DR Dzulkefly (kiri), Dr Zaki (tengah) dan Lance ketika melancarkan Program Bantuan Red Bean.
Zaitie Satibi

BAGI pesakit buah pinggang kronik (CKD), mereka akan berdepan pelbagai komplikasi seperti muntah, keletihan, masalah tidur, tekanan darah tinggi, kurang tumpuan dan sesak nafas.

Memburukkan lagi keadaan, pesakit CKD juga menghidap anemia iaitu tubuh kekurangan sel darah merah yang berfungsi membawa oksigen ke seluruh tisu badan. Fungsi ini dijalankan oleh protein yang dipanggil hemoglobin dan anemia juga bermaksud hemoglobin yang tidak mencukupi.

Berdasarkan laporan Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Malaysia (NKF), anemia antara masalah yang sering melanda pesakit CKD. Ia ditemui dalam 75.8 peratus pesakit pradialisis di Malaysia dan semakin ketara apabila jangkitan merebak.

Buah pinggang yang sihat juga menghasilkan hormon iaitu eritropoietin (EPO). Ia adalah hormon penting yang merangsang sum-sum tulang untuk menghasilkan sel darah merah. Apabila buah pinggang berpenyakit atau rosak, ia tidak dapat menghasilkan EPO yang mencukupi.

Akibatnya, sum-sum tulang mengeluarkan hanya sedikit sel darah merah dan seterusnya boleh menyebabkan anemia. Selain itu, pesakit CKD juga mendapat anemia disebabkan kehilangan darah ketika rawatan dialisis dan kekura­ngan nutrien penting seperti zat besi, vitamin B12 dan asid folik.

NKF juga melaporkan setiap pesakit CKD di negara ini secara purata memerlukan lebih RM25,000 setahun untuk rawatan bagi menguruskan komplikasi kesihatan akibat penyakit terbabit.

Malangnya, jumlah berkenaan amat membebankan bagi kebanyakan pesakit dan yang paling terkesan adalah mereka yang datang daripada golongan berpendapatan rendah. Sehubungan itu, NKF dengan kerjasama syarikat farmaseutikal, Roche Malaysia melancarkan Program Bantuan Red Bean untuk meringankan beban kewangan pesakit yang terjejas.

KITARAN penghasilan EPO oleh buah pinggang merangsang sum-sum tulang menghasilkan sel darah merah.

Pengerusi NKF, Datuk Dr Zaki Morad berkata, program ini yang bermula di Lembah Klang pada 1 Ogos lalu dan diperluaskan ke seluruh negara mulai Januari tahun depan, akan mengurangkan beban kewangan pesakit anemia CKD dengan menyediakan mereka rawatan agen perangsang eritropoietin (ESA) yang memberi isyarat kepada sum-sum tulang untuk menghasilkan lebih banyak sel darah merah.

“Kos rawatan ESA dikongsi bersama pesakit, NKF dan pihak Roche Malaysia melalui program bayaran bersama yang inovatif untuk mengurangkan beban penjagaan kesihatan sektor awam,” katanya.

Pesakit CKD (dialisis dan bukan dialisis) dari pusat rawatan swasta atau awam boleh memohon Program Bantuan Red Bean melalui mana-mana pusat NKF di seluruh negara. Maklumat lanjut boleh layari www.nkf.org.my atau hubungi NKF di talian 03-79540052 atau 03-79540119.

Pelancaran program disempurnakan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Pengurus Besar Roche Malaysia, Lance Duan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Ogos 2019 @ 7:00 AM