DAPAT membersihkan celahan gigi.
Zaitie Satibi


MEMILIKI gigi yang bersih antara persepsi awal masyarakat terhadap tahap kebersihan dan ukuran personaliti seseorang.

Selain memberus gigi dan menggunakan cecair kumur penghilang bau nafas, penggunaan benang flos turut membantu membersihkan gigi terutama di bahagian yang tersembunyi.

Flos pergigian adalah benang khas untuk membersihkan kotoran melekat pada gigi, khususnya celahan gigi.

Kedudukan dan susunan gigi manusia sangat rapat hingga menyukarkan berus membersihkan kawasan celahan gigi yang sempit.

Bukan hanya berkesan mengeluarkan sisa makanan, penggunaan flos dengan kekerapan sekali sehari turut dapat membersihkan plak gigi dengan lebih baik.

Terdapat beberapa jenis flos di pasaran, antaranya flos berlilin atau tanpa lilin, flos berperisa atau tanpa perisa, pita gigi dan super flos.

Semua jenis flos ini berkesan membersihkan gigi jika kita melakukan teknik pembersihan yang betul.


AMALAN ini membantu mengurangkan penyakit keradangan gusi.

Berikut antara langkah menggunakan flos dengan lebih berkesan:

1. Ambil flos sepanjang lebih kurang 18 inci.

2. Lilitkan flos pada kedua-dua jari tengah dan tinggalkan jarak satu inci di antara kedua jari. Regangkan flos.

3. Masukkan flos di celah gigi dan gerakkan ke atas dan ke bawah beberapa kali kemudian di sekeliling permukaan gigi di aras garisan gusi.

4. Jangan lupa bersihkan permukaan belakang gigi yang paling belakang.

5. Perlahan-lahan buka lilitan di jari untuk mendapatkan bahagian flos yang bersih semasa aktiviti membersih gigi dilakukan.

Dalam satu-satu situasi, penggunaan flos boleh membuatkan gusi berdarah.

Keadaan ini berlaku atas beberapa sebab termasuk teknik yang salah seperti tekanan berlebihan hingga mengakibatkan gusi tercedera hingga berlakunya pendarahan kecil.

Pendarahan ini juga adalah petanda gusi anda kurang sihat (gingivitis).

Amalan kebersihan mulut boleh membantu menyembuhkan penyakit keradangan gusi dan ia menjadi lebih berkesan sekiranya anda melakukan rutin ini secara kombinasi dengan teknik yang betul.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 November 2019 @ 6:30 AM