GAMBAR Hiasan.
Noor Hasmiza Azmi

Pegawai Farmasi Hospital Kuala Kangsar, Perak

KEGHAIRAHAN pengguna khususnya wanita untuk kelihatan cerah dan berseri menjadi faktor utama lambakan produk pencerah kulit dalam pasaran.

Produk pencerah kulit biasanya digunakan pengguna untuk tujuan mencerahkan kulit yang kusam dan pudar.

Dikategorikan di bawah produk kosmetik, ia adalah produk yang digunakan pada bahagian luaran tubuh seperti kulit, rambut, kuku, bibir, gigi serta rongga mulut dan berfungsi untuk membersih, mewangi, memperbaiki, mengubah penampilan atau mencantikkan, menghilangkan bau badan atau memelihara dan menjaga dalam keadaan yang baik.

Semua produk kosmetik yang dipasarkan di Malaysia perlu bernotifikasi dengan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum produk itu boleh diimport, dikilang, diedarkan atau dijual di Malaysia.

Keinginan untuk tampil cantik memberi dorongan kepada ramai wanita menjadi tertarik dengan produk kecantikan atau kosmetik yang menjanjikan kesan segera.

Namun, tidak dapat dinafikan ada segelintir jenis produk pencerah kulit yang boleh mendatangkan masalah terutama produk yang membabitkan campuran palsu racun berjadual seperti hydroquinone dan tretinoin.

Bagaimanapun, produk yang mengandungi hydroquinone dan tretinoin hanya boleh digunakan atas nasihat dan pemantauan ahli profesional kesihatan.

Pengguna mungkin berasa sangat berpuas hati pada peringkat awal penggunaan produk pencerah kulit yang dicampur palsu dengan hydroquinone kerana kulit menjadi cantik berseri.

Hakikatnya, hydroquinone bertindak sebagai agen pemutih yang boleh merencatkan penghasilan melanin dalam proses pigmentasi.

Keadaan ini boleh mengurangkan perlindungan kulit daripada sinar UV berbahaya, seterusnya meningkatkan risiko untuk mendapat kanser kulit.

Ia juga boleh menyebabkan masalah seperti pengelupasan dan kemerahan pada kulit.

Selain itu, merkuri atau raksa (sejenis logam berat) juga adalah bahan yang sering dicampur palsu dalam produk kosmetik bagi mencerahkan kulit atau bertindak sebagai antipenuaan.

Namun, merkuri boleh menyerap masuk ke dalam badan dan meningkatkan risiko kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf.

Ia juga boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil.

Sejak kebelakangan ini, penggunaan suntikan vitamin C menjadi trend dalam kalangan pengguna kerana dipercayai berkesan dalam pencerahan kulit.

Pengguna perlu diingatkan bahawa produk suntikan tidak boleh dikelaskan sebagai produk kosmetik kerana cara penggunaannya tidak menepati takrifan yang ditentukan dalam peraturan.

Sehingga kini, tidak ada produk suntikan vitamin C yang berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) untuk indikasi pencerahan kulit.

Penjualan dan pengedaran produk kosmetik adalah di bawah kawalan Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Pihak NPRA akan membatalkan notifikasi sesuatu produk kosmetik sekiranya didapati mengandungi bahan terlarang atau melanggar syarat yang ditetapkan.

Kenyataan akhbar oleh Ketua Pengarah Kesihatan pada 7 Disember 2018 menunjukkan antara Januari dan November 2018, sebanyak 142,777 item produk kosmetik tidak bernotifikasi termasuk kosmetik yang mengandungi bahan terlarang dirampas.

Nilai rampasan adalah sebanyak RM3.4 juta.

Premis yang didapati terbabit menjual produk kosmetik berkenaan akan disiasat di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Individu yang melakukan kesalahan di bawah peraturan-peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

Bagi syarikat yang melakukan kesalahan pula boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.

Kesedaran memilih produk kosmetik yang bernotifikasi dengan KKM adalah sangat penting dalam kalangan masyarakat.

Jangan mudah terpedaya dengan iklan serta testimoni yang disiarkan melalui media cetak dan media elektronik yang membuat tuntutan tidak munasabah.

Pastikan faktor keselamatan diutamakan berbanding kesan terhadap kecantikan.

Pengguna dan orang ramai adalah dinasihatkan untuk menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik dengan melayari laman sesawang rasmi NPRA http://npra.moh.gov.my/ sebelum membelinya.

Sebarang pertanyaan lanjut berkaitan ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre-NPCC) melalui talian 1800-88-6722 (Isnin hingga Jumaat, dari jam 8 pagi hingga 5 petang kecuali cuti umum).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Julai 2019 @ 6:10 AM