MARNELLI DIMZON
Syafiq Aznan


TIDAK diletakkan sebagai pasukan bakal meraih pingat di KL2017, bukan alasan untuk skuad bola sepak wanita Filipina untuk memberi cabaran apabila turun bertemu Malaysia di Stadium UiTM Shah Alam, malam esok.

Pengendalinya, Marnelli Dimzon, berkata dia membariskan skuad lebih muda berbanding pada 2013 di Myanmar apabila turut membawa ramai pemain berusia antara 16 hingga 20 tahun,

“Bukan hanya membariskan skuad muda kali ini, kami turut berdepan kesukaran kerana hanya dua bulan membuat persiapan selain beberapa pemain utama cedera.

“Namun, kami tidak akan mudah menyerah kalah dan bersedia memberi tentangan sengit kepada Malaysia yang memiliki kelebihan sebagai tuan rumah,” katanya yang pernah beraksi bersama skuad wanita kebangsaan Filipina pada temasya di Kuala Lumpur 2001 yang lalu.

Sementara itu, jurulatih Thailand, Spencer Prior mengekalkan reputasi sebagai jaguh Asia Tenggara apabila membariskan pasukan terkuatnya dalam usaha mempertahankan pingat emas dimenanginya pada Sukan SEA 2013.

“Kami ke sini dengan reputasi sebagai juara bertahan, sudah pasti kami mahu mempertahankan pingat emas.

“Jadi, kami sudah bersedia dengan barisan pemain terbaik kali ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Ogos 2017 @ 3:44 PM