OKTOBER adalah bulan kesedaran barah payudara. - FOTO Google
OKTOBER adalah bulan kesedaran barah payudara. - FOTO Google
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


DIANGGARKAN seorang daripada tiga pesakit barah wanita di Malaysia menghidap barah payudara.

Bunyinya memang menakutkan, tetapi itu adalah kenyataan yang perlu diterima wanita di negara ini.

Lebih membimbangkan ialah trend penyakit itu kini sudah berubah apabila semakin ramai wanita menghidap barah payudara pada usia lebih muda iaitu di bawah 40 tahun.

Pakar Perunding Onkologi Pusat Barah, Pantai Hospital Kuala Lumpur Dr Mastura Md Yusof berkata, punca sebenar tidak dapat dipastikan kerana tiada penyelidikan yang khusus setakat ini yang dapat mengenal pasti punca utamanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, masalah ini mungkin boleh dikaitkan dengan beberapa punca seperti gaya hidup, pola pemakanan tidak sihat dan umur lewat ketika mendirikan rumah tangga.

"Umum mengetahui kebaikan bersenam yang mempunyai banyak manfaat terhadap kesihatan terutama mencegah penyakit kronik termasuk barah. Kita digalakkan melakukan aktiviti itu sekurang-kurangnya dua ke tiga kali seminggu.

"Namun, tidak ramai mahu merebut peluang ini dan ditambah pula dengan pemakanan tidak sihat, merokok dan apatah lagi disertai pengambilan alkohol yang memberi kesan buruk terhadap kesihatan," katanya.

Dr Mastura berkata, rakyat Malaysia juga gemar mengambil makanan berproses, mengandungi bahan pengawet atau kandungan garam atau gula yang tinggi seperti ikan masin, jeruk, belacan, makanan dalam tin dan sebagainya.

"Pengambilan bahan tambahan ini secara berterusan boleh menjejaskan kesihatan dalam jangka masa panjang.

"Selain itu, wanita muda kini lebih mementingkan kerjaya menyebabkan ramai di antara mereka memilih untuk lewat berkahwin dan menimang cahaya mata pada usia lanjut.

"Apabila tidak mengandung, organ ovari kita akan berterusan mengeluarkan hormon estrogen yang boleh meningkatkan risiko barah payudara,"katanya.

Menurutnya, beliau sering bertemu pesakit menghidap barah payudara semasa hamil atau dalam pantang kerana makin ramai wanita yang lewat mendirikan rumah tangga dan apabila hamil mereka berada pada usia berisiko mengalami barah berkenaan.

Selain itu, katanya, punca lain ialah pendedahan kepada hormon luar menerusi pengambilan pil perancang dan terapi penggantian hormon (HRT).

"HRT berfungsi untuk memulihkan tahap hormon estrogen wanita yang mengalami menopaus.

"Bagaimanapun, kesan jangka panjang turut mencetuskan barah payudara jadi wanita perlu berbincang dengan doktor masing-masing akan pemeriksaan berkala sewaktu mengambil HRT,"katanya.

Kata Dr Mastura, ramai juga wanita mungkin mengambil produk makanan tambahan atau makanan alternatif untuk kecantikan atau kesihatan tubuh yang mungkin mengandungi hormon atau sumber tanpa diketahui mengandungi bahan terlarang seperti steroid.

"Lambakan produk ini menyumbang kepada peningkatan penyakit barah payudara dalam kalangan wanita muda.

"Ramai mengambil mudah mengenai bahaya barah payudara. Malah ada berasakan penyakit ini tidak menimpanya terutama mereka yang tidak mempunyai sejarah keluarga,"katanya.

Menyentuh mengenai tanggapan barah payudara tidak boleh diubati, Dr Mastura berkata, kini ia sudah tidak releven kerana penyakit itu boleh dirawat walaupun pada tahap empat.

"Pesakit tahap satu hingga tiga boleh dirawat hingga pulih menggunakan kaedah pembedahan, kemoterapi, radioterapi, terapi hormon dan

terapi sasaran.

"Pesakit tahap empat pula dirawat dengan kaedah rawatan terapi bersasar dan kemoterapi. Rawatan yang bersesuaian buat masa sekarang membolehkan pesakit tahap empat hidup lebih daripada lima tahun dengan selamat dan gembira,"katanya.

Sementara itu Pakar Perunding Bedah Barah Payudara dan Endokrin Pantai Hospital Kuala Lumpur, Dr Saladina Jaszle Jasmin berkata, tujuan utama pembedahan payudara adalah membuang barah ini untuk mencapai rawatan yang sempurna bagi penyembuhan menyeluruh.

Beliau berkata, agak sukar untuk sembuh sepenuhnya melainkan jika berjaya mengesan penyakit itu lebih awal iaitu pada tahap satu dan dua. Maka pesakit akan mendapat jangka hayat lebih baik untuk tempoh lima dan 10 tahun pertama selepas rawatan.

"Pembedahan dilakukan ke atas pesakit tahap empat pula untuk mengawal dan mengurangkan beban penyakit yang dijalankan selepas rawatan kemoterapi.

"Itu pun (pembedahan) dilakukan jika pesakit menunjukkan respons yang baik daripada rawatan ini (kemoterapi).

"Apabila beban penyakit berkurangan (barah dibuang) maka rawatan lanjut yang diberikan adalah lebih berkesan,"katanya.

Dr Saladina berkata, terdapat dua jenis pembedahan payudara iaitu mastektomi yang bermaksud pembuangan keseluruhan organ payudara terbabit, pembedahan ini di lakukan sekiranya ketulan barah adalah besar apabila nisbah saiz barah kepada saiz payudara adalah melebihi 50 peratus.

Secara umumnya sekiranya pembuangan tisu payudara adalah melebihi 30 peratus, maka ini akan mengurangkan penampilan kosmetik payudara itu.

Di dalam situasi ini, doktor perlu melakukan mastektomi.

"Selepas pembedahan, kita akan membina semula payudara baharu menggunakan lemak pada bahagian perut (TRAM Flap) atau mengambil lemak di bahagian bawah skapula (LD Flap). Penggunaan lemak LD ini selalunya memerlukan 'silicone implant' untuk memberi volume yang mencukupi.

"Seterusnya ialah pembedahan membuang ketulan sahaja yang dilakukan dengan dua cara iaitu potong terus atau insisi onkoplastik.

"Insisi onkoplastik adalah cara yang lebih baik kerana boleh membina semula payudara ini dan bentuknya kelihatan seperti asal,"katanya.

Kata Dr Saladina lagi, tentunya pembedahan payudara dapat membantu meningkatkan jangka hayat pesakit, tetapi bergantung kepada tahap penyakit dihidapinya.

"Tahap satu dan tahap dua mempunyai (lebih 85 peratus), tahap tiga (antara 50 hingga 70 peratus) dan tahap empat dalam 20 peratus. Bagaimanapun, peratusan lebih tinggi (lima tahun pertama) boleh dicapai sekiranya rawatan dilakukan dengan kombinasi rawatan kemoterapi, terapi antiestrogen radioterapi dan ubat sasaran terapi terbaharu.

"Ramai pesakit mengetahui keberkesanan ujian mamogram mengesan barah payudara tetapi mereka lewat mendapatkan rawatan apabila didiognos menghidap penyakit berkenaan.

"Kelewatan mendapatkan rawatan menyebabkan barah yang dikesan tahap awal berubah menjadi teruk (tahap tiga dan empat),"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Oktober 2020 @ 6:26 AM