Wan Sukairi mengharapkan sektor sukan menjadi salah satu fokus dalam pembentangan Belanjawan Negara 2021 pada 6 November depan. FOTO Ihsan MSNT
Wan Sukairi mengharapkan sektor sukan menjadi salah satu fokus dalam pembentangan Belanjawan Negara 2021 pada 6 November depan. FOTO Ihsan MSNT
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Menjelang pembentangan Belanjawan Negara 2021 pada 6 November ini oleh Perdana Menteri, kerajaan negeri meletakkan harapan yang tinggi agar peruntukan dan fokus terhadap sektor sukan tidak terjejas meskipun negara berdepan dengan krisis Covid-19.

Malah sektor itu seharusnya perlu diperkasakan lagi selepas mengharungi kesuraman musim ini berikutan wabak pandemik itu.

Harapan itu disuarakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah yang mahu melihat sektor itu perlu diberi penekanan dalam usaha melahirkan lebih ramai lagi atlet dan pemain yang mampu beraksi di pentas dunia.

Beliau yang berhasrat untuk mengekalkan Terengganu sebagai kuasa sukan tanah air juga menegaskan tidak wajar jika kerajaan pusat menyisihkan sektor itu yang turut menjadi salah satu sumber pekerjaan kepada atlet dan pemain.

"Dalam situasi sekarang, sudah pasti kita merasai industri sukan antara yang terkesan, namun kita harap permintaan Terengganu untuk terus mengaktifkan pembangunan sukan di semua peringkat mendapat 'lampu hijau'.

"Bagi kerajaan negeri, untuk meminta pengurangan dana (Bajet 2021) itu tidak.. sebaliknya kita minta penambahan sukan di negeri ini, itu adalah hasrat kita.

"Bagi memastikan kecergasan atlet berada pada tahap terbaik biarpun berdepan dengan isu Covid-19, beberapa program kecergasan melalui atas talian akan dilancarkan berkonsepkan gaya sukan norma baharu apatah lagi setakat ini belum ada lagi negeri lain melakukannya," katanya ketika ditemui di Sekolah Sukan Bukit Nenas, Setiu, kelmarin.

Berdasarkan rekod dalam Sukan Malaysia (Sukma) edisi ke-19 pada 2018 di Perak, Terengganu mengungguli temasya sukan dwitahunan itu selepas merangkul 56 emas, 51 perak dan 53 gangsa dengan mengumpul 160 pingat keseluruhan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Oktober 2020 @ 10:29 PM