DAPATKAN nasihat doktor sebelum memutuskan untuk berkhatan.
Hafiz Ithnin


BIASANYA kalau bersembang antara lelaki, tiada apa hendak disorokkan. Perkara yang serius pun boleh bertukar menjadi bahan ketawa. Tetapi dalam isu yang satu ini, lain pula halnya.

Hampir empat hari juga penulis mencari gerangan si jejaka yang sudi berkongsi pengalaman dan perspektif mereka mengenai berkhatan atau bersunat. Syaratnya, mereka bukan beragama Islam.

Kebanyakan mereka yang penulis temui berasakan perkara itu terlalu peribadi. Boleh bercerita, tetapi hanya untuk pengetahuan penulis, bukan dikongsikan kepada umum apatah disiarkan di akhbar. Akhirnya, atas bantuan seorang rakan, penulis dapat menemubual dua lelaki ini. Namun, mereka meminta tidak memaparkan gambar dan menulis nama sebenar.

“Jika ingin mengatakan ia (berkhatan) disebabkan kebersihan tidak juga, kerana lebih separuh lelaki di dunia ini tidak bersunat. Kita tidak boleh mengatakan mereka tidak bersih,” kata Danny apabila ditanya adakah dia mengambil keputusan untuk berkhatan disebabkan aspek kebersihan.

Menurut pegawai kewangan itu, dia berkhatan pada usia 17 tahun dan berasakan ia adalah satu amalan yang dikehendaki diri secara peribadi dan bukan disebabkan pengaruh pihak lain.

Katanya, meskipun sudah menganjak usia 43 tahun, dia sedikit pun tidak berasa menyesal berkhatan meskipun ada pelbagai persepsi yang dilemparkan oleh orang sekeliling apabila mendapat tahu perkara berkenaan.

“Ada yang mengatakan saya akan hilang sensitif di bahagian itu kerana ‘pelindung’ sudah dibuka. Ada juga mempersoalkan keperluan saya mengubah sesuatu yang sudah diciptakan secara semula jadi.

“Bagi saya perkara itu hanya persepsi mereka yang tidak memahami keperluan untuk berkhatan. Jika mereka yang sudah berkhatan, saya percaya, soalan-soalan seperti itu dapat dijawab berdasarkan pengalaman peribadi,” katanya yang tidak mendapat halangan daripada keluarga untuk berbuat demikian.

Dalam beberapa laporan mengenai kumpulan antikhatan ada yang menganggap, berkhatan mampu memberi kesan buruk kepada hubungan seksual. Bagaimanapun, Danny mempunyai pandangannya sendiri.


DANNY melihat berkhatan adalah amalan yang berbentuk peribadi.

“Seks bukan bersandarkan pada hubungan fizikal semata-mata kerana aktiviti berkenaan membabitkan perkara lain yang lebih penting seperti emosi, rasa sayang dan kepercayaan kepada pasangan.

“Pada pandangan saya, hubungan intim itu mampu ‘berjalan’ dengan baik jika aspek dalaman pasangan itu lebih diutamakan. Masih boleh mempunyai prestasi yang baik dan memuaskan pasangan. Ada banyak faktor yang mempengaruhi kualiti hubungan intim, bukan kerana anda berkhatan atau tidak,” katanya.

Sementara itu, anak Malaysia yang kini membina kerjaya sebagai peguam

di Australia, Jeremy berkata, dia berkhatan pada usia 25 tahun dan hanya bergantung kepada maklumat diberikan oleh doktor sahaja bagi melakukan pembedahan kecil itu.

“Saya menjalani pembedahan itu di sebuah hospital swasta. Kos yang dikenakan agak tinggi disebabkan usia. Prosedur pembedahan itu juga ringkas sehinggakan saya tidak berasa apa-apa.

“Bagi saya berkhatan lebih untuk menjaga kebersihan diri. Ia juga mampu memberi kesan yang baik kepada kesihatan. Paling utama, lebih

mudah untuk ‘diuruskan’

,

katanya.

Tambahnya, amalan berkhatan adalah keputusan dibuatnya secara peribadi dan tidak perlu mempunyai sebarang pengaruh kerana perkara itu terlalu peribadi untuk setiap individu.

“Dalam masa sama, ada sesetengah pihak mengatakan ia menyebabkan ‘kekurangan’ dalam hubungan kelamin. Ia tidak benar kerana saya rasa lebih baik atas beberapa faktor yang bagi saya tidak perlu didedahkan secara jelas,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Julai 2019 @ 9:16 AM