DR SARGUNAN
Zaitie Satibi

BAGI mereka yang hidup dengan masalah kulit dan sendi dikenali Artritis Psoriatik (PsA), melakukan perkara ringan seperti membutang baju atau mengancing zip pakaian adalah satu cabaran apatah lagi mengangkat barangan berat.

Hidup dengan PsA sememangnya membawa pelbagai cabaran. Selain menderita kerana kesakitan, kekakuan dan kelesuan, penyakit ini juga boleh menjejaskan emosi pesakit.

Kajian menunjukkan pesakit PsA besar kemungkinan mengalami kemurungan dan keresahan, berbanding pesakit yang hanya menghidap psoriasis.

Ada kalanya pesakit berasa kecewa dengan keadaan mereka kerana keadaan menyukarkan mereka untuk melakukan tugas mudah.

Ini seterusnya akan menyebabkan tekanan yang boleh mengakibatkan kemarakan penyakit dan kesakitan.

Bagi pesakit PsA, Sofia Lovi Ramasamy, yang didiagnosis dengan penyakit kulit kronik pada usia 12 tahun sebelum melarat ke radang sendi, pada peringkat awal, dia berasa terlalu kecewa dan hampa sehingga mengalami kemurungan berikutan rasa sangat tidak berdaya untuk melakukan apa-apa.

“Saya didiagnosis dengan psoriasis pada usia terlalu muda. Namun, berdepan penyakit kulit kronik ini seolah-olah itu tidak cukup teruk apabila saya dikesan menghidap PsA tidak lama kemudian.

“Kekecewaan saya semakin perit apabila semakin sukar melakukan tugasan mudah seperti menulis, membuka botol mahupun mengangkat barang. Jari tangan saya mengerekot, keras, kaku sehingga tidak boleh digerakkan.

“Namun, apabila meningkat usia, saya mula menerima hakikat keadaan diri dan sedar penyakit ini bukanlah penamat dunia saya. Malah, saya sewajarnya bersyukur kerana masih mempunyai anggota badan yang lengkap berbanding mereka yang tiada.

“Saya juga yakin mampu meneruskan kehidupan seperti orang lain jika mula menguruskan penyakit ini dengan baik. Ini kerana perkembangan teknologi perubatan membolehkan rawatan dan ubatan untuk penyakit ini semakin baik,” katanya.

Katanya, dia kini lebih yakin dan berani malah mampu berkongsi mengenai keadaannya termasuk pengalaman sebagai pesakit PsA secara terbuka.

Berbanding sebelum ini, dia lebih suka memencilkan diri kerana malu dan menganggap dirinya beban kepada orang lain.

PENYAKIT kulit kronik sebelum menyerang sendi.

“Saya amat gembira kerana saya kini seorang wanita yang kuat dan mampu berdiri sama tinggi dengan pelbagai pencapaian. Malah, saya bangga kerana mampu melangkah sejauh ini untuk berdepan dengan orang ramai.

“Ini jelas ditunjukkan dalam tahap keyakinan diri dan keberanian saya sehingga kini. Saya percaya masih ada banyak yang perlu dilakukan untuk komuniti psoriasis dan PsA serta yakin boleh membuat perubahan,” katanya.

Sofia berkata demikian pada bengkel media Memahami dan Menangani PsA anjuran syarikat farmaseutikal, Novartis Malaysia bertujuan meningkatkan kesedaran dalam kalangan orang ramai terhadap keadaan terbabit menerusi inisiatif pendidikan di ibu negara, baru-baru ini.

PsA adalah radang sendi akibat sistem imun menyebabkan keradangan yang boleh mengakibatkan sendi membengkak, sakit dan rasa kaku.

Keadaan ini dialami oleh segelintir penghidap psoriasis yang menjejaskan kulit dan biasanya dicirikan oleh tompok bersisik sel kulit mati.

Dalam kebanyakan kes, pesakit mengalami psoriasis terlebih dulu sebelum PsA.

Dalam kalangan 500,000 hingga 800,000 rakyat Malaysia yang menghidap psoriasis, dianggarkan 15 hingga 20 peratus daripada mereka menghidapi PsA.

Seperti psoriasis, kemunculan PsA berlaku tanpa diduga dan boleh terjadi pada bila-bila masa.

Bagi kebanyakan pesakit psoriasis, mereka mengalaminya pada usia antara 30 hingga 50 tahun.

Disebabkan PsA juga penyakit genetik, seseorang berkemungkinan besar menghidapnya jika ada ahli keluarga yang menghidap penyakit sama.

Pakar Perunding Reumatologi, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Prof Madya Dr Sargunan Sockalingam berkata, gejala PsA tidak sama bagi setiap pesakit dan keradangan yang tidak dikawal mengakibatkan daya pergerakan pesakit akan merosot serta menjejaskan kualiti hidup.

“Antara gejala yang biasa muncul seperti sakit belakang bawah pinggang, lesu, kuku menggerutu, sendi bengkak, kaku, jari tangan dan kaki bengkak.

“Buat masa ini tiada cara untuk menyembuhkan PsA, bagaimanapun terdapat rawatan untuk membantu mengawal gejala penyakit. Jika PsA dibiarkan tanpa rawatan, keradangan boleh menyebabkan kerosakan kekal kepada sendi dan tisu seterusnya mengakibatkan kehilangan upaya.

“Sesungguhnya pesakit PsA perlu memahami keadaan dan mendapatkan bantuan profesional di peringkat awal kerana diagnosis awal dan rawatan segera penting untuk mencegah kerosakan dan kehilangan fungsi sendi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 January 2020 @ 6:01 AM