EKZEMA menyebabkan pendarahan.
EKZEMA menyebabkan pendarahan.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin

SETIAP kali cuaca panas dan berpeluh, beberapa bahagian badan akan berasa gatal seterusnya membuatkan individu terbabit menggaru bahagian berkenaan bagi meredakan kegatalan.

Namun, ada yang menjadi lebih gatal jika terus digaru menyebabkan kulit bertukar kemerahan, kering, merekah dan berair.

Itu penderitaan ditanggung penghidap ekzema iaitu masalah keradangan kulit yang disertai rasa gatal, timbul bintik dan ada kalanya boleh menyebabkan pendarahan kerana terlalu kerap menggaru.

Pakar Pediatrik Gleneagles Kuala Lumpur, Dr Khairul Zaman Omar berkata, ekzema boleh menjadi penyakit sepanjang hayat kepada sebilangan kecil penghidapnya iaitu sekitar tiga hingga empat peratus.

“Ia terutama berlaku kepada individu yang mempunyai sejarah keluarga menghidap masalah ini atau penyakit alahan lain seperti asma.

“Sehingga kini, tiada ubat yang boleh menyembuhkan ekzema. Namun keadaan kulit dapat dirawat dan dikawal dengan penjagaan yang baik serta penggunaan ubat-ubatan bersesuaian,” katanya.

EKZEMA pada badan bayi.
EKZEMA pada badan bayi.

Dr Khairul Zaman berkata, lazimnya ekzema bermula ketika seseorang masih bayi atau kanak-kanak, bagaimanapun ada juga yang mengalaminya apabila dewasa.

Secara umumnya, keadaan ekzema akan menjadi semakin baik apabila usia kanak-kanak meningkat, namun bagi segelintir pesakit, ia berulang sehingga dewasa.

Kajian menunjukkan kira-kira 40 peratus pesakit yang menghidap ekzema ketika kanak-kanak akan berterusan mengalami penyakit ini atau berulang apabila dewasa.

Dr Khairul Zaman berkata, kanak-kanak didiagnosis mempunyai masalah ini apabila ekzema mula berkembang daripada usia mereka dua atau tiga bulan hingga tiga tahun.

“Dalam tempoh ini, keradangan berlaku dalam bentuk kemerahan dan ada kalanya timbul gelembung kecil berisi air pada kulit pesakit.

“Muka adalah bahagian yang paling kerap terbabit kecuali segi tiga nasolabium (berkaitan hidung dan bibir), pergelangan tangan, pertengahan siku, lutut dan kaki,” katanya.

MENGGUNAKAN krim menahan kekeringan dan kegatalan.
MENGGUNAKAN krim menahan kekeringan dan kegatalan.

Menurut Dr Khairul Zaman, statistik kes ekzema dalam kalangan kanak-kanak di negara ini menunjukkan lebih 90 peratus penyakit itu bermula sebelum berusia lima tahun.

Katanya, perkara penting yang perlu diketahui mengenai ekzema ialah empat komponen asas penyakit itu iaitu kulit kering, rasa gatal, keradangan dan jangkitan.

Jelasnya, punca sebenar ekzema tidak diketahui dan difahami sepenuhnya, tetapi dipercayai berkait dengan tindak balas sistem imun badan yang terlalu sensitif terhadap kerengsaan.

“Ekzema juga disebabkan oleh tindak balas yang tidak normal terhadap protein iaitu sebahagian daripada sel badan.

“Kemajuan teknologi perubatan pada masa depan berkemungkinan boleh mencegah penyakit ini menggunakan kaedah terapi genetik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Mac 2020 @ 6:40 AM
Digital NSTP Subscribe