NELAYAN memasang lampu menjelang malam. FOTO Shahrul M Zain
Shahrul M Zain

SANGKAR tradisional atau lebih dikenali sebagai bagang ialah satu kaedah tangkapan ikan bilis cukup sinonim dalam kalangan nelayan tempatan di sekitar Kota Marudu, Kudat dan Pitas di Sabah.

Berbentuk segi empat dan dibina menggunakan kayu bakau atau nibung sebagai tiang dan buluh menjadikan struktur bagang ini kukuh sebagai penghubung atau titian untuk berjalan di atasnya.

Pemandangan indah waktu matahari terbenam sepanjang pantai barat Sabah menjadikan bagang tradisional sebagai satu identiti kepada tiga daerah popular dengan pengeluaran hasil laut itu.

Mula diperkenalkan pada 1987, jumlahnya kini semakin meningkat atas bantuan dan bimbingan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) kerana kemampuannya meningkatkan ekonomi dan pendapatan nelayan.


NELAYAN menjemur hasil tangkapan. FOTO Shahrul M Zain

Mempunyai daya tarikan tersendiri apabila lampu dipasang pada bagang menjelang malam untuk menarik perhatian ikan bilis dan ikan tamban iaitu sumber pendapatan nelayan.

Fungsi cahaya lampu yang terang daripada generator menarik perhatian ikan bilis dan akhirnya terperangkap di dalam jaring di bahagian bawah bagang.

Keesokan harinya seawal pagi, nelayan turun semula ke bagang untuk menaikkan hasil tangkapan.


IKAN bilis yang siap dikeringkan. FOTO Shahrul M Zain

Ikan bilis dikumpul, seterusnya dijemur beberapa jam di terik mentari di atas pelantar. Kemudian ia diasingkan mengikut gred dan kualiti sebelum dipasarkan ke seluruh Sabah, malah ada yang dihantar ke Semenanjung dan Brunei.


KANAK-kanak turut membantu ibu mereka mengasingkan ikan. FOTO Shahrul M Zain

Penghasilan sumber laut mengikut kaedah tradisional ini masih kekal sebagai identiti tiga daerah berkenaan. Ia dapat meningkatkan sumber ekonomi nelayan sebagai pengusaha dan pengeluar makanan laut berkualiti tinggi dan berjaya.


IKAN bilis dibawa keluar untuk pasaran di tamu (pasar) berhampiran Kota Marudu. FOTO Shahrul M Zain

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 September 2019 @ 11:29 AM