AHLI panel sesi bicara penyakit ekzema, (dari kanan) Dr Noor Zalmy, Dr Bong dan Dr Shiva.
Zaitie Satibi


MENGGARU bagai nak gila akibat kegatalan kulit melampau adalah rutin yang perlu ditempuh sebahagian besar penghidap dermatitis atopik (AD) terutama mereka yang berada dalam kategori teruk.

AD adalah jenis ekzema paling kerap dihidapi. Penyakit radang kronik ini dikenal pasti menerusi simptom ruam merah gatal pada kulit yang terjadi secara berulang-ulang. Antara puncanya ialah radang terpendam di dalam badan yang dipercayai disebabkan sistem imun terlalu aktif.

AD juga penyakit sistemik yang kompleks dan mendatangkan kesan fizikal serta psikologi yang ketara. Ciri utama AD kategori sederhana dan teruk ialah ruam yang tumbuh melata di beberapa bahagian badan serta menerbitkan kegatalan yang teruk serta berpanjangan. Kulit menjadi kering, kemerah-merahan, merekah, berkuping dan berair.

Dalam kalangan penghidap AD, sel imun pada lapisan kulit yang lebih dalam menghantar isyarat keradangan ke permukaan kulit yang menyebabkan ruam gatal. Apabila mereka menggaru, lapisan luar kulit akan pecah dan ini akan membuka laluan kepada kuman, virus dan alergen masuk ke dalam badan.

Sebagai tindak balas terhadap pencerobohan itu, sistem imun akan terus menghantar isyarat ke permukaan yang menyebabkan kegatalan dan kemerahan bertambah buruk. Semakin digaru, semakin banyak lapisan luar kulit yang pecah dan rosak. Akibatnya, kitaran gatal dan garu akan berterusan bagi penghidap AD.

Pakar Perunding Dermatologi, Dr Bong Jan Ling berkata, penghidap AD sederhana atau teruk yang tidak dapat menguruskan penyakitnya dengan baik akan mengalami simptom yang melemahkan badan walaupun menjalani pilihan rawatan sedia ada.


RUAM merah dan gatal penyakit ekzema pada badan pesakit.

“Ramai orang dewasa di Malaysia menderita penyakit ini dan setiap hari boleh menjadi detik yang mencabar bagi mereka terutama yang mempunyai tanggapan salah berkaitan gaya hidup serta kurang mematuhi peraturan rawatan.

“Dalam keadaan ini, cabarannya bertambah besar kerana penghidap AD menjalani rawatan yang tidak dapat menangani keadaan pesakit. Sekiranya keadaan ini berlarutan, mereka akan menyaksikan kesan negatif terhadap kualiti hidup kerana serangan AD menjejaskan fizikal dan psikologi.

“Beban berbilang dimensi yang dibawa oleh AD boleh melarat sepanjang hidup pesakit kerana ia memerangkap penghidapnya dalam kitaran penyakit dan penderitaan yang berterusan,” katanya pada sesi bicara kesihatan penyakit AD anjuran syarikat farmaseutikal, Sanofi, sempena pelancaran rawatan terbaharu AD iaitu suntikan Dupixent (dupilumab), baru-baru ini.

Keperluan penghidap AD yang masih belum dipenuhi penting untuk ditangani kerana pesakit berasakan penyakit ini membawa kesan negatif terhadap pelbagai aspek kehidupan mereka termasuk mempengaruhi keputusan penting dalam hidup sama ada dari segi sosial mahupun profesional.

Malah, penghidap AD melaporkan hampir 10 peratus daripada waktu bekerja mereka terjejas ketika gejala penyakit memburuk.

“Kombinasi antara kurang pematuhan terhadap aturan rawatan dan kurang pilihan rawatan yang inovatif menjadi punca kebanyakan penyakit AD tidak dapat dikawal dengan baik dalam kalangan pesakit di negara ini.

“Namun, kita berterima kasih kerana perkembangan teknologi perubatan membolehkan penemuan terapi biologik perintis yang menumpukan kepada punca radang. Keperluan terhadap rawatan inovatif seumpama ini mampu mengubah situasi dihadapi penghidap AD sederhana atau teruk.

“Melalui rawatan bukan steroid dan imunosupresan konvensional ini, pesakit mempunyai pilihan untuk dipertimbangkan kerana akses kepada pilihan rawatan yang tepat pada masanya adalah penting untuk membantu mendapat kelegaan daripada penyakit kronik yang menjejaskan kehidupan mereka,” kata Dr Bong.

Dr Bong berkata, beliau gembira apabila ada rawatan baharu di pasaran yang selamat dan boleh mengembalikan keyakinan penghidap AD untuk menguruskan penyakit mereka selepas mendengar keluhan pesakit yang kecewa kerana tidak banyak rawatan yang menyelesaikan masalah kulit terbabit.


PENGHIDAP ekzema, Elaine (dua kanan) berkongsi penderitaannya melawan penyakit kulit itu pada sesi bicara penyakit itu, baru-baru ini.

CETUS PELBAGAI MASALAH

Naib Presiden Persatuan Dermatologi Malaysia (PDM), Datuk Dr Noor Zalmy Azizan berkata, pihak persatuan menganggarkan hanya 14.7 peratus penghidap AD mematuhi prosedur rawatan, manakala 58.7 peratus pesakit mengalami fobia steroid yang menjadi masalah kepada mereka.

“Kortikosteroid topikal adalah antara modaliti rawatan yang biasa digunakan untuk penghidap AD. Ia adalah preskripsi yang biasa diberikan kepada pesakit kerana ia mempunyai kesan antiradang dan antiproliferatif yang kuat.

“Bagaimanapun, jika pesakit tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan, penyakit mereka mungkin gagal dikawal seterusnya menjejaskan kualiti hidup seperti tidur terganggu, sentiasa resah dan kemurungan,” katanya.

Penghidap AD yang hanya mahu dikenali sebagai, Elaine, 30-an, yang sudah menjalani rawatan terbaharu itu mengakui suntikan berkenaan membantunya menangani penyakit terbabit dengan baik apabila beliau kini dapat rehat dan tidur yang mencukupi.

“Saya tidak dapat tidur lena kerana menggaru sepanjang malam. Saya menggaru sehingga kulit yang gatal itu berdarah tetapi masalah lain pula timbul apabila kulit berdarah itu terasa pedih.

“Akibat tidak cukup tidur, esoknya saya berasa lesu dan letih. Ia menjejaskan rutin saya ketika bekerja,” katanya yang menghidap AD sejak berusia belasan tahun.

Bermula daripada hanya satu tompokan ruam, ia bertambah sedikit demi sedikit di seluruh badannya dan menyebabkan kegatalan teruk dan menyakitkan.

Elaine sudah mencuba pelbagai rawatan termasuk kaedah alternatif tetapi ada yang tidak berkesan langsung dan ada juga hanya memberi kelegaan sementara.

Keadaannya itu membuatkan ibu kepada dua cahaya mata ini tidak dapat menikmati aktiviti kegemarannya berenang dan bersenam zumba kerana peluh dan klorin air kolam renang akan menjadikan gejala lebih buruk.

Ruam merah yang gatal akan bertambah dan kulitnya merekah, berkuping dan berdarah. Malah, Elaine juga terpaksa mengelak faktor pencetus lain seperti cuaca panas dan hujan.

Menyentuh sedikit mengenai suntikan dupilumab, ia adalah antibodi monoklon manusia yang dihasilkan untuk merencat isyarat terlalu aktif dua protein utama, interleukin-4 (IL-4) dan IL-13 dengan menyekat reseptor pada kedua-dua protein berkenaan.

IL-4 dan IL-13 dipercayai menjadi pemacu penting bagi radang terpendam berterusan yang menyebabkan AD dan alahan atau penyakit atopik tertentu lain.

Ia menunjukkan keberkesanan yang konsisten, pantas dan bertahan lama terhadap gejala dan simptom AD. Rawatan terbaharu ini yang memerlukan preskripsi doktor juga mampu meningkatkan kualiti hidup apabila digunakan dengan terapi topikal atau sebagai monoterapi.

Ketua Perubatan Sanofi Malaysia, Singapura dan Thailand, Dr Shiva Patil berkata, rawatan yang mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan itu dijangka dapat membantu ramai pesakit menjalani kehidupan harian dengan lebih baik kerana ia mengurangkan gangguan akibat gejala dan simptom AD.

Rawatan itu yang boleh dilakukan sendiri oleh pesakit sebagai suntikan subkutaneus setiap selang seminggu selepas dos pertama menjadi pilihan kepada pesakit AD yang penyakitnya tidak dapat dikawal dengan baik menerusi preskripsi topikal atau tidak sesuai menggunakan terapi sedia ada.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 November 2019 @ 5:10 AM