Helmy Abd Rahman

DI mana-mana pun pasti kita pernah berjumpa jenis manusia ‘bodoh sombong’, berlagak pandai dan ‘syok sendiri’.

Lebih parah apabila individu itu melakukan sesuatu yang menyusahkan orang sekeliling atau diri sendiri kerana terlebih percaya kebolehan yang ada dalam diri.

Contoh ini dapat dilihat dalam kes membabitkan McArthur Wheeler yang merompak dua bank di Pittsburgh sebelah siang pada 1995 tanpa memakai topeng atau melakukan penyamaran.

Malah lelaki pertengahan usia itu dengan bangga melemparkan senyuman pada kamera pengawasan keselamatan sebelum keluar dari bank.

Apa yang mengejutkan, Wheeler amat yakin dengan melumurkan jus lemon pada seluruh kulitnya, imejnya tidak akan kelihatan dalam kamera.

Kes ini menarik perhatian David Dunning yang ketika itu pensyarah di Universiti Cornell untuk mengkaji apa sebenarnya berlaku.

Beliau mengajak penuntutnya, Justin Kruger melakukan penyelidikan mengenai individu yang tersalah tafsir mengenai diri sendiri dengan menganggap mereka mempunyai kebolehan lebih tinggi daripada realiti sebenar.


Dunning

Dunning dan Kruger menguji hipotesis mengenai bias kognitif membabitkan keunggulan ilusi dalam kalangan penuntut sarjana muda dalam kursus pengenalan psikologi dengan menilai jawapan ujian penilaian diri daripada responden.

Penilaian itu membabitkan kemahiran intelektual dalam pertimbangan logik, tatabahasa Inggeris dan penilaian rasa humor peribadi.

Selepas mengetahui skor penilaian diri mereka, penuntut diminta menganggarkan markah mereka dalam kelas psikologi.

Penyelidikan merentasi empat kajian itu mendapati penuntut mendapat markah rendah dalam ujian humor, pengetahuan tatabahasa dan pertimbangan logik, terlebih nilai pencapaian mereka.

Walaupun memperoleh 12 peratus markah, mereka anggarkan mendapat markah 62 peratus.

Fenomena ini kemudian dinamakan Kesan Dunning-Kruger (Dunning-Kruger Effect) iaitu bias kognitif membabitkan individu yang mempunyai keupayaan tahap rendah mempunyai ilusi bahawa mereka mempunyai kebolehan melampaui kemampuan sebenar dan mengalami gangguan atau kekeliruan menafsir kemampuan kognitif mereka.

Secara mudahnya, penderita Kesan Dunning-Kruger adalah individu jahil yang berasa lebih hebat berbanding orang lain.

Pada masa sama mereka menolak teguran orang lain terhadap kesilapan atau kekurangan yang ditonjolkan.

Penderita Kesan Dunning-Kruger biasanya dapat dikesan melalui perlakuan mereka yang melebih-lebihkan tahap keupayaan atau kemahiran diri sendiri; selalu menolak atau gagal melihat kebolehan orang lain; gagal mengenal pasti kekurangan diri; menolak kritikan terhadap kekurangan diri mereka dan bersifat agresif atau menonjolkan kemarahan untuk menjamin kedudukan mereka.

Dunning menyarankan kekurangan kemahiran dan kemampuan mencipta dua masalah iaitu menyebabkan mereka tidak cemerlang dan keduanya kekeliruan dan kekurangan menyebabkan mereka gagal menyedari kesilapan dilakukan.

Kesan Dunning-Kruger juga dikaitkan dengan kesukaran dalam metakognisi atau kemampuan melakukan muhasabah diri.

Penderita hanya mampu menilai diri berdasarkan pandangan sendiri yang amat terhad.

Menerusi perspektif terhad ini, mereka menganggap diri amat berkemahiran tinggi, berpengetahuan dan jauh lebih hebat berbanding orang lain dan berdepan kesukaran untuk menilai kemampuan diri dari sudut pandang lebih realistik.


Dr Sazali Ahmad dari Insan Reaserch and Training Academy.

Pakar psikologi tenaga, Dr Sazali Ahmad dari Insan Reaserch and Training Academy berkata, agak kurang kajian dan penyelidikan dilakukan di Malaysia mengenai Kesan Dunning Kruger, namun beliau berpendapat ia terjadi hasil persekitaran ketika penderita memasuki usia awal remaja.

“Ada kemungkinan mereka mulanya berada dalam ‘denial’ (penafian) kerana kekurangan dialami berbanding orang lain ketika di sekolah menengah dan mula membentuk Kesan Dunning-Kruger untuk menipu diri sendiri.

“Lama-kelamaan, ia menjadi sifat kekal yang tidak sahaja menyusahkan diri sendiri, bahkan masyarakat sekeliling.

“Untuk rawatan, saya berpendapat mereka perlu menjalani ‘cognitive behavioral therapy’ (terapi perilaku kognitif) iaitu rawatan psikoterapi membabitkan kaedah latihan praktikal untuk penyelesaian masalah.

“Sasarannya adalah untuk menukar corak pemikiran atau perilaku di sebalik gangguan mental yang dialami sekali gus menukar cara mereka merasa,” jelasnya.


SEORANG lelaki berlagak samseng dengan mengeluarkan parang selepas ditegur dalam kejadian di Miri, tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 November 2019 @ 5:15 AM