KURANG 10 peratus pesakit jumpa doktor, selebihnya pendarahan berhenti sendiri.
KURANG 10 peratus pesakit jumpa doktor, selebihnya pendarahan berhenti sendiri.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


RAMAI yang panik selepas mendapati ada kesan darah pada bantal sejurus bangun tidur.

Perasaan takut turut datang bersilih ganti apabila memikirkan adakah hidung berdarah petanda penyakit serius?

Lebih-lebih lagi jika ia berlaku secara berulang-ulang dan darah yang keluar pula banyak.

Pakar Perunding Pembedahan Telinga, Hidung dan Tekak MSU Medical Centre, Dr Nor Azmi Mohamad berkata, ada kemungkinan hidung berdarah adalah gejala barah hidung.

Bagaimanapun, menurutnya, ia jarang terjadi memandangkan gejala yang biasa ialah bengkak leher, hidung tersumbat dan telinga kurang deria pendengaran sekiranya barah sudah merebak ke bahagian belakang hidung.

"Namun, apa yang lebih penting ialah pesakit dapat membezakan antara pendarahan hidung bahaya atau tidak.

IBU bapa jangan panik apabila hidung anak berdarah.
IBU bapa jangan panik apabila hidung anak berdarah.

"Ada juga pesakit mengalami masalah pembekuan darah yang menyebabkan darah sukar berhenti setiap kali berlaku pendarahan.

"Situasi yang sama, apabila mengorek hidung, keruping tertanggal lalu menyebabkan pendarahan banyak dan lambat berhenti," katanya.

Dr Nor Azmi berkata, masalah hidung berdarah boleh dialami kanak-kanak atau orang dewasa.

Katanya, ia sangat kerap berlaku, tetapi kejadian sebenar tidak dapat dipastikan kerana kebanyakan pendarahan ini berhenti sendiri.

"Dianggarkan, kurang 10 peratus pesakit mengalami hidung berdarah berjumpa doktor dan selebihnya pendarahan itu berhenti sendiri.

"Terdapat dua golongan yang mudah mengalami hidung berdarah iaitu kanak-kanak pada lingkungan usia dua tahun hingga 10 tahun.

"Golongan lanjut usia pula berusia di antara 50 hingga 80 tahun," katanya.

KANAK-KANAK dan orang dewasa boleh alami hidung berdarah.
KANAK-KANAK dan orang dewasa boleh alami hidung berdarah.

Dr Nor Azmi berkata, sebab utama hidung berdarah dalam kalangan kanak-kanak ialah trauma iaitu kecederaan kecil dalam rongga hidung.

"Ia berpunca daripada tiga perkara seperti tabiat mengorek hidung. Ini kerana kuku boleh melukakan selaput saluran darah dan ini menyebabkan berlakunya pendarahan hidung.

"Ada ibu bapa sering bertanya, mengapa luka kecil dalam hidung boleh menyebabkan banyak

pendarahan hingga menitis," katanya.

Mengulas lanjut, Dr Nor Azmi berkata, ini kerana bekalan darah dari bahagian depan, atas dan belakang berkumpul di satu tempat iaitu di bahagian depan dalam hidung.

"Jadi apabila bahagian depan dalam hidung terluka (kerana mengorek hidung), ia menyebabkan pendarahan malah agak banyak hingga menitis dan berketul.

"Jika keadaan ini berlaku, pastinya ibu bapa bimbang lalu membawa anak mereka berjumpa doktor sedangkan luka itu adalah kecil," katanya.

Menurut Dr Nor Azmi, kedua ialah keadaan udara yang sangat kering menyebabkan bahagian hadapan hidung berkuping.

"Apabila kuping ini tertanggal, ia melukakan bahagian hadapan dalam hidung lalu menyebabkannya berdarah.

LETAK air batu di pangkal hidung untuk mengecutkan saluran darah.
LETAK air batu di pangkal hidung untuk mengecutkan saluran darah.

"Jika ia berlaku berulang kali (hidung berdarah), ia mendorong ibu bapa membawa anak ke klinik untuk pemeriksaan," katanya.

Dr Nor Azmi berkata, punca ketiga hidung berdarah dalam kalangan kanak-kanak ada kalanya kerana septum (dinding yang membahagikan ruang hidung kepada dua, kiri dan kanan) terletak di bahagian tengah hidung bengkok.

"Apabila ia (septum) bengkok, ia menyebabkan satu bahagian terdedah, bahagian ini menjadi sempit ketika bernafas dan menyebabkania cepat kering serta berkuping.

"Bahagian yang terdedah ini boleh mengakibatkan ia mudah luka," katanya.

Jelasnya, ada kalanya jangkitan virus atau bakteria dalam hidung boleh menyebabkan selesema atau resdung.

"Dalam keadaan ini, hidung individu yang mengalami masalah itu akan berair dan kerap gatal, lalu memaksanya menggosok organ berkenaan bagi mengurangkan ketidakselesaan.

"Bagaimanapun, tindakan ini mendedahkan hidung mereka kepada risiko terluka dan terjadinya hidung berdarah.

DR Nor Azmi
DR Nor Azmi

"Jika jangkitan pada hidung disebabkan oleh bakteria, maka darah yang keluar bercampur lendir adalah sedikit," katanya.

Menurut Dr Nor Azmi, hidung berdarah dalam kalangan golongan berusia pula ada kaitan dengan masalah tekanan darah tinggi kerana pembuluh darah menjadi keras, tetapi rapuh.

"Apabila terdapat luka dalam hidung, pendarahan adalah banyak dan sukar berhenti disebabkan tekanan darah yang tinggi.

"Ada juga keadaan apabila perlu memberikan rawatan kepada warga emas yang menghidap darah tinggi dengan cara menyumbat hidung mereka menggunakan span.

"Span ini akan mengembang yang berfungsi memberi tekanan dalam hidung dan dibiarkan dalam organ itu antara 24 hingga 48 jam, bergantung kepada keperluan," katanya.

Menurut Dr Nor Azmi, cara lain menghentikan pendarahan ialah memasukkan belon ke dalam hidung, arah ke belakang.

Kemudian kembangkan belon ini untuk menekan saluran darah.

"Jika semua cara ini tidak berkesan untuk menghentikan pendarahan hidung, pesakit akan dibius dan hidungnya diperiksa menggunakan endoskopi atau elektrik kauteri bagi mengecutkan saluran darah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Oktober 2020 @ 7:00 AM