HANYA doktor dan jururawat wanita dilarang memakai barangan kemas semasa merawat pesakit Covid-19.
HANYA doktor dan jururawat wanita dilarang memakai barangan kemas semasa merawat pesakit Covid-19.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


‘WANITA tidak boleh memakai barangan kemas seperti cincin, gelang dan jam tangan kerana ia mungkin menjadi ‘sarang’ pembiakan virus Covid-19.’

Itu yang penulis baca di media sosial beberapa ketika lalu.

Ada juga yang risau kerana tidak pernah lekang memakai cincin dan jam tangan.

Pakar Perunding Perubatan Dalaman dan Penyakit Berjangkit, Dr Muhamad Yazli Yuhana berkata, larangan ini hanya kepada wanita yang bertugas di hospital seperti doktor dan jururawat yang merawat pesakit Covid-19.

“Kita bimbang virus yang dilepaskan pesakit menerusi percikan air liur daripada batuk dan bersin terkena pada barangan kemas serta jam tangan jika petugas tidak memakai peralatan perlindungan diri semasa proses rawatan.

“Barangan ini (jam tangan, cincin dan gelang) yang dicemari virus, jika tidak dicuci dengan betul boleh berpindah kepada petugas kesihatan yang akhirnya mendedahkan mereka kepada jangkitan virus terbabit,” katanya.

Menurutnya, selain virus Covid-19, kuman atau bakteria juga boleh melekat pada barangan kemas dan jam tangan.

“Oleh itu, doktor dan jururawat di hospital yang merawat pesakit disebabkan jangkitan kuman, bakteria dan virus Covid-19 tidak boleh memakai barangan kemas juga jam tangan.

“Mereka perlu menanggalkan semua barangan ini sebelum merawat pesakit sebagai langkah pencegahan,” katanya.

DR Muhamad Yazli
DR Muhamad Yazli

Bagaimanapun, Dr Muhamad Yazli berkata, wanita yang tidak bekerja di sektor kesihatan boleh memakai barangan kemas tanpa halangan sepanjang penularan wabak Covid-19.

“Asalkan barangan kemas dan jam tangan ini tidak terdedah dengan percikan air liur daripada pesakit Covid-19.

“Pada masa sama, mereka perlu mengutamakan kebersihan diri dengan kerap mencuci tangan menggunakan sabun,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, bekas pesakit jangkitan Covid-19 berusia 50 tahun ke atas yang mempunyai penyakit kronik seperti kencing manis dan darah tinggi perlu meneruskan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Mereka golongan berisiko yang perlu lebih banyak berada di rumah sehingga wabak ini berakhir.

“Tambahan, sistem imun badan golongan ini rendah dan ia mendedahkan mereka kepada risiko lain,” katanya.

Jelasnya, berbeza dengan pesakit berusia berusia 40 tahun ke bawah, peluang mereka sembuh adalah tinggi kerana memiliki sistem imun badan yang kuat.

“Lazimnya, Covid-19 dihidapi golongan berusia 40 tahun ke bawah berada pada tahap sederhana dengan gejala demam dan batuk tanpa masalah radang paru-paru.

“Sistem badan mereka juga boleh berfungsi dengan baik dan dapat membunuh virus itu dengan sendirinya dalam masa 14 hari,” katanya.

Dr Muhamad Yazli berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meminta individu yang disyaki dijangkiti Covid-19 melakukan pemeriksaan saringan kesihatan di hospital kerana bimbang mereka tidak memahami bahaya dijangkiti virus berkenaan tetapi pada masa sama masih bertemu orang lain.

“Ini menyebabkan penularan wabak ini kian meningkat dan lebih membimbangkan, ia mungkin menjangkiti warga emas yang turut menghidap penyakit kronik lain.

“Ini kerana semasa proses pemulihan, badan mereka menjadi lemah seterusnya menyebabkan jantung dan paru-paru terpaksa bekerja lebih kuat.

“Badan mereka turut menjadi tidak berupaya dan memerlukan mesin bantuan pernafasan,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Muhamad Yazli berkata, mereka yang mempunyai gejala Covid-19 dinasihatkan pergi ke hospital sendirian sekiranya masih berupaya memandu kenderaan.

“Mereka juga boleh menghubungi ambulans untuk dibawa ke hospital yang menawarkan rawatan wabak ini.

“Jangan ke hospital menaiki pengangkutan awam atau meminta bantuan ahli keluarga kerana ia boleh menyebabkan jangkitan kepada orang lain,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Mac 2020 @ 6:10 AM