LADA hitam tinggi khasiat untuk kesihatan. - FOTO Google
LADA hitam tinggi khasiat untuk kesihatan. - FOTO Google
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


LADA hitam digunakan secara meluas dalam masakan bagi menambah keenakan dan untuk perubatan tradisional Melayu.

Ia bukan sekadar rempah biasa kerana mengandungi pelbagai khasiat yang sangat baik untuk kesihatan tubuh.

Lada hitam mengandungi serat makanan dengan sejumlah kecil protein dan karbohidrat.

Rempah ini juga tinggi mineral termasuk kalsium, magnesium, fosforus, kalium dan natrium.

Berdasarkan Pangkalan Data Nutrien Nasional Jabatan Pertanian Amerika Syarikat (USDA), lada hitam turut mengandungi vitamin B6, E, K, folat, niacin, riboflavin dan thiamin.

Tinggi antioksidan

Setiap hari anda terdedah kepada radikal bebas seperti bahan kimia, racun dan pencemar yang terdapat di persekitaran.

Tanpa disedari, bahan ini boleh merosakkan sel sihat.

Jika makan lada hitam yang dicampur dalam makanan, ia boleh membantu membaiki kerosakan seterusnya mengurangkan risiko barah dan penyakit lain.

Meningkatkan pencernaan

Lada hitam membantu merangsang seluruh sistem pencernaan dari kelenjar air liur hingga usus besar termasuk jus pencernaan yang sangat penting seperti hempedu dan asid dalam membantu mencernakan makanan.

Mereka yang menghadapi masalah ulser sama ada di mulut, sistem pencernaan atau sedang menjalani diet, lada hitam adalah bahan yang boleh digunakan bagi menambah keenakan rasa pada makanan.

Membantu badan berpeluh

Berpeluh bagus untuk anda kerana ia membantu membuang toksin dalam badan.

Lada hitam membantu tubuh membuang lebihan air melalui air kencing yang mengandungi lemak dan asid urik.

Membantu menurunkan berat badan

Lada hitam membantu menjadikan fungsi badan lebih baik termasuk menurunkan berat badan.

Pemecahan sel lemak dibantu lapisan luar biji lada hitam dan memudahkannya diproses oleh badan.

Secara tidak langsung membantu menurunkan berat badan dengan lebih mudah.

Menyokong fungsi otak

Lada hitam merangsang laluan kimia di otak yang membantu meningkatkan daya ingatan dan fungsi kognitif.

Satu kajian menunjukkan lada hitam sangat berkesan dalam membantu mencegah penyakit Alzheimer dan meningkatkan ingatan dengan menyembuhkan kerosakan saraf di hipokampus.

Antikeradangan

Sifat antikeradangan pada lada hitam berupaya mengurang dan menghentikan proses sel mati.

Ia juga berperanan mencegah dan merawat penyakit Parkinson.

Melawan jangkitan

Lada hitam sering digunakan dalam perubatan Ayurveda bagi melawan jangkitan termasuk gigitan serangga.

Rempah ini bertindak seperti serat kerana membantu menyingkirkan kolesterol berlebihan pada dinding arteri, mengurangkan risiko terkena aterosklerosis iaitu keadaan berkaitan serangan jantung dan angin ahmar.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 November 2020 @ 6:18 AM