RAMAI golongan muda diserang penyakit jantung tanpa gejala.
RAMAI golongan muda diserang penyakit jantung tanpa gejala.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


AMALAN gaya hidup sihat selain aktif dalam aktiviti fizikal secara rutin bukan jaminan seseorang itu bebas daripada ancaman penyakit berbahaya.

Ini dibuktikan apabila banyak insiden kematian mengejut dilaporkan ketika beriadah seperti akibat sakit dada, sesak nafas selain disahkan meninggal dunia secara tiba-tiba.Ia juga boleh berlaku ketika tidur.

Antara aktiviti berisiko, tetapi amat diminati masyarakat hari ini ialah mendaki gunung, bermain bola sepak, futsal, berjoging dan larian maraton.

Tentunya kejadian ini menimbul tanda tanya ramai. Apakah punca sebenar masalah ini?

Sememangnya ia berpunca daripada masalah jantung.Penyakit yang diistilahkan sebagai pembunuh senyap semakin kerap menyerang golongan muda yang sihat dan cergas.

Ketua Unit Kardiologi, Jabatan Perubatan Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Dr Hamat Hamdi Che Hassan berkata, antara masalah jantung yang terjadi kepada ahli sukan ialah penyempitan saluran koronari jantung dan kardiomiopati seperti hipertropik obstruktif kardiomiopati (HOCM).

“Masalah koronori atau serangan jantung berlaku apabila wujud plak dalam koronari yang menjadikannya tidak stabil lalu berlaku sumbatan penuh di dalam saluran koronari jantung.

“Ini boleh menyebabkan jantung menjadi tidak stabil dan mengakibatkan kematian jika tidak mendapat rawatan awal di hospital.

“Dalam keadaan ini, individu terbabit akan mengalami sakit dada, kesukaran bernafas dan akhirnya boleh menyebabkan kematian mengejut,” katanya.

Menurutnya, risiko mendapat serangan jantung membabitkan individu yang melakukan aktiviti fizikal berat melebihi keupayaan sendiri, terutama golongan amatur.

DR Hamat Hamdi menunjukkan organ jantung.
DR Hamat Hamdi menunjukkan organ jantung.

“Jika sudah penat, tetapi terus memaksa diri untuk melakukan aktiviti fizikal, ia boleh memberikan pelbagai kesan kepada jantung dan berkemungkinan menyebabkan serangan jantung atau denyutan jantung tidak normal.

“Individu terbabit boleh pengsan dan akhirnya mengakibatkan kematian sekiranya tidak mendapatkan rawatan awal,” katanya.

Dr Hamat Hamdi berkata, kejadian ini boleh berlaku sekiranya individu berkaitan melakukan aktiviti berat tanpa membuat sebarang latihan terlebih dahulu.

“Ini menjadi pencetus serangan jantung kepada individu yang aktif bersukan. Aktiviti riadah sangat bagus untuk kesihatan, tetapi jangan terlalu ekstrem sehingga membahayakan diri sendiri.

“Lebih-lebih lagi apabila aktiviti berat itu sudah menjadi trend dalam kalangan masyarakat hari ini sebagai gaya hidup sihat,” katanya.

Dr Hamat Hamdi berkata, jangan mengambil mudah jika berasakan berat dan sakit dada ketika bersukan kerana ia satu daripada tanda seseorang mengalami serangan jantung.

“Begitu juga sesak nafas, rasa hendak pitam, peluh sejuk dan jantung berdebar-debar.

“Jika ada tanda begini, perlu berhenti bersukan dan segera berjumpa doktor,” katanya.

Jelasnya, latihan berterusan dan sederhana amat digalakkan untuk menjadi lebih sihat dan cergas. Bagaimanapun, ia perlu dikawal supaya tidak terlalu kerap melakukan aktiviti berat di luar kemampuan badan.

NGIOGRAM antara rawatan untuk pesakit jantung.
NGIOGRAM antara rawatan untuk pesakit jantung.

“Kita digalakkan melakukan sebarang aktiviti riadah pada waktu pagi iaitu sekitar jam 7 hingga 8 pagi kerana ketika itu tahap semula jadi steroid di dalam badan dan adrenalina tinggi.

“Badan juga lebih bersedia melakukan aktiviti itu. Berpada-pada jika beriadah pada waktu malam kerana keadaan biologi badan sudah tidak kuat disebabkan tahap steroid dan adrenalina rendah sebagai persediaan untuk tidur.

“Kombinasi tertekan di tempat kerja dan apabila pulang melakukan aktiviti berat pada waktu malam antara punca serangan jantung dalam kalangan golongan muda,” katanya.

Berdasarkan Pangkalan Data Penyakit Kardiovaskular Kebangsaan (NCVD) Malaysia, ia menunjukkan semakin ramai golongan muda berusia 45 tahun ke bawah menghidap penyakit koronari.

Sebanyak 17.6 peratus adalah golongan berusia 40 hingga 49 tahun, manakala 5.6 peratus (30 hingga 39 tahun) dan satu peratus (29 tahun ke bawah).

Rakyat Malaysia adalah yang termuda menghidap penyakit ini dengan purata umur 51 tahun berbanding rakyat negara lain berusia 61 tahun.

Dr Hamat Hamdi berkata, penyakit koronari digeruni golongan muda kerana lazimnya ia terjadi tanpa sebarang gejala.

Namun gejala paling ketara ialah sakit dada, kesukaran bernafas dan berpeluh.

“Mereka berisiko tinggi mendapat penyakit ini jika mempunyai sejarah ahli keluarga terdekat iaitu ibu bapa, abang, kakak atau adik meninggal dunia mengejut pada usia 20-an dan 30-an.

“Tabiat merokok juga mendedahkan mereka kepada risiko tinggi diserang penyakit jantung koronari.

“Begitu juga individu obesiti, menghidap penyakit kencing manis, darah tinggi serta tahap kolesterol tinggi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Mac 2020 @ 7:00 AM
Digital NSTP Subscribe