RESDUNG membuatkan penghidapnya kerap bersin
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


SEKSANYA menanggung gatal hidung, mata, tekak, hidung berair dan kerap bersin setiap kali makan makanan laut atau terkena habuk.

Pastinya ramai pernah mengalami gejala ini sehingga membuatkan mereka berasa tidak selesa sepanjang hari. Ini kerana gejala itu turut menyebabkan selesema, hidung tersumbat, sakit pada pipi, sekitar mata dan kepala berpanjangan.

Keadaan ini dipanggil resdung atau sinusitis disebabkan keradangan pada lapisan membran dalam mana-mana ruang sinus.

Pakar Telinga, Hidung dan Tekak (ENT) Hospital Pantai Cheras, Dr Syisy Ana Abdul Jalal berkata, resdung adalah masalah biasa di Malaysia dan seluruh dunia.

Dianggarkan 12.5 peratus penduduk di negara ini mengalami masalah resdung.

Menurutnya, sinus merujuk kepada rongga yang terdapat pada kepala dan lebih tepatnya di dalam tulang tengkorak.

ANATOMI sinus paranasal

“Radang sinus (resdung) boleh dibahagikan kepada empat bahagian iaitu sinus maksila, sinus frontal, sinus etmoid dan sinus sfenoid.

“Permukaan sinus dilapisi satu lapisan sel yang mempunyai sel goblet dan ia mengeluarkan mukus iaitu bendalir seperti hingus.

“Ia berfungsi memerangkap habuk atau benda asing yang masuk melalui rongga hidung,” katanya.

Beliau berkata, terdapat tiga faktor yang menyebabkan jangkitan kuman di dalam rongga ini iaitu sumbatan pada lubang ostia, pergerakan silium terganggu dan kuantiti serta kualiti mukus terganggu.

“Sumbatan pada lubang ostia disebabkan lapisan yang melapisi sinus menjadi bengkak kerana jangkitan kuman atau trauma.

“Masalah sumbatan ini juga boleh berlaku kerana ketumbuhan dalam rongga hidung dan benda asing yang menutupi lubang ostia.

“Apabila lubang ostia tertutup, mukus di dalam rongga hidung tidak dapat dikeluarkan.

“Seterusnya, ia menjadi perumah yang sesuai untuk pembiakan bakteria dan akhirnya menyebabkan keradangan dalam rongga sinus,” katanya.

Dr Syisy Ana berkata, faktor kedua ialah pergerakan dan fungsi silium terganggu menyebabkan terkumpulnya cecair di dalam rongga sinus.

“Fungsi silium boleh terganggu apabila ada jangkitan kuman, bahan toksin terhadap sel silium, penyakit sindrom ‘Kartagener’ dan asap rokok,” katanya.

Faktor ketiga ialah jika mukus dihasilkan lebih likat menyebabkan pergerakan cecair berlendir ini untuk dikeluarkan daripada rongga sinus menjadi sedikit lambat.

“Jika penghasilan mukus terlalu banyak, ia menyebabkan silium semakin teruk bekerja untuk mengeluarkan cecair berlendir ini.

“Ketiga-tiga faktor ini memudahkan kuman menjangkiti kawasan rongga sinus dan menyebabkan resdung,” katanya.

Individu yang mengalami gejala resdung dinasihati merujuk pengamal perubatan atau pakar ENT untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.

Endoskopi hidung adalah prosedur mudah yang membolehkan doktor melihat bahagian sinus dengan memasukkan alat ke dalam lubang hidung pesakit.

“Ada kalanya pesakit perlu mendapatkan pemeriksaan imbasan CT bagi membantu doktor mengesan bahagian keradangan dengan lebih jelas.

“Bagi masalah keradangan yang lebih serius, doktor juga akan menasihati pesakit untuk menjalankan imbasan sinar X pada bahagian badan.

“Doktor juga boleh mengambil sampel dari dalam rongga sinus jika dia berasakan kemungkinan ada kulat atau jangkitan bakteria,” katanya.

Jelasnya, gejala resdung beransur hilang dengan sendiri. Ini bermaksud, tiada masalah sinus yang berterusan. “Dalam kes jarang berlaku, masalah resdung yang tidak dirawat boleh menyebabkan komplikasi berbahaya seperti radang otak, jangkitan tulang dan masalah abses otak (penompokan nanah pada otak),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Februari 2020 @ 7:30 AM