DIET sihat elak tulang rapuh.
DIET sihat elak tulang rapuh.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin

PENYAKIT tulang rapuh (osteoporosis) berlaku apabila ia kehilangan kepadatan seterusnya mengakibatkannya rapuh dan mudah patah.

Perhatian perlu diberikan kepada penyakit ini kerana ia adalah penyakit senyap yang tidak mempunyai tanda jelas apabila menimpa seseorang.

Pesakit hanya menyedari mengalaminya apabila tulang di rusuk, pinggul, pergelangan tangan dan tulang belakang menjadi rapuh seterusnya mudah patah.

Faktor peningkatan usia menyebabkan kepadatan tulang mula berkurangan selain menipis.

Lazimnya, tulang yang sihat amat padat dan ruangan di antara tulang adalah kecil. Sebaliknya bagi pesakit tulang rapuh, keadaan ruangan itu besar menjadikan tulang lemah serta kurang elastik.

Oleh itu, amalan diet sihat dan seimbang amat penting sebagai pencegahan penyakit tulang rapuh.

Lima nutrien penting untuk mencegah penyakit berkenaan.

i. Kalsium

Nutrien ini amat penting untuk pembinaan tulang yang kuat. Jumlah pengambilan kalsium disarankan ialah 800 miligram (mg) setiap hari bagi lelaki dan wanita.

Sumber kalsium diperoleh daripada produk tenusu seperti keju dan yogurt, ikan, sayur-sayuran hijau, kekacang serta bijiran.

Perlu mengambil satu hingga tiga sajian sehari dan makan secara sederhana.

ii. Vitamin D

Vitamin D yang mencukupi diperlukan untuk penyerapan kalsium menjadi lebih berkesan.

Sumber vitamin D diperoleh daripada ikan berlemak seperti salmon, tuna dan sardin kerana mengandungi kandungan vitamin D yang tinggi.

Jumlah vitamin D yang perlu diambil setiap hari ialah 5 hingga 10 mikrogram. Golongan warga emas pula 15 mikrogram.

PERBEZAAN tulang sihat dan tulang rapuh.
PERBEZAAN tulang sihat dan tulang rapuh.

iii.Protein

Protein diperlukan untuk kesihatan tulang kerana ia membantu dalam proses pembinaan tulang.

Banyak kajian menunjukkan pengambilan protein yang mencukupi dapat membentuk ketumpatan tulang dengan baik.

Sumber nutrien ini diperoleh daripada produk tenusu, daging, telur dan soya.

iv. Fosforus

Peranan nutrien ini sama seperti kalsium iaitu untuk pembinaan tulang yang kuat dan sihat.

Nutrien ini boleh diperoleh daripada pelbagai sumber makanan seperti produk tenusu, benih labu, kekacang dan produk soya.

v.Sodium

Sodium yang berlebihan dalam diet boleh menyebabkan kehilangan kalsium daripada badan melalui air kencing.

Kehilangan kalsium yang berterusan menyebabkan kerapuhan tulang dan keadaan ini berbahaya.

Oleh itu, disarankan mengurangkan pengambilan makanan terlalu masin.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Mac 2020 @ 6:50 AM
Digital NSTP Subscribe