KEADAAN sukar dikawal biasanya disebabkan proses penyembuhan tidak berjalan lancar.
KEADAAN sukar dikawal biasanya disebabkan proses penyembuhan tidak berjalan lancar.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


SETERUK mana tahap luka dialami individu, ia boleh sembuh jika dirawat menggunakan kaedah yang betul termasuk luka pesakit kencing manis.

Namun, tidak ramai mengetahuinya hinggakan ada yang menanggung derita bertahun-tahun lamanya hidup bersama luka dialami.

Ketua Jabatan Hiperbarik dan Penjagaan Luka, MSU Medical Centre, Leftenan Kolonel (B) Dr Mohd Hakimi Abdullah berkongsi pengalamannya merawat seorang pesakit warga emas yang mengalami luka teruk pada kaki akibat penyakit kencing manis dihidapinya.

Beliau berkata, satu lagi kaki warga emas ini sudah dipotong lebih awal juga disebabkan penyakit berkenaan.

"Pada mulanya, semua doktor mencadangkan memotong kaki warga emas ini kerana keadaan luka yang teruk, tetapi anaknya tidak bersetuju dan mahu menyelamatkan kaki ibunya.

"Anaknya membawa wanita itu berjumpa saya. Rawatan pertama dilakukan ialah membersihkan luka bagi membuang 'slough' iaitu tisu mati berwarna kuning bercampur bakteria dan tisu nekrotik (tisu mati).

"Setelah tempat luka ini bersih (tiada 'slough' dan tisu mati), ia memudahkan pertumbuhan tisu baharu untuk menutup luka dan mempercepatkan proses pemulihan," katanya.

Katanya, dibantu dengan penjagaan rapi, kaki warga emas ini pulih sepenuhnya dalam tempoh beberapa bulan.

Dr Mohd Hakimi berkata, luka terjadi apabila kulit atau tisu mengalami kecederaan disebabkan trauma atau pembedahan.

"Kulit yang luka akan mengalami empat fasa penyembuhan iaitu pembekuan darah, keradangan, pertumbuhan tisu dan pembentukan semula tisu.

"Luka kronik (sukar disembuhkan) berlaku biasanya disebabkan proses penyembuhan luka tidak berjalan lancar.

"Bermula daripada fasa pembekuan darah, keradangan dan pertumbuhan tisu kerana proses itu terhenti di fasa keradangan.

"Ini menyebabkan luka sukar dipulihkan dan berpotensi menjadi lebih teruk," katanya.

Menurutnya, ia (luka kronik) sukar dirawat disebabkan perfusi iaitu pengaliran darah ke dalam tisu terjejas.

Masalah ini turut disumbangkan oleh penyakit kencing manis yang boleh merosakkan saluran darah.

"Apabila bekalan darah ke bahagian tisu yang hendak tumbuh ini terjejas, luka dialami pesakit sukar sembuh.

PERTUMBUHAN tisu baharu menutupi luka.
PERTUMBUHAN tisu baharu menutupi luka.

"Punca kedua ialah jangkitan kuman boleh menyebabkan luka menjadi lebih sukar untuk pulih sekiranya jangkitan ini tidak dirawat," katanya.

Jelasnya, tahap kelembapan juga boleh menentukan penyembuhan luka atau sebaliknya.

"Ini kerana keadaan luka yang terlalu basah atau kering, menyukarkan pertumbuhan tisu di kawasan luka berkenaan untuk membantu proses penyembuhan.

"Sebaik-baiknya kawasan luka itu pada tahap kelembapan sederhana supaya tisu dalamnya (luka) boleh tumbuh dengan cepat," katanya.

Kata Dr Mohd Hakimi, punca ketiga adalah bilangan bakteria pada luka. Setiap luka sama ada kawasan itu bersih atau tidak, tetap mempunyai bakteria.

"Tetapi sekiranya dapat mengawal atau mengurangkan bilangan bakteria pada luka ini, peluang pertumbuhan tisu menjadi lebih pantas menutupi ruang luka.

"Seterusnya ialah 'biofilm' iaitu lapisan lut sinar terdiri daripada gabungan bakteria yang mewujudkan satu lapisan berkenaan di kawasan luka dan menghalangnya (luka) sembuh," katanya.

Beliau berkata, punca lain menghalang penyembuhan luka adalah 'slough' iaitu tisu mati yang berwarna kuning bercampur dengan bakteria pada luka dan tisu nekrosis (tisu mati).

DR Mohd Hakimi
DR Mohd Hakimi

Katanya, punca terakhir ialah eksudat iaitu air yang keluar daripada luka. Jika air itu banyak, maka kecederaan ini sukar untuk disembuhkan.

Bagaimanapun, katanya, semua punca ini perlu diurus sebaik-baiknya kerana sekiranya salah satu faktor itu tidak dikawal maka luka sukar pulih.

Dr Mohd Hakimi berkata, bahayanya penyakit kencing manis ini kerana penyakit itu boleh merosakkan saraf dan saluran darah.

"Apabila saraf rosak, deria rasa pada kaki semakin berkurangan, seterusnya muncul gejala seperti kebas-kebas, semut-semut dan sebagainya.

"Gejala ini akhirnya menyebabkan kesakitan hingga membuatkan pesakit tidak boleh tidur malam," katanya.

Selain itu, katanya, ia juga boleh mencetuskan penyakit pada otot kaki yang menyebabkan kaki mengecut dan bentuknya menjadi tidak normal.

"Malah lapisan lemak pada tapak kaki semakin menipis, seterusnya berlaku masalah 'kaki charcot'.

"Dalam keadaan ini (kaki charcot), tulang kecil di tapak kaki akan menonjol kepada kulit dan menyebabkan luka baharu bila berjalan," katanya.

Katanya, penyakit kencing manis mengakibatkan penyakit neuropati autonomi yang boleh merosakkan kelenjar peluh dan minyak.

"Apabila kelenjar ini tidak berfungsi, peluh pada kulit berkurangan menyebabkannya kering, merekah lalu luka.

"Terakhir ialah penyakit kencing manis boleh membentuk kematu (kulit tebal) pada tapak kaki. Pesakit yang mempunyai kulit tebal seperti ini kemungkinan di bawahnya (kulit tebal) terdapat luka tersembunyi dan ia perlu dibuang," katanya.

Dr Mohd Hakimi berkata, terapi hiperbarik boleh digunakan untuk merawat penyembuhan luka lebih cepat berbanding rawatan biasa.

"Ini kerana rawatan ini menggunakan 100 peratus oksigen pada paras tekanan atmosfera yang lebih tinggi daripada satu ATA (atmosfera mutlak).

"Penggunaan oksigen pada tahap tinggi ini berupaya membunuh bakteria di dalam luka, merangsang pertumbuhan tisu dan menyembuhkan luka kronik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Disember 2020 @ 7:00 AM