PENYEDIAAN makanan ketika banjir perlu dipastikan bersih dan selamat. FOTO Fathil Asri
PENYEDIAAN makanan ketika banjir perlu dipastikan bersih dan selamat. FOTO Fathil Asri
HM Digital

BENCANA banjir berpotensi mencetuskan penularan penyakit berjangkit sekiranya kita tidak mengambil langkah berjaga-jaga. Buat persediaan awal dengan belajar tip keselamatan makanan bagi mengelakkan penyakit berjangkit.

Bagi mereka yang masih mempunyai bekalan makanan sama ada di rumah atau di pusat penempatan banjir, ikuti tip ini untuk pastikan keselamatan makanan yang anda ambil. Ini kerana, pada musim banjir, sumber makanan lebih mudah tercemar kepada agen pencemaran termasuk penyakit bawaan air atau vektor seperti nyamuk, lalat atau tikus.

1. Jangan sesekali mengambil makanan yang bersentuhan dengan air banjir. Anda tidak tahu sekiranya air banjir itu tercemar dengan najis daripada sisa kumbahan yang keluar. Air banjir

tidak bersih kerana mengandungi pelbagai agen pencemar.

2. Elakkan pengambilan makanan yang tidak berada dalam bekas yang tertutup rapat. Ada kemungkinan makanan anda disentuh oleh haiwan pembawa bakteria atau virus seperti lalat, tikus dan lipas.

3. Jangan makan makanan dalam tin yang rosak. Tin yang sudah kemek, bocor, berlubang, berkarat atau menggelembung adalah petunjuk yang baik keadaan makanan di dalamnya mungkin sudah berubah.

4. Basuh semua peralatan makanan sebelum menggunakannya. Basuh pinggan, cawan, sudu, garpu atau pembuka tin menggunakan sabun dan air bersih. Anda juga boleh membasuhnya dengan siraman air panas. Anda juga boleh merendamnya sekurang-kurangnya 15 minit dalam air panas.

PREMIS makanan dilarang beroperasi apabila dinaiki air banjir. FOTO Zaman Huri Isa
PREMIS makanan dilarang beroperasi apabila dinaiki air banjir. FOTO Zaman Huri Isa

5. Basuh tempat penyediaan makanan. Jangan sesekali tidak menghiraukan kebersihan meja penyediaan makanan. Guna sabun dan air bersih untuk membersihkannya. Anda juga boleh menggunakan cecair peluntur klorin yang dicampurkan dengan air terlebih dahulu untuk tujuan cucian.

6. Hanya minum air bersih. Sekiranya ada, ambil minuman yang dibotolkan saja kerana kebersihannya lebih terjamin. Sekiranya tiada, boleh guna air paip, tetapi perlu dimasaki terlebih dahulu. Jangan sesekali meminum air mentah.

7. Periksa makanan sejuk beku. Sekiranya peti ais anda terputus bekalan elektrik semasa banjir, cuba kurangkan untuk membuka peti ais dengan kerap. Ini untuk memastikan bahawa suhu dalam peti ais kekal sejuk agar makanan sejuk beku tidak rosak.

Sekiranya bekalan elektrik pulih, periksa setiap pek makanan. Pastikan suhu setiap pek makanan berada pada paras bawah empat darjah Celsius. Makanan juga masih selamat untuk dimasak dan dimakan sekiranya masih ada kristal ais padanya.

INFO DISEDIAKAN: Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Disember 2019 @ 5:05 AM