BARAH payudara boleh berlaku pada lelaki. FOTO NSTP
Hafiz Ithnin

PIL hormon bertujuan memberi peningkatan hormon estrogen menjadi dambaan sesetengah golongan mak nyah memandangkan fungsinya berupaya menonjolkan ciri kewanitaan asli termasuk pembentukan payudara.

Meskipun memberikan kesan terhadap badan yang dilahirkan sebagai lelaki, pengambilan pil hormon yang bertentangan dengan kehendak tubuh boleh memberi kesan buruk kepada penggunanya termasuk berpotensi mendapat barah payudara.

Ya, barah payudara. Walaupun penyakit ini lebih ‘mesra’ dengan wanita dan menjadi antara pembunuh utama golongan Hawa di negara ini, ia tetap boleh berlaku pada lelaki.

Pakar Bedah Endokrin dan Payudara Hospital Putrajaya, Dr Sadhana Mahamad berkata, lelaki yang mengambil pil hormon wanita bagi mendapatkan payudara mempunyai kebarangkalian menghidap barah yang tinggi kerana ia mampu mencetuskan kecelaruan sistem badan.

Beliau berkata, ketika ini kurang satu peratus barah payudara berlaku kalangan lelaki atau satu daripada 1,000 pesakit adalah golongan Adam. Bagaimanapun, tidak mustahil ia boleh meningkat sekiranya lelaki tidak mengamalkan gaya hidup sihat.

“Mereka yang mengambil alkohol, mengalami masalah kegemukan atau obesiti, penghidap penyakit hati dan perokok antara golongan lelaki berisiko mendapat barah payudara.

“Lebih membimbangkan perkara ini kurang disedari. Biasanya apabila dikesan, ia sudah berada pada tahap serius iaitu tahap tiga atau empat ,” katanya.


PENGAMBILAN pil hormon yang bertentangan dengan jantina boleh menyebabkan barah payu dara lelaki. FOTO NSTP

Dr Sadhana berkata, barah berlaku apabila sel-sel dalam payudara tumbuh secara tidak normal yang akhirnya membentuk ketulan di bahagian payudara. Bagi wanita, barah itu boleh bermula di bahagian salur susu atau kelenjar susu.

“Apabila ia mula berlaku di bahagian berkenaan, sedikit demi sedikit sel-sel tidak normal itu merebak atau menular ke bahagian lain menerusi saluran darah dan limfa.

“Disebabkan itu, tidak kira wanita atau lelaki, berasakan ada sesuatu yang tidak normal pada bahagian payudara mereka, pemeriksaan lanjut perlu dibuat,” katanya.

Jelasnya, kewujudan ketulan di bahagian payudara antara gejala perlu dibimbangkan kerana ia menjadi petanda seseorang menghidap barah berkenaan.

Tambahnya, jika lelaki berasakan sesuatu tidak normal pada payudara, jangan berlengah berjumpa doktor bagi mengenal pasti masalah yang mereka hadapi.

“Ramai menganggap hanya wanita mendapat penyakit ini. Anggapan itu tidak tepat dan jika berasakan ada sesuatu tidak normal pada payudara, jangan fikir ia masalah biasa.

“Kita tidak mahu perkara dianggap biasa itu menjadi luar biasa dan barah sudah mencapai tahap serius. Dalam keadaan ini, lebih sukar merawatnya,” katanya.

Dr Sadhana berkata, lelaki juga mempunyai tisu payudaya seperti wanita. Wanita mempunyai hormon estrogen dan progestron lebih daripada lelaki yang menyebabkan pertumbuhan tisu payudara lebih tinggi.

Tambahnya, jika seseorang mendapati ada ketulan di payudaya, perubahan warna kulit, sakit pada puting, lelehan dari puting, puting bengkak atau luka tanpa sebab atau ketulan limfa bengkak di bawah ketiak, mereka perlu berjumpa doktor secepat mungkin.

“Rawatannya sama seperti yang diberikan kepada pesakit wanita iaitu pembedahan diikuti kemoterapi dan radio tetapi. Perkara yang paling utama adalah kita perlu peka dengan perubahan pada diri masing-masing,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Julai 2019 @ 5:00 AM