DIANGGARKAN 75 peratus barah vulva dialami wanita berusia lebih 60 tahun.
DIANGGARKAN 75 peratus barah vulva dialami wanita berusia lebih 60 tahun.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


WANITA usah ambil mudah jika sering gatal di bahagian luar kemaluan kerana itu satu daripada gejala barah vulva.

Barah vulva ialah kanser kemaluan luar yang meliputi kawasan lubang untuk membuang air kecil, lubang faraj, klitoris, labia majora dan labia minora.

Vulva adalah satu daripada enam organ pembiakan wanita selain pangkal rahim, ovari, rahim, faraj dan tiub fallopian

Perunding Ginekologi dan Onkologi Regency Specialist Hospital Dr Badrul Zaman Muda @ Abdullah berkata, barah vulva dianggap penyakit barah di bahagian organ pembiakan wanita yang paling jarang berlaku selain faraj.

Beliau berkata, barah vulva membabitkan tiga hingga lima peratus daripada keseluruhan kanser organ pembiakan wanita.

Dianggarkan, 75 peratus barah vulva dihidapi wanita berusia lebih 60 tahun.

“Ini kerana kemungkinan warga emas mempunyai banyak masalah kesihatan seperti penyakit kencing manis, faktor umur, daya ketahanan badan dan kesan jangkitan virus HPV.

“Namun, penyakit ini jarang menimpa wanita muda kerana mereka memiliki sistem pertahanan badan yang baik,” katanya.

Berdasarkan Laporan Pendaftaran Kanser Kebangsaan Malaysia (KKM) bagi tempoh 10 tahun daripada 2007 hingga 2016, barah vulva tidak tersenarai dalam 10 jenis penyakit barah tertinggi dihidapi wanita di negara ini.

Dr Badrul Zaman berkata, data Globocan 2018 iaitu badan antarabangsa yang memantau data kanser seluruh dunia menunjukkan risiko kemungkinan individu mendapat barah vulva ialah kira-kira empat peratus dalam keseluruhan kes barah wanita.

Kes barah vulva dalam kalangan wanita berusia lebih 75 tahun ialah 13 dalam 100,000 orang setahun.

“Di Malaysia, ia kurang satu peratus daripada keseluruhan penyakit barah untuk rakyat Malaysia.

[gn4id:21404484]

“Kebanyakan punca penyakit barah vulva dikaitkan dengan beberapa faktor. Antaranya ialah merokok, jangkitan virus HPV, pasangan kelamin yang ramai, penyakit ‘Vulva Intra Epithelial Neoplasia’, kencing manis dan obesiti,” katanya.

Jelasnya, barah vulva boleh memberikan kesan psikologi dan fizikal kepada pesakit.

Lazimnya, pesakit malu berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan lanjut kerana penyakit itu berlaku di sekitar kawasan kemaluan.

“Mereka akan berasa kurang keyakinan diri, kemurungan, kurang sifat kewanitaan dan berlaku gangguan hubungan suami isteri atau pasangan.

“Malah, ada pesakit juga merahsiakan penyakit itu daripada pengetahuan keluarga. Semuanya terbongkar apabila ahli keluarga terlihat kesan darah pada kain, pakaian dalam atau bau busuk daripada pesakit.

“Bagi kesan fizikal pula, pesakit tidak berasa selesa dan terganggu pergerakan fizikal kerana keluar lendir, darah dan kegatalan di bahagian vulva akibat penyakit itu,” katanya.

Menurut beliau, rawatan diberikan bergantung kepada tahap barah yang dihidapi pesakit, kesihatan, jenis barah vulva, keperluan fungsi fisiologi dan kosmetik badan serta kemudahan rawatan sedia ada.

“Barah vulva dikenal pasti daripada tahap satu, dua, tiga sehingga empat. Ia berdasarkan kawasan kemaluan dan kelenjar limfa yang terbabit.

“Secara amnya, barah vulva tahap satu dan saiz yang kecil sesuai untuk diberikan rawatan pembedahan radikal.

“Untuk rawatan barah vulva tahap dua, tiga dan empat, ia membabitkan gabungan kaedah pembedahan serta radioterapi kemoterapi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Mac 2020 @ 6:30 AM