Nor 'Asyikin Mat Hayin

Saiz virus sebenarnya terlalu besar untuk memasuki sel manusia.

Oleh itu, ia perlu menggunakan salah satu protein yang ada di permukaan sel untuk menjangkiti.

Pada 2003, saintis mendapati protein yang digunakan virus SARS untuk menjangkiti sel, ada pada enzim pengubah angiotensin 2 (ACE2).

Apabila virus SARS2 yang menyebabkan wabak Covid-19 muncul pada penghujung 2019, kajian terhadap ACE2 mendapati protein pada ACE2 turut digunakan virus SARS2 untuk menjangkiti sel.

Ia sangat padan seperti 'mangga' (protein ACE2) dengan 'kuncinya' (protein pada virus SARS2).

Protein ACE2 yang digunakan oleh virus SARS2 ada di permukaan pelbagai jenis sel manusia seperti sel di arteri, jantung, buah pinggang, usus dan paru-paru termasuk saluran pernafasan.

Pensyarah Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Elena Aisha Azizan berkata, 'kunci' pada SARS2 lebih sepadan dengan 'mangga' ACE2 berbanding 'kunci' pada virus SARS yang asal.

Menurutnya, pemerhatian itu menimbulkan beberapa kemungkinan menarik untuk menjelaskan variasi risiko jangkitan dan kematian akibat Covid-19.

"Risiko jangkitan paling diketahui kini adalah risiko penyakit serius yang jauh lebih tinggi dalam kalangan warga emas berbanding orang muda.

DR Elena Aisha menjalankan penyelidikan berkaitan ACE2.
DR Elena Aisha menjalankan penyelidikan berkaitan ACE2.

"Ia juga berkali ganda lebih tinggi kepada lelaki berbanding wanita," katanya.

Beliau yang menjalankan penyelidikan mengenai ACE2 bersama Prof Morris Brown di Queen Mary University of London berkata, ada beberapa cara ekspresi protein ACE2 berkemungkinan menyumbang kepada variasi ini.

"Paling munasabah ialah jika terdapat lebih banyak ACE2 pada golongan berisiko ini, maka laluan masuk virus untuk menjangkiti sel juga tinggi," katanya.

Dr Elena Aisha berkata, gen protein ACE2 terletak pada kromosom X yang wanita mempunyai dua salinan, tetapi lelaki hanya satu.

Ini berkemungkinan dapat menjelaskan perbezaan jantina.

"Oleh itu, kita perlu mengetahui sama ada terdapat tahap ACE2 lebih tinggi dalam kalangan pesakit yang dijangkiti Covid-19 dan adakah ada hubungan antara tahap ACE2 serta risiko mendapat penyakit serius selepas jangkitan.

"Namun bukti bagi kesimpulan ini sukar diperoleh kerana tisu daripada golongan sihat yang mewakili semua kumpulan umur dan jantina sukar diperoleh," katanya.

Katanya, mengikut pendapat Prof Morris Brown, variasi risiko jangkitan dan kematian akibat Covid-19 mungkin berlaku kerana ACE2 terdiri daripada sekumpulan protein yang mempunyai dua ciri unik.

"Pertama ialah protein kumpulan ini terletak pada membran sel, dengan satu hujung protein terbenam di dalam sel dan sebahagian besar protein menonjol di luar sel.

"Ciri kedua adalah bahagian protein di luar sel boleh disisihkan atau terpotong daripada sel yang akan mengakibatkan mangga di bahagian ini tersisih sekali," katanya.

Kata Dr Elena Aisha, setakat ini belum diketahui sama ada ACE2 boleh meningkat atau menurunkan risiko dijangkiti virus Covid-19 atau sebaliknya.

"Sekiranya sel ditinggalkan dengan jumlah mangga yang jauh lebih rendah, virus mungkin sukar memasuki dan menjangkiti sel.

SARS-CoV-2 menjangkiti sel manusia dengan memasuki sel melalui 'pintu masuk' ACE2. Spike Glikoprotein (S) adalah kunci kepada 'mangga' (reseptor) yang terdapat di ACE2.
SARS-CoV-2 menjangkiti sel manusia dengan memasuki sel melalui 'pintu masuk' ACE2. Spike Glikoprotein (S) adalah kunci kepada 'mangga' (reseptor) yang terdapat di ACE2.

"Sememangnya kita tahu terdapat beberapa protein daripada kumpulan ini apabila disisihkan atau terpotong daripada sel, ia memasuki aliran darah.

"Lalu bertindak sebagai mangga yang menangkap kunci di dalam saluran darah bagi mengelakkan sel sasaran daripada dijangkiti," katanya.

Bagaimanapun, penemuan kajian membabitkan lebih daripada 10,000 peserta dari serata dunia ditulis dalam jurnal 'The Lancet' tidak menyokong kemungkinan kandungan ACE2 dalam saluran darah yang tinggi akan mengurangkan risiko keparahan atau kematian akibat Covid-19.

Penyelidikan Sukrit Narula dari Hamilton Health Sciences & McMaster University, yang melakukan kajian epidemiologi terbesar mengenai kandungan ACE2 plasma mendapati, kandungan darah ACE2 (yang tersisih) adalah faktor risiko kematian tertinggi berbanding masalah kardiovaskular seperti berat badan, kencing manis, kolesterol, merokok dan tekanan darah.

Namun, kata Dr Elena Aisha, peranan sebenar ACE2 dalam badan manusia bukannya sebagai 'pintu' masuk jangkitan virus, tetapi sebagai enzim yang menyahktifkan satu protein yang lain iaitu angiotensin II.

"Angiotensin II mempunyai banyak fungsi bermanfaat, tetapi boleh menjadi racun jika tidak dinyahaktifkan beberapa minit selepas terbentuk.

"Sebenarnya, sebilangan kesan toksik angiotensin II terutama pada paru-paru, menyerupai ciri-ciri jangkitan Covid-19 yang serius," katanya.

Jelasnya, berkemungkinan pada masa permulaan jangkitan, ekspresi ACE2 yang tinggi membolehkan virus Covid-19 memasuki sel sasaran di saluran pernafasan.

"Pesakit yang sudah dijangkiti Covid-19 pula, kandungan ACE2 yang tinggi mungkin dapat melindungi sel sasaran daripada racun angiotensin II.

"Pada awalnya, ACE2 berperanan sebagai pintu masuk virus menjangkiti sel paru-paru.

"Tetapi kemudian protein ini (ACE2) yang masih terdapat pada sel paru-paru, mungkin berperanan melawan kesan virus itu sendiri dengan menyahaktifkan angiotensin II (dan juga menghalang kejadian yang disebut sebagai badai sitokin Covid-19)," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 November 2020 @ 7:00 AM