KECERDASAN emosi membentuk harga diri tinggi.
Aniza Zainudin


KETIKA anda sedang memandu kereta pada had laju ditetapkan, tiba-tiba ada kereta lain memotong laluan anda dengan cara berbahaya tanpa memberikan isyarat, apakah reaksi pertama anda?.

Pastinya, darah anda menyirap apabila menyaksikan tindakan kurang berhemah pemandu yang boleh mendatangkan bahaya kepada anda dan pengguna jalan raya lain.

Kemudian, apakah tindakan anda seterusnya? Adakah anda akan membalas perbuatan pemandu berkenaan dengan cara membunyikan hon kuat berpanjangan?

Adakah anda turut membalas perbuatan pemandu berkenaan dengan cara sama? Atau anda cuba menarik nafas panjang sambil menenangkan diri supaya berfikiran rasional?

Pakar Psikiatri UiTM Private Specialist Centre (UPSC), Dr Nor Jannah Nasution Raduan berkata, perilaku mempamerkan rasa marah dengan reaksi negatif menunjukkan seseorang mempunyai masalah kekurangan kecerdasan emosi (EQ).

Sedarkah kegagalan untuk mengurus emosi peribadi, bukan hanya mendatangkan bahaya kepada individu terbabit, bahkan orang di sekeliling?

Mengambil contoh situasi pemanduan kereta di jalan raya di atas, beliau berkata, tindakan terburu-buru hasil daripada pemikiran kurang waras boleh mengakibatkan kecelakaan lain termasuk kes kematian akibat pergaduhan seperti dipaparkan media.

Katanya, EQ merujuk kepada ‘Emotional Quoteint’, ‘Emotional Intelligence’ atau kecerdasan emosi yang bererti keupayaan individu untuk mengenal pasti, memahami dan mengendalikan emosi sendiri, seterusnya orang yang berada di persekitaran.

Selepas beberapa dekad, masyarakat fokus terhadap ‘Intelligence Quoteint’ (IQ) yang mencerminkan intelek dan kebijaksanaan, tanpa disedari kita meninggalkan kepentingan EQ dalam kehidupan kita.

Menurut Dr Nor Jannah, kajian mendapati sekiranya seseorang menceburkan diri dalam perniagaan dengan berbekalkan IQ semata-mata, dia mampu berjaya dengan peratusan antara 20 hingga 25 peratus manakala kejayaan boleh diraih hingga 80 peratus seandainya kecerdasan minda dan emosinya bergerak seiring.


EMPATI mengajar manusia lebih positif.

“Kecerdasan emosi ini terbahagi kepada empat kelas, kesedaran diri (self awareness), pengurusan diri (self management), kesedaran kemahiran sosial (social skill awareness) dan kemahiran sosial (sosial skill).

“Kecerdasan emosi ini perlu diterap sejak kecil. Apabila ibu bapa mendidik anak dengan kemahiran ini, mereka boleh mengenal pasti emosi diri daripada awal, seterusnya mengendalikannya emosi secara lebih baik.

“Kemahiran ini boleh memacu keyakinan diri, dapat mengawal diri seterusnya memiliki harga diri.

“Apabila meningkat dewasa, remaja sememangnya bakal berdepan pelbagai isu kehidupan termasuk persahabatan. Jadi, dengan adanya EQ, mereka tidak hanya fokus pada masalah sebaliknya menilai kekuatan diri, mengawal emosi dan belas kasihan pada diri.

“Setiap orang mempunyai kesukaran, langkah utama untuk mengelakkan diri daripada terus hanyut dengan masalah adalah menghargai diri.

“Apabila ada nilai harga diri tinggi, remaja tidak mudah membandingkan diri dengan orang lain terutama di media sosial dan mereka mampu menerima kekurangan diri sendiri.

“Sekiranya tiada harga diri, kita akan lebih mudah rasa tertekan dan kebimbangan melampau. Justeru, EQ ini penting bagi membantu remaja mahupun dewasa menguruskan emosi dan masalah daripada perspektif positif.

“Antara teknik mudah untuk dimulakan bersama anak kecil ialah kewujudan ibu bapa untuk dirasai atau menjiwai emosi anak. Ibu bapa perlu memberi ruang untuk anak mengenali atau memahami emosi yang mereka lalui.

“Sekiranya sedih, zahirkan dengan tangisan dan didik mereka memberitahu jenis emosi itu. Masalahnya, dalam budaya masyarakat kita, emosional sering dipandang sebagai kelemahan. Sedangkan, emosi itu seharusnya dinyatakan.


DIDIK anak untuk kenal pasti emosi.

LIMA LANGKAH KENDALI EMOSI

Kata Dr Nor Jannah, ada lima langkah pengendalian emosi seperti yang dinyatakan Dr John Gottham. Lima langkah ini wajar dipraktikkan dari awal dan dijadikan panduan.

1. Peka dengan emosi kanak-kanak.

2. Kenal pasti emosi anak.

3. Bantu anak menamakan atau labelkan jenis emosi. Ini sangat penting untuk mereka

memahami jenis emosi dirasakan.

4. Kita perlu berkomunikasi secara empati dan memahami perasaan mereka.

5. Menetapkan dengan penyelesaian masalah.

Kekurangan EQ boleh memberi kesan besar terutama terhadap diri. Ketiadaan rasa percaya pada diri akan membuatkan harga diri seseorang semakin menurun, sentiasa berfikir negatif seterusnya mengakibatkan masalah lain apabila berada dalam masyarakat.

Kesukaran emosi ini berpunca apabila individu gagal menghubungkan emosi dengan pemikiran yang rasional. Tanpa fikiran waras, mereka tidak mampu menenangkan diri apabila berdepan satu-satu situasi.

Mereka yang memiliki EQ tinggi selalunya akan cuba menenangkan diri, berfikir dahulu sebelum melakukan apa-apa reaksi langsung terhadap provokasi.

Merujuk kepada isu buli, Dr Nor Jannah mengakui pembuli mempunyai tahap EQ yang rendah kerana kurangnya harga diri dan mereka melakukan buli sama ada fizikal, emosi mahupun lisan demi menutup kekurangan diri.

Katanya, pembuli tidak mempunyai empati terhadap orang lain, bahkan tidak sedar diri mereka sebenarnya bermasalah.

Empati diletakkan di bawah kelas kesedaran kemahiran sosial yang membantu kita untuk mengenali dan memahami perasaan orang lain.

Dr Nor Jannah berkata, empati juga mendidik manusia tidak mementingkan diri sendiri sebaliknya meletakkan diri dalam situasi orang lain.

Katanya, apabila kita cuba mendalami situasi orang lain, kita boleh menjadi lebih positif dan berfikir daripada perspektif individu berkenaan.

Tegasnya, emosi penting dalam kehidupan manusia namun perkara paling utama, cara atau kaedah terbaik untuk kita mengendalikan emosi bersama fikiran rasional.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 November 2019 @ 5:30 AM