminit.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Jun 2019 @ 8:02 AM