PENGAMBILAN ais terlalu cepat menyebabkan rasa sakit kepala mengejut.
Nurul Husna Mahmud


AISKRIM antara pencuci mulut kesukaan ramai apatah lagi ketika dinikmati dalam cuaca panas.

Di sebalik keenakannya, rasa dingin aiskrim mencetuskan ‘sensasi’ yang mengundang kepada rasa sakit di kepala. Lazimnya ‘kejutan’ sejuk itu menyakitkan.

Namun anda tidak perlu bimbang kerana itu reaksi saraf terhadap sifat dingin aiskrim yang normal dan dipanggil sphenopalatine ganglioneuralgia atau lebih dikenali sebagai ‘otak beku’.

Gejala serangan sakit kepala itu biasanya di dahi dalam tempoh kurang daripada lima minit.

Ia dirasakan seperti ada aliran dari mulut ke otak diiringi rasa sakit dan berdenyut.

Menurut Profesor di University of Manitoba dan Penyelidik Utama di St Boniface Hospital Research, Benedict Albensi, ia sebenarnya mekanisme perlindungan terhadap suhu melampau.

Itu disokong oleh Saintis Neurologi Wake Forest Baptist Medical Center, Dwayne Godwin yang menerangkan gejala sakit kepala atau otak beku adalah cara badan ‘memberitahu’ untuk memperlahankan dan bertenang ketika makan aiskrim atau sesuatu yang sejuk.

“Mulut kita terdiri daripada pelbagai tisu, saluran darah dan saraf yang menyebabkan ia antara bahagian dalam badan sensitif, termasuk lidah.

“Itulah sebabnya kita mengambil suhu badan di sana, tetapi pengambilan minuman terlalu sejuk dengan cepat tidak memberi masa kepada mulut untuk menyerap penurunan suhu yang ketara itu.


PENGAMBILAN air suam.

“Otak kita sebenarnya tidak suka mengubah sesuatu perkara dan kejutan ‘otak beku’ adalah mekanisme untuk menghalang daripada melakukan perkara berkenaan,” katanya.

Kesakitan yang berkaitan dengan keadaan ‘otak beku’ dirasakan oleh reseptor dalam lapisan luar otak yang disebut meninges, di mana arteri bertemu.

Apabila kejutan sejuk berlaku, ia menyebabkan penguncupan arteri ini dan itulah rasa ‘sensasi’ yang otak tafsirkan sebagai kesakitan.

Saintis berpendapat keadaan ini tidak berbahaya, cuma kesakitan itu lebih ketara pada individu yang mempunyai sejarah migrain kerana mereka lebih cenderung menghadapi gejala ini tatkala menikmati minuman berais atau makan aiskrim.

Tiada ubat diperlukan bagi mengurangkan dan mengatasi kejutan ‘otak beku’ kerana reaksi atau kesakitan ini berlangsung sebentar sahaja iaitu sekitar 30 hingga 60 saat setelah makanan atau minuman dingin ditelan.

Oleh kerana saraf di lelangit yang bertindak balas dengan penurunan suhu ketara ini, jadi untuk mengatasinya adalah dengan meningkatkan suhu pada bahagian berkenaan.

Sebenarnya ada banyak cara boleh dilakukan untuk mengelak kejutan sejuk ini.

Antaranya adalah:

Meletakkan lidah ke lelangit sehingga kejutan sejuk itu hilang.

Kaedah itu bagi mengembalikan kehangatan dalam mulut.

Ambil air suam juga dapat menstabilkan suhu dingin dalam bahagian mulut dan mengurangkan sakit kepala akibat pengambilan ais.

Tutup mulut dan hidung dengan tangan, hembus nafas supaya udara pernafasan menghangatkan lelangit.

Pencegahan yang terbaik ialah pengambilan makanan atau minuman sejuk itu secara perlahan-lahan atau sedikit demi sedikit.

Kemam makanan atau minuman ini seketika, untuk membiasakan mulut anda dengan suhu sejuk.


AISKRIM dan minuman berais menyebabkan sensasi ‘otak beku’.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Oktober 2019 @ 5:50 AM