KEBANYAKANNYA bukan dianggap kecacatan kerana tidak mengganggu fungsi tubuh
KEBANYAKANNYA bukan dianggap kecacatan kerana tidak mengganggu fungsi tubuh
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


MESTI si ibu ada melanggar pantang semasa hamil menyebabkan anak mendapat ‘balasan’ apabila dilahirkan mempunyai tanda lahir pada muka atau badan.

Tidak kurang juga mengatakan tanda lahir itu berlaku kerana bayi dilahirkan pada bulan gerhana.

Itu antara mitos popular yang dikaitkan dengan tanda lahir seseorang bayi.

Namun, kewujudan tanda lahir ini boleh menimbulkan persoalan, adakah ia keunikan atau petanda penyakit.

Pakar Perunding Dermatologi, Hospital Islam Az-Zahrah Datin Dr Asmah Johar berkata, tanda lahir didefinisikan sebagai lesi (menyerupai ruam) kongenital iaitu lesi kulit yang ada ketika dilahirkan atau timbul pada bulan pertama selepas kelahiran.

“Kebiasaannya ia bukan barah dan tidak memberikan risiko bahaya terhadap kesihatan.

“Kebanyakan tanda lahir bersifat kekal dan sebahagiannya menjadi pudar serta kurang jelas apabila kanak-kanak itu membesar,” katanya.

Menurutnya, kebanyakan tanda lahir bukan dianggap sebagai kecacatan kerana ia tidak mengganggu fungsi tubuh.

“Namun, jika tanda lahir jelas kelihatan dan bersaiz besar, ia boleh menyebabkan seseorang itu berasa kurang selesa apabila individu lain merenung bahagian terbabit.

“Tidak kurang juga ada berasa malu berada di khalayak ramai kerana melihatnya umpama makhluk ganjil,” katanya.

Bagaimanapun, Dr Asmah berkata, tanda lahir itu diklasifikasikan sebagai petanda sesuatu penyakit apabila ada lesi baharu tumbuh pada kulit selepas beberapa tahun atau ketika dewasa selain membabitkan organ badan lain.

Katanya, ada 11 jenis tanda lahir yang biasa dikenal pasti iaitu tompokan Mongolian, ‘naevus of OTA’, ‘naevus of ITO’, ‘café au lait’, ‘incontinenti pigmenti’, ‘congenital melanocytic naevus’, ‘piebaldism’, ‘infantile haemangioma’, ‘congenital haemangioma’, ‘salmon patch’ dan ‘portwine stain’.

PORTWINE stain
PORTWINE stain

“Setiap jenis tanda lahir boleh diklasifikasikan mengikut struktur asal ia tumbuh disebabkan oleh tiga punca. Pertama ialah pigmen melanosit, contoh tompokan Mongolian, naevus of OTA, Naevus of ITO, Incontinenti pigmenti dan café au lait.

 NEAVUS of ITO
NEAVUS of ITO

 NEAVUS of OTA
NEAVUS of OTA

“Kedua ialah ketumbuhan melanosit, ia bukan barah terutama tanda lahir jenis ‘congenital melanocytic naevus’.

“Punca terakhir ialah disebabkan perubahan kepada warna kulit dan saluran darah seperti tanda lahir infantile haemangioma, congenital haemangioma, salmon patch dan portwine stain,” katanya.

TOMPOKAN Mongolian
TOMPOKAN Mongolian

Dr Asmah berkata, pembentukan tanda lahir terjadi disebabkan tiga faktor iaitu secara semula jadi, genetik atau tidak diketahui.

“Bagi faktor genetik, ia jarang berlaku. Manakala pembentukan tanda lahir disebabkan oleh struktur pada kulit berlaku apabila pertumbuhan sel-sel ini lebih banyak atau salah satu fungsi sel itu terlebih atau terkurang.

“Ini menyebabkan perubahan pada kulit berkenaan,” katanya.

Ditanya mengenai kaedah rawatan membuang tanda lahir, Dr Asmah berkata, rawatan yang dilakukan bergantung kepada jenis dan kemungkinan risiko terhadap pertumbuhan tanda lahir berkenaan.

INCONTINENTI pigmenti
INCONTINENTI pigmenti

“Contoh, ‘congenital melanocytic naevus’. Kita selalu menyebutnya sebagai tahi lalat iaitu sejenis pertumbuhan kulit yang biasa, berbentuk bintik-bintik coklat gelap.

“Lazimnya, kita akan melakukan pembedahan dan tisu kulit akan dihantar untuk pemeriksaan patologi bagi memastikan ia bukan ketumbuhan berbahaya.

“Ada juga rawatan menggunakan laser tetapi kaedah rawatan ini tidak digalakkan sekiranya tahi lalat ini adalah barah kerana ia boleh mengancam nyawa,” katanya.

Menurut beliau, mereka yang melakukan rawatan membuang tanda lahir sama ada menggunakan kaedah laser atau pembedahan terdedah kepada beberapa risiko komplikasi seperti jangkitan bakteria, pendarahan dan kesan parut kekal.

SALMON patch
SALMON patch

Selain itu, Dr Asmah memberi nasihat agar ibu bapa usah panik jika bayi mereka dilahirkan bersama tanda lahir.

“Sebaik-baiknya jangan lengahkan untuk berjumpa pakar kanak-kanak atau pakar kulit bagi mengenal pasti jenis tanda lahir itu.

“Lokasi tanda lahir berkemungkinan boleh menjadi ‘petunjuk’ kepada penyakit yang dihidapi oleh sesiapa yang memiliki tanda lahir,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Mac 2020 @ 7:00 AM
Digital NSTP Subscribe