MIKE lima kali bergelar Mr Asia.
MIKE lima kali bergelar Mr Asia.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Jaguh bina badan negara, Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah tidak mampu menyembunyikan perasaan terujanya selepas menerima perkhabaran sukan itu akan dipertandingkan pada Sukan Sea 2021 di Vietnam.

Atlet kelahiran Kuala Lumpur berusia 47 tahun yang mesra dengan panggilan Mike itu menaruh harapan tinggi agar diberi peluang mempamerkan aksinya pada temasya dwitahunan berkenaan walaupun sudah meraih gelaran dunia dan Asia.

"Saya memang berharap dipilih mewakili negara ke Sukan Sea, memang itu impian saya. Saya harap persatuan akan wujudkan program persediaan ke Sukan Sea lebih awal supaya kita boleh lihat prestasi atlet dan buat sasaran.

"Peluang saya untuk terpilih ke Sukan Sea cerah, namun saya tidak tahu sama ada kategori yang saya sertai ada atau tidak. Buat masa sekarang, saya masih belum menerima makluman daripada Persekutuan Bina Badan Malaysia (PBBM)," katanya

Terdahulu, mesyuarat Ahli Majlis Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) mengumumkan sukan bina badan bakal disenaraikan pada temasya di Vietnam selepas permohonan rayuan penyertaan sukan tersebut diterima.

Walaupun sudah lima kali bergelar Mr Asia serta juara dunia empat kali berturut-turut sejak 2016 dalam kategori Athletics Physique, Mohd Syarul Azman tetap memasang impian untuk beraksi di Sukan Sea sekali gus menyasarkan pingat emas buat negara.

Kali terakhir sukan bina badan dipertandingkan di Sukan Sea adalah pada edisi 2013 di Myanmar menyaksikan skuad negara meraih masing-masing satu emas, perak dan gangsa, namun Mohd Syarul Azman tidak turut serta kerana kategorinya tidak disenaraikan.

Sukan bina badan turut tidak dipertandingkan di Kuala Lumpur pada 2017 berikutan PBBM tidak mengemukakan rayuan kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) apabila tempoh rayuan dibuka sebelum Malaysia memuktamadkan senarai sukan pada temasya itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 November 2020 @ 10:00 PM