MAKANAN tinggi pewarna, pengawet dan perisa.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


AMALAN pemilihan makanan boleh mempengaruhi tahap kesihatan seseorang pada masa hadapan.

Ini kerana, banyak makanan dalam pasaran dianggap tidak selamat terutama yang dihasilkan menggunakan bahan sintetik.

Selain itu, makanan ini turut mengandungi bahan tiruan, kimia sintetik, pengawet, perasa, gula dan garam yang tinggi.

Memburukkan keadaan, selepas melalui proses penghadaman, makanan itu boleh bertukar kepada bahan beracun yang akhirnya menjadi ‘baja’ kepada penyakit kronik dalam senyap.

Timbalan Dekan Fakulit Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti UCSI, Dr Mustafa Ali Mohd berkata, semua bahan ini digunakan dalam makanan untuk menjadikan makanan itu kelihatan lebih menarik, ‘lazat’ dan ‘berkhasiat’ bagi menarik minat pembeli.

Beliau berkata, lebih membimbangkan, muncul pelbagai makanan tiruan seperti telur dan kobis.

“Masyarakat perlu lebih berhati-hati dalam pemilihan makanan dan sebaiknya mengetahui jenis makanan yang baik dan tidak baik terhadap kesihatan mereka.

“Saya akui perkara ini bukan mudah. Ada kalanya sukar untuk kita membezakannya kerana tidak biasa dengan keadaan itu,” katanya.

Dr Mustafa berkata, pengguna perlu meneliti label pada bungkusan makanan.

Contoh, pengguna membeli ban epal kerana menyangka kandungan ban itu adalah epal sebenar, tetapi hakikatnya adalah gula, perisa epal dan pewarna saja.

CONTOH makanan sihat.

“Daripada segi penjualan dan undang-undang, tidak salah kerana nama produk ini ialah ban epal yang membuatkan pengguna menyangka ia mengandungi epal sebenar,” katanya.

Menurut beliau, teknik pemasaran begini mengelirukan pengguna terutama mereka yang kurang pengalaman dan pengetahuan.

Tentunya, pengguna terpedaya lalu membeli makanan itu yang disangka baik untuk kesihatan keluarga.

“Agak menyedihkan jika golongan berpendapatan rendah membeli makanan ini (ban epal), tetapi sebenarnya mereka tidak mendapat kualiti yang sepatutnya,” katanya.

Jelasnya, pengguna seharusnya mengelak daripada memakan makanan yang tidak dapat dipastikan kandungannya.

“Usah percaya kepada iklan dan trend persembahan makanan unik atau berciri ‘hipster’.

“Pengguna perlu berhati-hati dengan setiap menu makanan baru kerana peningkatan penyakit masa kini berpunca daripada makanan.

“Hanya sebahagian kecil penyakit berpunca daripada udara. Makanan termasuk air minuman,” katanya.

Menurut beliau, masyarakat sering lupa mengenai air dan sebenarnya ia lebih penting selain perlu memastikan air yang diminum bersih serta tidak tercemar.

“Jika kita memasak nasi menggunakan air tidak bersih, maka nasi ini mengandungi semua bahan pencemar,” katanya.

Selain itu, perkara lain yang perlu diberikan perhatian ialah pembungkusan makanan yang kebanyakannya menggunakan plastik.

“Plastik mengandungi bahan kimia Bisphenol A (BPA) yang lazimnya digunakan dalam pembuatan produk plastik bagi menghasilkan ciri keras dan jernih.

“Manakala bahan kimia Phthalates pula dicampur dalam pembuatan plastik bagi meningkatkan ciri kebolehlenturan,” katanya.

Dr Mustafa berkata, masalah utama bahan kimia pada pembungkus ini ialah tulisan dan gambar yang dicetak.

Jika tidak berhati-hati, pengguna akan termasuk dalam perangkap makanan itu.

“Sesetengah bahan pencetak pula diperbuat daripada pewarna industri yang tidak sesuai untuk makanan kerana sebahagiannya boleh menyebabkan barah jika meresap masuk dalam makanan berkaitan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Februari 2020 @ 6:20 AM